Bab 15

465 69 0
                                    

    Saif berjalan menyusuri deretan kedai di Pekan Tualang Biru itu. Pekan itu adalah pekan terdekat dengan AIM dan merupakan pekan terbesar di Pulau Mutiara ini. Fathul, Furqan dan abang Zamir sudah jauh ke hadapan. Furqan teruja menjelajah pekan itu dengan abang Zamir dan Fathul yang berlagak sebagai pemandu pelancong memandangkan pekan ini sememangnya tempat tinggal mereka sejak azali lagi. Ke sana sini Furqan berlari bagai anak kecil yang gembira apabila ibubapanya membawanya melancong. Pemuda itu tampak seronok melihat suasana pekan itu yang sudah pasti berbeza dengan negara Ryukyu Neo.

    Saif pula lebih selesa mengekori dari belakang sambil menghayati suasana pekan itu. Dia membiarkan mereka bertiga berbual rancak sesama sendiri. Dia tersenyum nipis melihat Furqan yang singgah dari satu kedai ke kedai lain. Hatta, kedai menjual bunga pun dia masuk!

    Ini kali pertama dalam sejarah hidupnya, dia berjalan bebas bersama sahabat-sahabatnya. Di Suwadi, Rafael sentiasa mengawal ketat segala gerak-gerinya setiap kali mereka keluar dari kawasan hutan yang menjadi tempat tinggal mereka. Tetapi dia tidak kisahkan semua itu. Dia tahu bahawa Rafael ada alasan tersendiri.

    "Haidhar?" Ujar satu suara garau.

    Tanpa sedar, Saif menoleh ke arah kedai yang menjual senjata logam itu. Bau serbuk besi dan arang kayu menusuk hidungnya. Beberapa bilah pedang tergantung kemas pada dinding kedai. Turut kelihatan puluhan terakol dan istingar tersusun kemas dalam almari kaca sebagai pameran. Di sebuah meja kayu bulat yang berselerak dengan peralatan bertukang dan habuk-habuk kayu, dia melihat seorang lelaki sedang terpaku melihat kehadirannya. Di luar kesedarannya juga, dia melangkah mendekati lelaki itu.

    "Maafkan saya. Nama saya Saif. Kenapa pak cik memanggil saya Haidhar?" Soal Saif pura-pura tidak tahu. Walhal dia sudah menduga bahawa lelaki ini mengenali ayahandanya.

    "Maafkan pak cik. Pak cik sangka kamu adalah sahabat pak cik yang telah lama menghilang," ujar lelaki itu sopan sambil menundukkan sedikit kepalanya. Lelaki itu mengukir senyuman manis. Dia meletakkan pedang yang sedang diasahnya dengan berhati-hati diatas meja.

    "Tak mengapa. Sejak saya memasuki AIM, ramai yang menyalah anggap saya sebagai Tuan Haidhar. Benarkah wajah saya begitu seiras dengannya?" Soal Saif ingin tahu.

    Lelaki itu kelihatan termenung seketika sebelum membalas, "Kamu berdua sangat seiras. Bentuk muka yang sama, hidung yang sama, warna kulit yang sama. Tambah pula, semasa dia menghilang dahulu, usianya lebih kurang kamu juga. Masih muda belia. Seperti kamu, dia juga sangat menghormati orang lain. Semua orang senang dengan dirinya. Walaupun dia merupakan ahli Keluarga Emir dan prodigi Kesatuan Durrah tetapi dia sentiasa merendah diri. Bagi Kesatuan Durrah, dia adalah cahaya yang menerangi Kesatuan Durrah setelah mereka kehilangan pemimpin mereka iaitu Tuan Miftahul Emir".

    Saif tersenyum nipis. Walaupun dia tidak pasti sama ada ayahanda ialah orang yang sama dengan Tuan Haidhar Emir yang sering dibicarakan oleh orang-orang di sini tetapi dia berasa seronok mendengar kisahnya. Sungguh dia berasa kagum dengan bekas pemimpin Kesatuan Durrah itu.

    "Baiklah pak cik. Saya pinta diri dahulu. Saya mahu mencari sahabat-sahabat saya," ujar Saif apabila dia kembali teringatkan usrahnya. Dia menghulurkan tangan bagi bersalaman dengan lelaki itu.

    Kemudian dia berpaling mencari kelibat sahabat-sahabatnya dan abang Zamir. Jumpa. Mereka bertiga masih leka melihat barangan antik yang dijual di salah satu gerai di penghujung jalan. Belum sempat dia membuka langkah, terasa tubuhnya ditarik kuat menuju ke belakang kedai. Tubuhnya dicampak deras sebelum menghentam tong sampah kosong di situ.

    "Pak cik? Kenapa?" Soal Saif apabila terlihat lelaki yang ditegurnya tadi sedang tersenyum sinis memandangnya. Hilang kemanisan pada wajah lelaki itu digantikan aura gelap. Saif kembali berdiri. Dia semakin terpinga-pinga dengan keadaan itu apabila seorang lagi lelaki muncul di belakang pak cik itu. Kelihatan lambang tengkorak merah darah yang dicengkam oleh dua-dua kaki helang berwarna hitam pada pakaian lelaki itu di bahagian dada.

