Sebulan telah berlalu. Suasana AIM kembali seperti biasa. Ahli-ahli Kesatuan Durrah yang tercedera telah kembali mengalas tugas mereka. Yang terkorban telah selamat dikebumikan. Penuntut-penuntut AIM juga kembali menjalani kehidupan rutin. Seakan-akan peperangan sebelum ini tak pernah berlaku. Tentera-tentera Blackwest yang diberkas telah dibebaskan dengan perjanjian damai antara Kesatuan Durrah dan Blackwest.
Blackwest bukan lagi musuh yang nyata sebaliknya salah satu negara yang bernaung dibawah legasi Kesatuan Durrah. Penjaga Afkar terpilih untuk menjadi Penasihat Blackwest. Sebarang tindakan dan keputusan yang diambil oleh pemimpin Blackwest wajib dirujuk kepada Penjaga Afkar dahulu. Nampak seakan berat sebelah, namun mereka terpaksa berjaga-jaga dengan kelicikan Blackwest sehingga Blackwest tidak lagi menunjukkan sisa permusuhan secara terang-terangan atau sebaliknya.
Saif menapak masuk ke bilik mesyuarat Kesatuan Durrah itu diiringi Furqan dan Fathul. Senyuman dan lambaian mesra dihadiahkan buat ahli Kesatuan Durrah yang menyapa mereka. Tempat yang disediakan khas buat mereka dibarisan hadapan diduduki. Hari ini Tuan Haidhar akan mendedahkan rahsia mengenai kehilangannya enam belas tahun lalu. Hanya mereka bertiga dalam kalangan penuntut AIM yang hadir kerana mereka mempunyai kaitan dengan perkara yang akan disampaikan oleh Tuan Haidhar sama ada secara lansung atau tidak lansung.
Tuan Haidhar yang perasan akan kehadiran anakandanya itu segera mampir. Tubuh Saif dipeluk dengan berhati-hati lantaran tangan Saif yang patah itu belum sembuh sepenuhnya.Kepala pemuda itu diusap dengan penuh kasih sayang. Redup matanya merenung mata Saif yang persis arwah isterinya itu.
"Dimana Tuan Ammar, Tuan Rasyid dan abang Zamir, ayahanda?" tanya Saif. Matanya meliar mencari bayangan ketiga-tiga Keluarga Emir itu tetapi tidak ketemu.
"Masih diluar. Mengiringi sultan kesini," jawab Tuan Haidhar. Matanya dialih memandang Fathul. Pemuda itu hanya tersenyum manis.
"Tuan, sudah sampai masanya," ujar 'Ifwat.
Tuan Haidhar mengangkat kepalanya. "Terima kasih. Sebentar lagi saya ke sana," balasnya.
'Ifwat mengangguk sambil mengariskan senyuman nipis. Dia berlalu ke bahagian kiri bilik mesyuarat itu seraya mengambil tempat dikerusi yang kosong.
Tuan Haidhar kembali memandang Saif. Dia mengusap kepala Saif sekali lagi sebelum berlalu ke hadapan. Dia berdiri diatas pentas kecil itu. Serta-merta suasana di dalam bilik mesyuarat itu senyap. Semua mata tertumpu ke arah Tuan Haidhar.
"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wahai Sultan Faizan Rafiq dan Putera Fathul Adzfar yang dihormati, Keluarga Emir yang dicintai serta sahabat-sahabat seperjuangan yang saya kasihi," ujar Haidhar sebagai kata pemula.
"Eh, ayahanda telah tiba ke?" tanya Fathul yang pelik mendengar kata alu-aluan Tuan Haidhar.
"Itu...ada dibarisan paling hadapan sana," jawab Furqan. Jari telunjuknya ditunjukkan ke arah depan.
"Bila masa mereka masuk?" tanya Fathul dalam nada perlahan. Enggan menganggu ucapan Tuan Haidhar.
"Tadi. Saudara yang tidak perasan," sampuk Saif yang duduk ditengah-tengah mereka.
Fathul memuncungkan mulutkan mulutnya membentuk huruf 'o'. Pandangannya kembali ditumpukan kearah Tuan Haidhar.
"Tujuh belas tahun lalu, saya pernah ke Suwadi atas tujuan untuk menghalang Blackwest yang cuba menyerang Pekan Zayan yang terletak berdekatan sempadan antara Suwadi dan Blackwest. Misi itu membawa kepada pertemuan saya dan Lady Mist. Tanpa saya duga, Lady Mist mengkhabarkan satu rahsia yang sama sekali tidak saya duga berkaitan dengan kehilangan misteri kanak-kanak di Ryukyu Neo puluhan tahun lalu," ujar Tuan Haidhar. Dia jeda seketika.
