Malam itu, Tuan Haidhar berlegar lagi disekitar kawasan pangkalan tentera Blackwest. Kali ini, dia menyamar sebagai seorang pengemis. Dia hanya memakai sehelai baju usang yang telah rabak bersama seluar besar yang berikat dipinggang menggunakan seutas tali. Wajahnya turut diconteng dengan serbuk arang dan lumpur yang telah mengering. Bawah matanya disapu dengan sedikit celak supaya kelihatan lebam. Gaya rambutnya turut diubah menjadi kusut masai dan kusam.
Tuan Haidhar terus berjalan berulang-alik di sekitar pangkalan itu tanpa arah yang tetap. Kadang-kadang, dia menyusuri lorong-lorong belakang yang gelap dan dipenuhi sampah sarap yang berbau busuk. Ada waktunya, dia sekadar duduk bersandar pada dinding mana-mana bangunan sambil memerhatikan gelagat manusia yang lalu-lalang dihadapannya. Tujuannya hanya satu, dia ingin mengkaji struktur topografi di kawasan itu sebelum dia menyempurnakan rancangannya untuk menceroboh pangkalan itu.
Berbeza dengan Tanah Lazuardi, bentuk muka bumi di Blackwest agak rata. Cuacanya agak panas dan kering kerana sekarang musim panas. Hampir sama seperti cuaca di Suwadi. Tetapi Suwadi tidak mempunyai hutan tebal seperti di Blackwest. Dari segi pembangunan pula, susunan bangunan-bangunan di situ agak jarang dan tidak teratur. Keadaan jalan raya juga teruk dan berlopak.
"Malam disinari purnama...dihiasi bintang kejora...tidurlah anakanda tercinta...ditemani dodoian bonda...moga bermimpi indah..." kedengaran satu suara gemersik mendendangkan lagu dalam bahasa Ryukyu Neo. Suaranya halus nan perlahan namun tetap cekap ditangkap oleh telinga lintah Tuan Haidhar.
Tuan Haidhar tersengih sinis melihat kemunculan sesusuk tubuh yang sememang dinantikannya. Wajah wanita itu tidak kelihatan kerana ditutupi sehelai mafla yang dililit disekeliling kepalanya. Sebilah pedang tersarung dipinggangnya manakala tangan kanannya bermain dengan terakol yang diputar-putar disekeliling jari telunjuknya. Dia hanya memerhati wanita itu berjalan melintasinya tanpa ditegur.
Wanita itu menghentikan langkahnya tiba-tiba. Matanya tajam memandang Tuan Haidhar yang sedang duduk bersila diatas tanah dengan lutut kanan yang ditegakkan. Tuan Haidhar mempamerkan riak biasa sambil bergumam sendirian. Lagak bagai seorang pengemis gila.
Tap. Tap. Tap.
Tanpa disangka, wanita itu menghampiri Tuan Haidhar. Sehelai sapu tangan dikeluarkan lalu dia mengesat kotoran pada wajah Tuan Haidhar. Tuan Haidhar tergamam seketika. Pandangan mata mereka berdua bertembung. Dan jantung mereka mula berdengup kencang.
"Astagfirullahalazim," gumam Tuan Haidhar apabila tersedar dari lamunannya. Pantas dia menepis tangan wanita itu lalu menjauhkan dirinya.
Wanita itu menggariskan senyuman nipis biarpun dia tahu Tuan Haidhar tidak mampu melihat senyumannya. Tingkah Tuan Haidhar yang kelihatan resah itu agak mencuit hatinya yang selama ini kosong.
"Benar sangkaan aku. Kau ialah Haidhar Emir," ujar wanita itu perlahan.
Tuan Haidhar tersentak sekali lagi. Dia tak menyangka penyamarannya dari dicam oleh wanita itu. Lady Mist. Seorang tentera elit Blackwest. Dia meraba wajahnya sendiri. Dia lansung tak sedar bahawa Lady Mist berjaya membersihkan wajahnya yang kotor itu. Sekaligus membongkarkan identitinya yang sebenar.
"Nyata, kau manusia yang berpegang pada janji. Kau datang...."
Tuan Haidhar mengukir senyuman manis. "Saya telah berjanji akan menyelamatkan saudari bukan? Dan saya juga telah menemui adik kandung saudari".
Lady Mist terpana melihat senyuman Tuan Haidhar. Bukan kali pertama dia melihat senyuman itu, tetapi entah kenapa kali ini senyuman itu dirasakan berbeza. Satu perasaan aneh mula menjalar ke dalam hati wanitanya. Lama dia merenung wajah Tuan Haidhar. Dalam diam, dia memuji kekacakan wajah lelaki itu. Wajah tenang Tuan Haidhar nyata mampu menenangkan jiwanya yang sentiasa kacau. Bagai ada nur yang terpancar pada wajah itu.
Tuan Haidhar berdehem perlahan seraya memalingkan wajahnya. Entah kenapa, wajahnya memerah melihat pandangan Lady Mist yang lansung tidak berkedip itu. Lady Mist yang tersentak mendengar deheman Haidhar turut memalingkan wajahnya kerana malu. Buat seketika, dia terlupa Haidhar tidak mampu melihat riak wajahnya yang terselindung disebalik lilitan mafla itu.
