Bab 10

455 11 2
                                    

Perlahan-lahan kelopak mata dibuka. Pandangannya kelihatan kabur saja. Kepala yang terasa berdenyut-denyut itu dipicit. Matanya dililaukan ke sekeliling sebelum dahi memainkan peranan untuk berkerut.

Ni bukan bilik aku. Habis tu aku dekat mana ni? Cuba ingat balik Aqish, apa benda terakhir yang kau buat. Emmm.. Berbual dengan Farish dekat balkoni? Ehhh. Tak tak. Tu malam semalam. Emmm... pergi fun fair dengan Mia dan Farish? Ehh. Tu lagilah bukan. Yang tu dah berzaman. Dah berhabuk dah pun. Fikir lagi Aqish, Fikir. Emmm.. makan malam dengan Farish dekat restoran? Ya ya, aku makan malam dengan Farish dekat restoran. Lepas tu aku pening kepala. Lepas tu...... Lepas tu....... Lepas tu apa, ekk? Kenapa aku tak ingat apa yang berlaku lepas tu ni? Jangan-jangan.... Ya Allah, janganlah apa yang aku fikirkan ni betul. Mintak jauh Ya Allah, mintak jauh. Aku tak sanggup.

Jantung Aqish berdetak laju. Perlahan-lahan kepalanya dipusing ke sebelah kiri. Sepantas kilat Aqish bingkas daripada pembaringan. Badannya dipandang, kepalanya disentuh. Alhamdulillah, dia masih lengkap berpakaian, juga bertudung. Tapi apa sebenarnya yang berlaku ni? Kenapa Farish boleh tidur di sebelah aku? Sungguh dia tak faham dengan situasi sekarang.

Bantal yang mengalas kepalanya semasa tidur tadi diambil dan dibaling tepat ke muka Farish yang sedang lena tidur.

Farish tersedar daripada tidur lenanya apabila dirasakan sesuatu menghempap muka. Matanya digosok-gosok untuk menghilangkan rasa mengantuk.

"Apa semua ni, Farish?!" Tengking Aqish. Perasaannya kini bercampur baur antara keliru, marah dan kecewa. Yalah, takkan gembira pula, kan? Kalau dia cakap dia tengah gembira sekarang memang sahlah sel-sel otak tidak berhubung.

"Maksud awak?" Farish bingkas daripada pembaringan.

Aqish yang baru sahaja ingin menghamburkan amarahnya kepada Farish segera membatalkan niat apabila melihat keadaan Farish yang tidak berbaju. Matanya ditutup rapat dan wajahnya dipalingkan ke arah lain. Andaian yang seboleh mungkin ditepis tadi kini semakin melebarkan sayap apabila melihatkan keadaan lelaki itu.

Reaksi Aqish menimbulkan rasa hairan dalam diri Farish. Badannya diteliti.

Ya Allah, kenapa aku tak berbaju ni. Kejap, aku dekat mana ni? Macam mana Aqish boleh kejutkan aku tidur? Apa yang berlaku sebenarnya ni? Baju dilantai Farish capai dan memakainya.

"Aqish, macam mana awak boleh kejutkan saya?" Tanya Farish penuh tanda tanya.

Wajah Farish, Aqish pandang dengan kemarahan yang memuncak. Mujur tak bertukar jadi Hulk aje.

"Sepatutnya saya yang tanya awak, macam mana awak boleh tidur di sebelah saya, apa yang awak dah buat pada saya?!" Amuk Aqish. Semua bantal yang berada di atas katil itu diambil dan dibaling ke arah Farish.

"Tidur? Apa maksud awak ni?" Farish menepis bantal-bantal yang dibaling daripada mengenainya.

"Sudah sudahlah tu berlakon. Cukuplah selama kita kenal aje awak berlakon baik. Jadi talam dua muka. Selama ni saya ingatkan awak memang betul-betul baik, boleh dipercayai. Tapi nampaknya sangkaan saya jauh meleset, rupa-rupanya awak ni jantan tak guna!" Bersama linangan air mata Aqish menumbuk dada Farish sekuat hati bagi melepaskan perasaan yang terbuku. Namun sepuluh ribu tumbukkan sekalipun tidak mampu menghilangkan kesakitan yang ditanggungnya itu. Sungguh tidak dia sangka Farish akan menjeratnya sebegini.

"Aqish, bersabar boleh tak? Kita bincang elok-elok." Bahu Aqish dipegangnya kemas. Wajah Aqish, Farish tatap.

"Awak ingat saya boleh bersabar dan bincang elok-elok ke bila saya bangun aje daripada tidur, awak ada dekat sebelah dan dalam bilik hotel macam ni? Awak ingat saya boleh sabar ke, Farish?!" Amukkan Aqish semakin menjadi-jadi. Air mata masih tidak berhenti mengalir. Ya, dia tahu itu bilik hotel apabila terpandang nama hotel di mana dia sedang berada besar-besaran tercop di mug.

Ruang BahagiaWhere stories live. Discover now