Bab 6

548 83 3
                                    

"Fathul mana?"

Hampir melompat Furqan apabila disapa suara Saif tiba-tiba. Wajah Saif dipandang sekilas sambil dia mengurut dadanya yang berdegup kencang. Anehnya, tak pula dia mendengar bunyi pintu mahupun tapak kaki Saif. Sedar-sedar, sahabatnya telah berada dibelakangnya.

"Bagaimana nak mendengar kalau saudara khusyuk membaca dari tadi dengan dahi yang berkerut seribu," ujar Saif bagai mengetahui apa yang bermain di fikiran sahabatnya. Jarang Furqan dilihat bersama buku ditangan tetapi setiap kali dia menelaah, pasti akan dilakukan dengan sepenuh tumpuan.

Furqan membuat muka namun malas berbahas perkara itu lebih lanjut. Sudah faham benar dengan perangai Saif yang suka mengejutkannya sebegitu. Malah setiap apa yang difikirkan dalam kepalanya pasti akan dibalas oleh Saif. Mentang-mentang nalurinya tajam dan memiliki kebolehan untuk menyelinap dengan pantas, sesuka hati Saif mengenakan dia. Malah Fathul juga kerap kali terkena.

"Saudara dari mana?" Soal Furqan. Pelik apabila seharian pemuda itu tiada di bilik sedangkan hari ini adalah hujung minggu. Tiada kelas.

"Dari kutubkhanah. Sengaja melepak disitu sambil membaca buku. Lagipun, hari ini orang tak ramai," balas Saif sambil mengatur langkah ke katilnya.

Furqan mengangguk perlahan. Itu lagi satu tabiat Saif yang telah dihadam olehnya. Kutubkhanah sudah seperti rumah kedua Saif. Tak pernah ada hari yang berlalu tanpa pemuda itu menjejakkan kaki ke sana. Perkara lazim bagi penuntut kelas Mawar yang berjiwa ulat buku.

Furqan membetulkan posisi duduknya agar kelihatan lebih sopan sebelum kembali menumpukan perhatian pada bukunya.

Mata Saif meliar ke sekeliling bagi mencari kelibat Fathul. Pemuda itu lansung tidak kelihatan mana-mana. Pintu bilik air juga terbuka luas menandakan pemuda itu juga tiada disitu. Malah, cadar katilnya tegang tanda tak berusik. "Mana Fathul?" Saif mengulang soalan pertamanya yang masih belum dijawab oleh Furqan.

Furqan mengangkat kembali kepalanya, memandang terus ke wajah Saif yang sedang enak bersila diatas katil. "Balik ke rumah katanya," balasnya pendek. Furqan menutup bukunya. Tiba-tiba terasa malas untuk terus menyambung pembacaannya setelah diganggu dua kali oleh Saif. Lagipun, bersembang dengan Saif lebih menarik perhatiannya dari buku yang dipenuhi jutaan huruf sehingga mampu membuatkan mata berpinar-pinar.

Dek terasa dahaga, Furqan bangun berlalu ke dapur. Air masak dicapai lalu dituang kedalam gelas kaca. Dia melabuhkan duduk diatas kerusi lalu meneguk airnya.

Saif termenung jauh dikatilnya. Mendengar Fathul pulang ke rumah telah membangkitkan kerinduannya kepada Rafael.

Dia mencapai keris pemberian Rafael yang diselitkan dibawah tilam berhampiran kepala katil.

Diletakkan keris itu diatas ribanya sambil melarikan jari-jemarinya di atas setiap corak ukiran yang menghiasi permukaan sarung keris.

Menyentuh keris itu membuatkan ada perasaan halus yang menjalar ke dasar kalbunya yang paling dalam. Rasa rindu, keliru, sedih berbaur dalam ruang kamar hati yang sama.

Rafael tak pernah menceritakan siapa dirinya yang sebenar. Dia hanya tahu nama kedua orang tuanya, Haidhar Emir dan Yasmin Raihanah.

Hanya itu...

Tiada maklumat lain yang didedahkan kepadanya. Dia tak tahu kenapa Rafael begitu berahsia dengan dirinya. Kenapa Rafael selalu mengawal keselamatannya dengan begitu ketat. Siapa orang-orang yang memakai lambang helang hitam yang mencengkam tengkorak berwarna merah darah. Kenapa Rafael memberinya keris itu dengan alasan keris itu adalah bukti dia merupakan pewaris cahaya.

Siapa mereka... dan paling penting siapa pula dia? Apa pula fungsi sebenar keris ditangannya ini?

Furqan memerhati gelagat Saif sedari tadi. Dia dapat melihat jelas kesedihan dan kesunyian yang terbias di kolam mata pemuda itu. Dari cara Saif memandang keris itu, dia tahu apa yang bermain difikiran sahabatnya.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now