Zamir memulas tombol pintu rumah seraya memberikan salam. Wajahnya kelihatan ceria biarpun digarisi kepenatan.
Baru sahaja dia ingin berlalu ke biliknya, kedengaran satu suara garau menyahut salamnya. Zamir lekas berpaling ke ruang tamu. Dia sedikit terperanjat melihat kehadiran Tuan Ammar yang sedang berehat dalam kegelapan di atas sofa di situ.
Sangkanya, semuanya sudah tidur memandangkan hari sudah lewat malam.
"Eh, abang. Abang tak tidur lagi?" Tanya Zamir seraya melangkah mendekati Tuan Ammar. Sebuah sofa berkembar di hadapan Tuan Ammar menjadi pilihannya untuk melabuhkan punggungnya. Hilang lenguh kakinya setelah seharian dia berjalan.
"Belum. Sengaja tunggu Zamir pulang. Bagaimana tugas?"
Zamir tersengih. "Alhamdulillah. Kacang sahaja abang. Zamir berjaya menjejaki tempat persembunyian pengintip-pengintip itu. Sekarang, mereka semua ditahan di bawah jagaan Abang Afkar. Esok baru soal siasat akan dijalankan".
Tuan Ammar mengangguk. Dia berpuas hati dengan pencapaian Zamir. Walaupun Zamir masih muda, namun pemuda itu telah mempamerkan kehebatan setanding ahli-ahli Kesatuan Durrah yang lebih berpengalaman. Tak sia-sia kepercayaan yang diberikan oleh adik iparnya kepada Zamir.
"Tahniah, abang bangga dengan Zamir," ucap Tuan Ammar bangga.
Zamir tersenyum nipis. Itu sahaja cara yang mampu dilakukan olehnya untuk membalas jasa-jasa Keluarga Emir yang telah menjaga dan membesarkan dirinya dalam keadaan yang cukup sempurna. Diberi kasih sayang dan tempat tinggal kepadanya tanpa meminta sedikit pun balasan. Bagi membalas jasa mereka, dia bersetuju untuk menjadi ahli Kesatuan Durrah biarpun masa lapangnya menjadi gadaian. Lagipun, dengan menjadi ahli Kesatuan Durrah, dia bukan sahaja mampu membalas jasa Keluarga Emir, tetapi juga berbakti kepada ummah.
"Terima kasih Zamir. Kalau Zamir tiada, pasti kumpulan pengintip itu sukar diberkas," luah Tuan Ammar.
"Ala abang. Macam tak biasa sahaja. Pertolongan kecil ini sahaja yang mampu Zamir hulurkan. Tak mampu nak dibandingkan dengan jasa keluarga ini kepada Zamir. Apa salahnya Zamir turun padang sekali-sekala sementara semua ahli Kesatuan Durrah sedang sibuk sekarang," balas Zamir.
"Emm, abang tak mengantuk lagi ke?" Soal Zamir apabila tidak melihat tanda-tanda abang iparnya ingin masuk tidur. Pelik. Abang iparnya selalunya tidur awal seusai melakukan rondaan rutin disekitar AIM.
"Abang ada nak tanya sesuatu pada Zamir. Boleh?" Soal Tuan Ammar. Dia memandang tajam menusuk kedalam anak mata pemuda itu.
Zamir menelan air liurnya. Tekaknya terasa berpasir. Entah mengapa, tiba-tiba hatinya berdebar mendengar nada suara Tuan Ammar. Pandangan yang Tuan Ammar berikan juga bagaikan dia telah melakukan kesalahan besar.
"Siapa Saiful Emir?" Suara garau Tuan Ammar menyapa gegendang telinganya.
Jantungnya yang berdegup kencang tadi kini seakan mahu melompat keluar. Dia terkedu namun cepat-cepat dia membetulkan riaknya dari dihidu oleh Tuan Ammar. "Saif? Ohh, dia anak buah Zamir. Bukankah abang yang meletakkan dia dibawah usrah Zamir?" Zamir memulangkan soalan kepada Tuan Ammar.
"Iya? Abang tak pernah nampak pun maklumat dia selama ini. Tiba-tiba sahaja namanya wujud dalam senarai Nilam. Kenapa maklumat peribadinya tidak lengkap seperti ada yang cuba menyembunyikan kehadirannya disini tanpa pengetahuan abang? Setahu abang, Zamir yang menguruskan pendaftaran penuntut Nilam yang baru kali ini bukan? Cakap kenapa dia boleh berada disini? Abang tak pernah tahu pun Haidhar pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak!" Suara Tuan Ammar naik seoktaf.
Zamir bungkam disofanya. Akalnya ligat berputar mencari alasan. Habis kalau dia tersilap bicara.
Tak pasal-pasal nanti Saif akan ditendang keluar dari AIM.
Hancur segala percaturannya selama ini.
Lagipun, kalau dia menerangkan segalanya di saat itu, tak mungkin Tuan Ammar dapat menerimanya dengan baik. Baru lihat dan mengetahui nama Saif sahaja Tuan Ammar sudah naik angin sebegini.
