Tombol pintu dipulas perlahan. Daun pintu dikuak dari luar. Kerusi roda yang didudukinya ditolak memasuki bilik milik arwah Aqif. Tayar kerusi rodanya diberhentikan ditengah-tengah bilik itu. Sekeliling bilik diperhati lama. Setiap sudut yang dilihat seperti menayangkan kembali kenangannya bersama Aqif sejak mereka kecil lagi. Air mata mula membanjiri tubir mata. Hanya menunggu masa untuk dicurah apabila Aqish sudah tidak mampu bertahan lagi.
Katil yang menjadi tempat Aqif beradu Aqish hampiri. Pandangan jatuh pada bingkai gambar yang berada di atas meja kecil di sisi katil. Dua bingkai gambar itu diambil dan ditatap. Di tangan kanannya gambar dia yang lengkap berbaju kurung memeluk pinggang Aqif di sisi yang mengenakan baju melayu dan seingatnya gambar itu ialah gambar sewaktu Hari Raya Aidilfitri tiga tahun lepas. Di tangan kanan pula ialah gambar dia dan ahli keluarganya yang terakam indah di dalam bingkai itu.
Aqish alihkan pula bebola matanya memandang satu lagi bingkai gambar di atas meja tadi. Bingkai gambar di tangannya diletakkan di atas paha sebelum bingkai gambar di atas meja dicapai. Gambar di dalam bingkai itu ditatap kejap. Perlahan-lahan takungan air mata di tubir mata kian melimpah. Gambar yang berposisi Aqif sedang menarik hidungnya dan dia menarik rambut abangnya itu betul-betul menambahkan lagi rasa rindunya pada Aqif. Itulah gambar yang ditangkap dua tahun lepas apabila abangnya balik senyap-senyap tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Bingkai gambar itu dipeluk erat.
"Abang..." Sepatah perkataan keluar dari bibir Aqish bersama air mata yang membasahi pipi tanpa segan silu.
"Abang, Aqish rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Aqish nak jumpa abang." Kepala Aqish humban di atas tilam. Air matanya semakin menggila, turun lebat tak hengat dunia.
"Abang, kenapa abang pergi di saat Aqish betul-betul perlukan penghibur untuk hiburkan hati Aqish yang sakit ni." Aqish semakin teresak.
"Abang... Hati Aqish sakit, abang. Sakit sangat-sangat. Kenapa Farish buat Aqish macam ni? Kenapa dia mainkan perasaan Aqish? Kenapa dia sanggup seksa hati Aqish? Apa salah Aqish? Atau Aqish memang hanya layak dianggap seperti boneka?" Kuat cengkaman Aqish pada cadar tilam, ingin melepaskan rasa yang terbuku kemas di dalam hati dan berharap dapat menghilangkan kesakitan yang dirasai. Namun, ianya tidak berbaloi. Kesakitan masih lagi memburu dirinya tanpa menunjukkan sedikit pun tanda-tanda ingin berlalu meninggalkan dirinya.
"Abang, kenapalah dulu Aqish bodoh sangat memaafkan Farish. Kenapa dulu Aqish tak serik walaupun telah ditipu oleh Farish? Kenapa Aqish mudah sangat terpujuk dengan rayunya? Betulkah Aqish sayangkan Farish, cintakan Farish? Layakkah Aqish memiliki perasaan sebegitu terhadap lelaki yang telah mengkhianati Aqish, abang? Abang, jawablah!" Jerit Aqish di hujung bicara. Sungguh dia tertekan.
"Abang.... Aqish perlukan jawapan daripada abang." Teresak-esak Aqish menangis.
Jujur dia betul-betul perlukan Aqif saat ini untuk menjadi tempat dia mengadu. Dia perlukan bahu Aqif untuk menampung setiap air matanya yang berjuraian keluar. Memanglah dia ada sahabat-sahabatnya, Ana, Amalyn, Faiz dan Harith yang sentiasa bersedia untuk menjadi tempat dia memgadu masalah dan rasa hati. Tapi semua sahabatnya itu tidak mengetahui akan perkara sebenar di sebalik hubungan dia dan Farish. Di hadapan mata mereka dia dan Farish tak lepas hanyalah seperti merpati dua sejoli dan bagai isi dengan kuku walaupun hakikatnya ialah bertentangan dengan itu. Kebenaran di sebalik kisah dia dan Farish ditangkap khalwat juga sehingga sekarang dia tidak buka mulut memberitahu sahabat-sahabatnya walaupun ditanya. Jangan ditanya kenapa dia tidak menceritakan kisah sebenar kepada sahabatnya kerana dia sendiri tiada jawapannya.
Lama Aqish duduk dalam keadaan kepala direbahkan di atas tilam sambil melayan perasaan. Sisa air mata yang sudah berhenti daripada mengalir dilap dengan jari jemarinya.
YOU ARE READING
Ruang Bahagia
RandomPertemuan dengan lelaki mat saleh celup di traffic light dalam keadaan diri yang baru lepas putus tunang mula menimbulkan perasaan aneh dalam diri Aqish Natasha Tan Sri Hakim. Tetapi pantas dipujuk hati supaya serik dengan apa yang baru beberapa min...