Bunyi dentuman rentaka dan tembakan silih berganti tanpa henti. Irama peperangan telah lama berdendangan di ruangan udara. Tiada lagi AIM yang damai. Pertarungan hidup dan mati antara dua pihak yang berbeza pula mengambil tempat. Siang berganti malam. Peperangan dihentikan seketika. Pabila matahari kembali memanjat dada langit, peperangan rancak semula. Sudah berhari-hari keadaan berlansung demikian. Anehnya dalam tempoh itu, tiada kelibat Blizzard mahupun Haidhar yang kelihatan. Kedua-duanya hilang tanpa dikesan.
"Apa yang saudara menungkan,Saif?" tegur Fathul seraya melabuhkan punggung ditepi sahabatnya itu. Kekhusyukkan Saif merenung jumantara lazuardi membuatkan dia terpanggil untuk menegur sahabatnya itu. Sengaja mereka berdua melepak di beranda masjid ketika itu bagi menenangkan fikiran. Furqan pula menghilang entah ke mana. Dia lansung tidak melihat kelibat pemuda itu selepas solat subuh tadi.
"Tak ada apa-apa yang penting pun". Senyuman manis diukir buat Fathul.
"Saudara rindukan paman Rafael?" tanya Fathul berhati-hati. Dia faham perasaan Saif sekarang. Kehilangan Rafael benar-benar memberi kesan kepada pemuda itu. Walaupun Saif hanya beriak biasa, tetapi dia tahu hati Saif menangis dalam diam. Sesiapa pun yang berada di tempat Saif akan mengalami hal yang sama.
Saif mengangguk. Tak guna dia menafikan sedang Fathul ialah sahabat yang telah hadam dengan perangainya. Dia menarik lututnya rapat ke dada. "Paman adalah segalanya bagi saya sebelum saya menjejakkan kaki ke sini. Dialah bapa, dialah ibu. Dialah teman, dialah guru. Lima belas tahun bukan jangka masa yang singkat, Fathul. Banyak kenangan indah yang tercipta membuatkan kasih bertambah mekar. Dalam kelembutan, ada ketegasan. Dalam gurauan, ada didikan. Susah untuk saya percaya bahawa insan sebaik paman telah pun pergi. Pergi jauh melangkaui garisan antara alam dunia dan alam barzakh. Sungguh, saya rindu..."
Fathul menarik kepala Saif agar berlabuh di bahunya. Bahu Saif dipeluk erat. "In sha Allah, paman berbahagia di sana. Perjalanannya sudah tamat tetapi kisah kita baru bermula. Saya yakin, paman tak mahu saudara menangisi kematiannya tetapi dia inginkan saudara berbangga kerna perginya sebagai perwira berjasa. Andai rindu, sedekahkan al-fatihah dan doakannya. Mudah-mudahan Allah menempatkannya dalam kalangan hambaNya yang beriman".
"Terima kasih Fathul," ujar Saif.
"Saudara sahabat saya. Apa guna sahabat jika tidak saling menasihati. Lagipun, tak semua perkara kita harus pendam. Luahkan, agar tidak menjadi kudis perasaan yang membengkakkan hati," ujar Fathul sambil tersengih.
Saif kembali tersenyum. "Di mana Furqan?"
Bagai tahu dirinya dicari, Furqan muncul secara tergesa-gesa dihadapan mereka. Riaknya kelihatan cemas. Belum sempat dia menghampiri mereka, Furqan terlebih dahulu menjerit mengkhabarkan berita terbaru. "Blackwest sudah berjaya menembusi AIM!"
Hanya ayat ringkas itu yang dikhabarkan tetapi cukup untuk membuatkan darah Saif dan Fathul berderau. Mereka terus berdiri mengejut. Fathul ingin bergerak ke arah gapura namun pantas dihalang oleh Furqan.
"Biarkan saya membantu Kesatuan Durrah!" ujar Fathul sambil meronta untuk melepaskan diri dari cengkaman Furqan.
"Saudara lupakah? Tuan Ammar mengamanahkan kita menjaga Balai Besar. Jaga sahabat-sahabat kita yang masih cedera disana. Mereka tanggungjawab kita sekarang. Jangan kerana sikap pentingkan diri saudara itu, nyawa mereka jadi gadaian! Lagipun, Kesatuan Durrah bukannya lemah. Mereka pasti mampu mengawal keadaan semula," bidas Furqan.
Wajah tegang Fathul mengendur semula. Nafas panjang ditarik seraya dihembus perlahan. Tangan Furqan yang mencengkam kolar belakang bajunya dipegang lalu dibawa ke sisi. "Maafkan saya. Saya terlalu ikutkan emosi," ujar Fathul seba salah.
Furqan tersenyum manis. "Tak mengapa. Mari kita pulang ke Balai Besar," ajak Furqan.
Fathul mengangguk akur. Belum jauh mereka melangkah, baru mereka perasan Saif hanya berdiri terpaku di tempatnya. Pemuda itu bagai sedang berada dalam dunianya sendiri. Dahinya sedikit berkedut menandakan pemuda itu sedang memikirkan sesuatu yang serius.