"Mist, mahukah saudari larikan diri dari tempat ini?" soal Tuan Haidhar bagi memecah suasana kekok itu.
Lady Mist mengeluh seraya mendongak melihat langit malam. "Jika aku pergi, bagaimana nasib mereka yang lain? Ya, aku kejam tetapi aku bukan orang yang pentingkan diri. River, Wind, Storm, Ice...semua sudah aku anggap sebagai keluarga sendiri. Aku tak mampu meninggalkan mereka begitu sahaja. Lagipun, aku tidak yakin Blizzard menunaikan janjinya. Aku tak mahu ada rakyat Ryukyu Neo yang menerima nasib yang sama seperti aku, River, Wind dan yang lain-lain," jelas Lady Mist.
"Bagaimana dengan adik saudari?"
"Kau sudah jumpa adik aku?" tanya Lady Mist dalam nada terkejut. Dia tidak mendengar kata-kata Tuan Haidhar sebelum ini kerana terlalu asyik memandang senyuman lelaki itu.
Tuan Haidhar mengangguk sambil tersenyum nipis. "Ya, siapa sangka selama ini dia berada dekat dengan saya. Dia adalah adik angkat saya. Namanya sekarang ialah Muhammad Zamir," balas Tuan Haidhar.Air mata Lady Mist mula menitis keharuan. Gembira mendengar adiknya masih hidup. "Terima kasih," ujar Lady Mist sebak.
"Tetapi dia tidak mengingati saudari. Dia tak tahu siapa dirinya dan masa lalunya. Saya belum ceritakan perkara sebenar kepada dia. Maafkan saya".
Lady Mist memejamkan matanya seketika. Mengambil masa untuk menghadam hakikat pahit itu. "Tak mengapa. Mungkin itu yang terbaik. Dia tak perlukan seorang kakak yang merupakan tentera Blackwest yang kejam." ujar Lady Mist
Tuan Haidhar berdiri. Hatinya terasa sayu melihat kesedihan wanita itu. Apa dia cuma bertindak sebagai seorang manusia atau sememangnya dia benar-benar mengambil berat tentang wanita itu. Lady Mist, wanita pertama yang menarik perhatiannya selaku seorang lelaki. Pertembungan pertama mereka di Suwadi nyata menyemai benih cinta dalam hatinya. Mereka bertarung. Hampir-hampir Lady Mist kalah sebelum wanita itu diselamatkan oleh Storm. Kemudian, takdir menemukan mereka lagi beberapa hari kemudian di tempat yang sama. Tanpa diduga, Lady Mist menceritakan kisah bagaimana dia sebagai rakyat Ryukyu Neo boleh terjebak dengan Blackwest. Kisah yang sangat meruntunkan hati. Selaku pemimpin Kesatuan Durrah, dia tak bentah mendengar cerita Lady Mist tanpa mengambil tindakan sepatutnya. Maka, satu keputusan diambil. Dia menyelinap masuk ke Blackwest walaupun berisiko tinggi. Dia ingin mengakhiri kesengsaraan Lady Mist dan rakyat Ryukyu Neo yang senasib dengan wanita itu. Blizzard memang melampau!
"Saya akan bantu saudari dan mereka yang lain. Saya akan kembalikan sinar kebahagian pada wajah saudari. Bagi saya, saudari tetap rakyat Kesatuan Durrah. Maka, saudari dan yang lain tetap tanggunghawab saya. Saya tak akan biarkan Blizzard berjaya dengan rancangan gilanya. Ini janji saya, janji saya sebagai pemimpin Kesatuan Durrah". tekad Tuan Haidhar.
"Terima kasih...terima kasih..." ujar Lady Mist sambil melutut di atas tanah. Sungguh dia tak menyangka, masih ada sinar harapan untuk dia keluar dari kemelut ini. Kemelut yang menjadikan dia seorang yang dingin dan tidak mempunyai perasaan. Namun pertemuan dengan Tuan Haidhar mengubah segalanya. Sungguh, dia benar-benar gembira....
"Mist, jangan begini. Bangunlah...bagaimana jika ada tentera Blackwest yang nampak nanti? Pasti mereka syak bukan-bukan," ujar Tuan Haidhar. Dia tidak selesa melihat tindakan Lady Mist itu. Dia masih belum melakukan apa-apa. Jadi, tak wajar untuk Lady Mist menghormatinya sehingga ke tahap itu.
Lady Mist akur lalu kembali berdiri. Benar kata Tuan Haidhar. Dia lupa bahawa kawasan itu dekat dengan pangkalan tentera Blackwest. Kalau dia tak berhati-hati, pasti ada yang melaporkan perkara itu kepada Blizzard. "Jadi, apa rancangan kau sehingga sanggup datang ke sini?" soal Lady Mist ingin tahu.
Tuan Haidhar mengangkat keningnya sambil mengukir senyuman penuh makna. Matanya dilirik ke arah pangkalan tentera Blackwest itu. "Jadikan saya tentera Blackwest".
"Hah?"
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...