    "Stone, bukankah kau sepatutnya memengsan budak ini terus?" Soal lelaki kedua itu dalam bahasa Blackwest. Kedengaran nada suaranya begitu dingin.

    Lelaki yang dipanggil Stone itu tersenyum sinis. "Tenanglah, Ice. Kau tak nak rasakah kepuasan bermain dengan pewaris cahaya dan kabus ini?"

    Saif memerhati perbualan mereka dengan pandangan tajam dalam keadaan bersiaga. Dia dapat meneka bahawa kehadiran mereka bukan untuk menghulurkan tali persahabatan. Dia sudah hampir terpedaya tadi. Dalam diam, dia teringatkan Rafael. Mereka..ialah pihak yang sama yang menyerangnya dan Rafael satu ketika dahulu. Tetapi kenapa? Apa kaitan Rafael dengan Blackwest?

    "Siapa kalian?" Tegas Saif bertanya.

    "Eh, tak kenal kami ke? Kami adalah malaikat maut kau!" Serentak itu mereka berdua menyerang Saif.

    Namun Saif lebih pantas bertindak. Dengan menggunakan tubuhnya yang ringan, dia melompat tinggi melangkaui kepala mereka berdua ke arah bertentangan. Mereka berdua kelihatan terkejut dengan kepantasan Saif mengelak.

    "Emmm, pantas. Berbaloi aku berlawan dengan kau hari ini," ujar Stone sebelum kembali menyerang Saif. Dia meluru laju dengan penumbuk yang digengam erat.

    Saif memusingkan tubuhnya secara mengiring tanpa berganjak setapak pun. Serangan itu tersasar. Tanpa membuang masa, dia terus menunduk rapat ke tanah sebelum menyadung kaki Stone. Lelaki itu tumbang ke belakang. Kepalanya menghentak tanah.

    Giliran Ice menyerang Saif. Dia menghayunkan tendangan sulungnya ke belikat Saif. Saif pantas mengolekkan dirinya menjauhi lelaki itu. Belum sempat dia mengatur nafasnya kembali, Ice berjaya menghadiahkan penumbuk sulungnya tepat di pipi Saif. Saif tersungkur mencium tanah.

    Ice memandang Stone yang telah bangkit kembali. "Tengoklah budak mentah ini. Sekali makan penumbuk, sudah tersungkur lembik. Ini kau kata berbaloi nak lawan!" Marah Ice kepada temannya itu.

    "Lembik-lembik dia pun, sakit kepala aku dikerjakan, bodoh!" Bentak Stone pula.

    "Itu maknanya kau pun lembik seperti dia," selamba Ice membalas. Dia merenung Saif yang masih terbaring.

    "Apa kau kata? Aku salah seorang tentera elit Blackwest! Tak macam kau! Kau itu cuma pembantu aku!"

    "Argghhhhh!" Jerit Ice dan Stone serentak apabila Saif menghayunkan tendangan berganda kepada mereka. Pertengkaran mereka tadi mati begitu sahaja. Walaupun serangan Saif tak mampu menjatuhkan mereka, bisa serangannya tetap terasa. Saif sekadar tersenyum sinis.

    Stone mengetap bibirnya geram. Didorong rasa terhina melihat senyuman Saif, dia meningkatkan kepantasan serangannya. Bertalu-talu dia melancarkan penumbuknya ke arah Saif namun pemuda itu mengelak dengan penuh tenang. Akhirnya, Stone terpaksa berhenti akibat menahan lelah. Dia tercunggap-cunggap mencari nafas.

    Dalam diam Ice menyelinap ke belakang Saif. Saif yang mendengar bunyi angin dibelah laju dibelakangnya pantas merebahkan tubuhnya lalu dia menyepak sisi lutut Ice. Kedengaran bunyi tulang meretak diiringi jeritan kesakitan Ice.

    Terleka dengan kecederaan Ice yang tidak diniatkan itu, Saif tidak perasankan Stone kembali menyerang. Kepalanya dihentak keras dengan objek tumpul dari belakang.

    Saif rebah ke bumi. Terasa kepalanya basah. Dia melihat darahnya mula bertakung di sekitar kepalanya. Tubuhnya kian melemah akibat kesakitan kepalanya yang berdenyut hebat. Pandangan matanya juga kian kelam. Terasa lengannya disuntik dengan jarum tajam.

    "Huh, tamat pun. Tak sangka kau ini kuat juga. Pasti Storm benar-benar melatih kau dengan baik," sayup-sayup dia mendengar Stone berbicara.

    Dirinya didukung oleh seseorang. Saif tidak lagi mampu melawan. Suara orang bercakap pun semakin sayup kedengaran di telinganya sehinggakan dia tidak lagi mampu mengecam siapa. Perbualan mereka juga tidak jelas. Akhirnya semuanya berubah gelap. Dia tidak lagi sedarkan diri.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now