"Saif," tegur Furqan. Bahu sahabatnya itu ditepuk perlahan.
"Mari kita pulang ke Balai Besar," ajak Fathul pula.
Saif memandang kedua-dua sahabatnya itu lama. Ajakan Fathul tidak segera dibalas. Dia masih setia memikirkan persoalan yang berlegar difikirannya. "Baiklah, saya pun mahu bertemu Amin sebentar," ujar Saif.
"Amin? Apa saudara mahu buat dengan Amin?" tanya Furqan.Perkataan 'sebentar' yang dituturkan oleh Saif mengundang rasa pelik dihatinya. Apa Saif tak berniat untuk tinggal bersama mereka menjaga Balai Besar dari diceroboh Blackwest?
"Ada sesuatu yang saya ingin pastikan. Usah risau, saya tak akan membahayakan diri sendiri lagi," janji Saif tatkala melihat riak yang tergaris pada wajah Furqan.Fathul tersenyum senget. "Saudara ini...risau sangat," ejeknya.
Furqan membuat muka.
-----------------------------------------------------------
"Amin, saya mahu berbual dengan saudara sebentar," ujar Saif sebaik sahaja terpandangkan pemuda itu berdiri di pintu Balai Besar. Lengan pemuda itu dipegang lalu ditarik pemuda itu menjauhi mereka yang lain. Amin yang tidak menjangka tindakan Saif itu hanya mampu mengikut.
"Kenapa?"
"Saudara tahu apa-apa mengenai Pedang Lazuardi?" Sengaja dia memilih Amin untuk menanyakan soalan itu kerana Amin ibarat ensiklopedia bergerak. Pemuda itu merupakan ulat buku tegar membuatkan dia mengetahui banyak perkara. Lebih banyak dari dia.
Amin mengerutkan dahi sebelum menggeleng. "Banyak pedang yang terkenal dalam sejarah Kesatuan Durrah...tetapi Pedang Lazuardi tak pernah pula saya mendengarnya.." jujur Amin walaupun dia tak faham tujuan Saif bertanyakan hal itu.
"Itu sahaja yang saudara mahu tanya? Kalau begitu saya pergi dahulu," sambung Amin lagi. Baru sahaja dia berura-ura untuk melangkah, sekali lagi lengannya dicengkam oleh Saif untuk menahannya dari pergi.
"Dalam buku 'Akademi Irsul Muta'afif dan lagendanya' ada menyebut bahawa AIM ini adalah kubu terkuat Kesatuan Durrah. Musuh yang menjejak pasti tak akan mampu berganjak. Bermakna, jika AIM diceroboh, penceroboh itu pasti akan tertangkap. Tetapi yang menangkap itu bukan ahli Kesatuan Durrah sebaliknya sistem pertahanan yang ada di AIM ini sendiri. Betul atau bukan?"
Amin kelihatan berfikir seketika sebelum mengangguk. "Ya, sistem itu berkait rapat dengan Memoir yang kita pakai ini. Penerangan lanjut tentang perkara itu ada tercatat dalam buku 'Asas Penggunaan Memoir'. Tetapi lagenda tetap lagenda Saif. Tiada sesiapa tahu bagaimana hendak menghidupkan sistem itu. Sejarah tak pernah mencatatkan," jelas Amin.
Saif menguntumkan senyuman penuh makna. "Terima kasih, saudara".
"Err, saudara tak percayakan apa yang saya cakap bukan?" tanya Amin teragak-agak. Tiba-tiba dia berasa khuatir melihat kegembiraan Saif.
Saif hanya tersenyum. Pertanyaan Amin tidak dibalas. Dia menghampiri Furqan dan Fathul yang menanti di pintu. Kedua-dua sahabatnya itu sedang memandang ke satu arah dengan raut wajah penuh kebimbangan. Bunyi peperangan kian jelas kedengaran. Menandakan semakin ramai tentera Blackwest yang berjaya menembusi AIM. Harapan untuk menang semakin tipis.
"Furqan, Fathul. Mahu ikut saya tidak?" pelawa Saif."Pergi ke mana? Siapa yang akan menjaga Balai Besar ini jika kita pergi?" balas Furqan. Bila-bila masa sahaja Blackwest akan tiba di tempat itu. Jadi mereka kena menjaga penuntut-penuntut Nilam cedera dan juga memastikan penuntut-penuntut yang dikawal oleh Blackwest tidak terlepas.
"Amin dan yang lain-lain ada. Lagipun, saya ada strategi untuk mengalahkan Blackwest. Mahu ikut tidak?"
Furqan dan Fathul saling berpandangan. Masing-masing tak dapat mengagak apa yang bermain di fikiran Saif sekarang. Kerna bimbang, mereka memberikan persetujuan. Takut Saif berniat melakukan perkara diluar jangkaan mereka. Walaupun Saif bukan orang yang memungkiri janji, perasaan bimbang tetap beraja dihati.
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...