Bab 29

39 0 0
                                    

Mia yang tidur di kerusi penumpang belakang Farish pandang sebelum senyuman membelah bibir. Lena betul anak kecil itu. Mungkin kerana terlalu penat bercakap dan bermain. Pelbagai saiz dan jenis anak patung Farish belikan untuk Mia semalam untuk menjadi teman Mia bermain di dalam kereta. Akibat bimbang Mia akan kebosanan sepanjang perjalanan. Bukan bermaksud dia tidak mahu melayan karenah Mia. Tapi dia perlu memandu kereta dan tak mampu nak bermain dengan Mia. Aqish pula sekarang bukan dalam mood yang baik untuk bermain dan melayan karenah si kecil itu.

Sorry, Mia. Papa janji papa akan cuba pulihkan keadaan dan buat Mia mampu bermain dan bergurau dengan mama Mia seperti sebelum ini. Bisik hati Farish.

Pandangan Farish beralih pula pada insan yang lena di kerusi penumpang sebelahnya. Dalam masa yang sama, Aqish membetulkan duduknya dalam keadaan diri masih lena dibuai mimpi. Badan yang tadinya menghadap ke arah pintu kereta sebelahnya, kini menghadap Farish.

Farish tersenyum melihat tingkah isterinya. Wajah putih gebu Aqish ditatap sayang. Kenangan tiga hari lepas bagaimana leganya hati dia melihat kaki Aqish sudah sembuh sepenuhnya dan boleh berjalan seperti biasa bermain di minda. Tetapi apabila mengingati kedinginan Aqish terhadapnya yang semakin menjadi-jadi selepas peristiwa wanita itu hampir jatuh di dalam bilik air, Farish melepaskan keluhan berat. Keadaan yang ingin dipulihkan menjadi semakin rumit disebabkan oleh perasaan cemburu dan marahnya.

Perlahan-lahan Farish menyentuh kepala isterinya yang beralaskan tudung itu. Kepala itu diusap penuh berhati-hati kerana bimbang akan mengejutkan Aqish daripada tidur.

"Maafkan saya, Aqish. Saya memang cuai dalam menjaga awak. Awak memang layak marah saya, tapi saya harap perasaan marah itu tak berpanjangan. Saya harap awak tak lama berdingin dengan saya sebab Mia yang rasakan tempiasnya. Mia terlalu inginkan awak yang dulu, mama dia yang selalu layan dia main, bergurau dengan dia dan dodoikan dia tidur. Saya tahu apa yang berlaku ini semuanya salah saya. Saya puncanya. Saya yang selalu rosakkan mood awak. Tapi saya mohon, kalau awak marahkan saya, please hanya marah pada saya. Jangan tunjuk depan Mia, jadi awak yang sebelum ini apabila dengan Mia. Dia teringin nak merasa kasih sayang awak yang dulu. Mia rindukan mamanya yang selalu ambil berat tentangnya. Saya juga rindukan Aqish Natasha yang bibirnya selalu dihiasi senyuman dan gelak tawa apabila bersama saya. Terlalu rindu dan saya akan cuba untuk dapatkan kembali Aqish saya yang dulu." Air mata Farish bertakung. Ubun-ubun Aqish dicium sayang. Lama.

"Pittt!"

Hon daripada kereta belakang mengejutkan Farish daripada dakapan perasaan sedih sekali gus melepaskan kucupan Farish pada ubun-ubun isterinya. Menyedari lampu isyarat telah bertukar hijau, Farish kembali memandu. Laju kereta Lamborghini Aventadornya meluncur membelah jalan. Dia terlalu hanyut dalam arus kesedihan dan masalah yang menimpanya tadi sehingga tidak sedar lampu isyarat telah lama bertukar daripada warna merah ke hijau.

Badan Aqish sekali lagi berubah posisi daripada menghadap Farish kepada menghadap ke arah pintu kereta. Pejaman mata Aqish terbuka. Tangannya kejap memegang dada, merasa degupan jantung yang berdetak laju. Kemudian, sepasang mata itu kembali dipejam dengan perasaan yang bercampur-baur.

* * * * *

"Aqish. Kita dah sampai rumah bonda ni." Farish menggoyangkan bahu isterinya. Tidak perlu menunggu lama, Aqish sudah memberikan respon. Wanita itu terpisat-pisat sebelum memandang ke luar cermin kereta.

"Jom keluar." Ajak Farish apabila pintu kereta penumpang sebelah pemandu dibuka untuk Aqish.

Aqish mencapai beg bimbitnya sebelum melangkah keluar dari perut kereta. Rumah banglo kayu yang megah berdiri di hadapannya diperhati lama. Kayunya bukan calang-calang kayu, tapi kayu jati. Cukup menerujakan lagi Aqish apabila sekeliling rumah itu dihiasi pelbagai jenis bunga. Rumah itu kelihatan seperti berada di tengah-tengah taman bunga. Cukup menarik perhatian mana-mana mata yang memandang dan menenangkan hati mana-mana orang yang melihat.

Ruang BahagiaWhere stories live. Discover now