"Emm, apa bising-bising ini abang? Zamir?" Soal Tuan Rasyid yang baru keluar dari biliknya. Jelas kelihatan bahawa lelaki itu baru terjaga dari lenanya. Rambutnya kelihatan serabai. Matanya yang juga kelihatan sedikit kuyu. Dia menguap luas namun cepat-cepat ditutup dengan belakang tapak tangannya. Dia melangkah mendekati dua adik-beradiknya yang bukan kandung itu.
"Maaf, abang kejutkan Rasyid dari tidur ya?" Kata Tuan Ammar. Nadanya kembali mengendur.
"Tak mengapa. Boleh Rasyid berqiamullail sebentar nanti. Kenapa abang meninggikan suara terhadap Zamir? Berbincang elok-elok tak bolehkah?" Tegur Tuan Rasyid dalam nada yang lembut. Dia kini mengambil tempat disisi Tuan Ammar.
"Maaf. Abang terlalu ikutkan perasaan tadi. Maafkan abang, Zamir, Rasyid," ujar Tuan Ammar kesal.
Zamir tersengih. "Tak mengapa. Abang bukan sengaja pun. Zamir faham".
"Tetapi jangan ingat abang tak akan tuntut jawapan dari Zamir. Abang mahu jawapan sekarang juga,"ujar Tuan Ammar. Nadanya kembali tegas.
Terus mati sengihan Zamir. Sangkanya dia sudah terlepas dari buruan soalan-soalan Tuan Ammar . " Abang, bukan Zamir tak mahu jawab tetapi abang rasa Zamir punya jawapan yang abang cari ke?" Duga Zamir.
Tuan Ammar terpempam seketika. Kata-kata Zamir bagaikan menyatakan bahawa pemuda itu kesal dengan tuduhannya.
Apa dia yang terburu-buru membuat kesimpulan bahawa Zamir mengetahui sesuatu mengenai Saif?
Atau Zamir yang tersalah faham dengan ayatnya?
Tuan Rasyid hanya diam sambil memerhatikan perbualan dua lelaki itu. Kantuk yang bermain dimatanya tadi sudah hilang dalam kepanasan perbincangan Zamir dan Tuan Ammar. Tanpa menyoal lebih lanjut, dia sudah tahu hujung pangkal cerita. Pasti mengenai budak yang diceritakan oleh Tuan Ammar tempoh hari. Sayangnya, sampai ke hari ini dia belum berpeluang melihat wajah budak yang dikatakan amat mirip dengan satu-satunya abang kandungnya itu.
Melihat Tuan Ammar hanya berdiam diri, Zamir menyambung bicaranya. "Abang, Zamir tahu kesakitan yang abang rasakan setiap kali teringatkan abang Haidhar. Zamir pun merasai perasaan yang sama. Sakit bila mengenangkan orang yang kita rapat, yang kita sayang, menghilang tiba-tiba tanpa berita. Entahkan hidup, entahkan mati. Tanpa sedar, sudah enam belas tahun berlalu sejak pemergian abang Haidhar. Seperti abang, Zamir juga sayangkan abang Haidhar. Dialah abang, dialah sahabat bagi Zamir. Kalau tak kerana abang Haidhar, tak mungkin Zamir boleh berada disini pada hari ini. Zamir tak pernah lupakan budi abang Haidhar kepada Zamir. Maka, abang fikir sanggupkah Zamir sengaja mengupah seorang budak tak dikenali untuk datang ke sini? Dan ubah pula wajahnya untuk menyerupai abang Haidhar? Untuk apa? Mempermainkan perasaan ahli keluarga Zamir sendiri? Apa yang Zamir dapat dari semua ini?"
Kedua-dua Tuan Rasyid dan Tuan Ammar berpandangan. Luahan Zamir tadi sedikit sebanyak menusuk hati mereka termasuklah Tuan Rasyid yang tidak mencampuri perbalahan itu.
"Zamir, abang..."
"Zamir kecewa dengan abang. Abang sudah lama mengenali Zamir. Sejak Zamir kanak-kanak lagi. Abang Rasyid pula, kenal Zamir sejak Zamir bayi lagi. Tetapi, mana menghilangnya kepercayaan abang kepada Zamir? Abang tanya tadi siapa Saif sebenarnya.... Kalau abang benar-benar nak tahu, Saif itu ialah Saiful Emir bin Haidhar Emir, anak buah Zamir. Selain dari itu, maaf. Zamir tak mampu menjawab soalan abang. Lagipun, Zamir sudah menganggap Saif sebagai ahli keluarga sendiri. Dia pengubat rindu Zamir kepada abang Haidhar. Kalau abang ingin buat apa-apa pada dia, langkah mayat Zamir dulu!"
Tamat sahaja ayat terakhir Zamir, dia terus berlalu ke biliknya. Meninggalkan Tuan Ammar dan Tuan Rasyid terkulat-kulat di tempat masing-masing. Di biliknya, dia terus merebahkan diri diatas katil sebelum termenung jauh.
Kali ini dia terselamat dari terus disoal-siasat oleh abang-abangnya sendiri. Namun, selama mana dia mampu melarikan diri? Lambat-laun, semuanya akan terbongkar juga.
Tetapi apa yang memeritkan hatinya, serapuh itukah kepercayaan Tuan Ammar kepada dirinya? Selepas suka duka yang mereka lalui bersama sebagai keluarga selama ini?
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...