"Demi Allah, sungguh saya benar-benar terkejut mendengar maklumat itu.Blackwest merancang untuk mengambil alih pemerintahan Rykuyu Neo dengan menculik beberapa kanak-kanak dari keluarga yang mempunyai pengaruh besar disana. Kanak-kanak ini kemudiannya akan menjalani proses pencucian otak dan dilatih untuk menjadi pengintip. Sampai satu masa yang ditetapkan, mereka akan dikembalikan ke Ryukyu Neo dengan identiti asal mereka sebagai pewaris keluarga-keluarga yang berpengaruh itu. Perlahan-lahan mereka mendapatkan kepercayaan keluarga dan masyarakat sekeliling. Apabila kedudukan mereka telah kukuh, mereka akan menguasai Ryukyu Neo dari segenap sudut. Kesultanan Ryukyu Neo akan dijatuhkan dan Ryukyu Neo akan berada dalam gengaman mereka. Lalu, Ryukyu Neo dijadikan asas untuk menumbangkan Kesatuan Durrah".
Kedengaran suara-suara terkejut bergema didalam bilik mesyuarat itu. Tuan Ammar dan Tuan Rasyid saling berpandangan. Bagi mereka, Ryukyu Neo adalah negara Kesatuan Durrah yang paling selamat diantara ketiga-tiga negara Kesatuan Durrah. Ryukyu Neo terletak jauh dari Blackwest menyebabkan negara itu mampu membangun dengan majunya tanpa campur tangan dari Blackwest sebagaimana yang terjadi pada Suwadi. Justeru itu, mereka sama sekali tak menduga bahawa negara itu pernah terancam sehingga begitu sekali.
"Tetapi, ada satu perkara yang berlaku diluar jangkaan mereka. Salah seorang kanak-kanak itu tidak terkesan dengan pencucian otak yang mereka lakukan. Menyedari betapa bahayanya kewujudan kanak-kanak itu, maka mereka mengambil keputusan untuk menugaskan Jeneral Storm agar sentiasa berada disamping budak itu untuk mengawalnya," ujar Tuan Haidhar lagi.
Seorang ahli Kesatuan Durrah mengangkat tangan. Setelah diizinkan oleh Tuan Haidhar, dia bangun untuk menyuarakan satu persoalan. "Kenapa mereka tidak membunuhnya sahaja. Bukankah membunuh itu telah sebati dalam jiwa mereka. Sekadar satu nyawa, tak akan memberi kesan kepada rancangan mereka," tanya lelaki itu.
"Salah kenyataan kamu itu. Mereka tidak mampu membunuhnya kerana dia merupakan aset mereka yang paling besar. Kanak-kanak itu ialah puteri Ryukyu Neo. Tanpa kanak-kanak itu, rancangan mereka tidak akan sempurna. Sebelum ini, mereka turut menculik putera Ryukyu Neo tetapi malangnya si puteri itu telah berjaya membebaskan adiknya semasa dalam pelayaran menuju ke Blackwest," jelas Tuan Haidhar.
Sekali lagi kedengara gema suara-suara terkejut di dalam bilik itu. Seorang lagi ahli Kesatuan Durrah mengangkat tangannya.
"Bolehkah tuan memberitahu siapa gerangan putera dan puteri Ryukyu Neo itu? Apakah mereka masih hidup?" pinta lelaki itu.
Mata Tuan Haidhar sedikit berkaca. Namun tiada sesiapa yang menyedari hal itu kerana lebih tertumpu kepada jawapan yang bakal dilontarkan oleh lelaki itu. "Puteri itu ialah Lady Mist, yang telah kembali memeluk Islam. Dia juga merupakan arwah isteri saya dan bonda Saif. Kerana itu Lady Mist selalu menutup wajahnya. Bukan kerana kemahuannya tetapi kerana Blackwest tak mahu kita sedar yang puteri Ryukyu Neo masih hidup ketika itu," balas Tuan Haidhar dalam senyumannya. Dia menyeka air mata yang sudah bertakung di tubir mata. Kerinduan kepada arwah isterinya itu kembali bersenadung dalam sanubari. Perlakuannya itu membuatkan seisi bilik itu terharu simpati.
Tuan Haidhar ketawa kecil. Cuba mengusir kesedihan yang bertandang. "Tetapi adiknya masih hidup. Atas izin Allah, selepas dihayutkan didalam bot keselamatan oleh kakaknya, adiknya itu terdampar ke pulau ini. Diambil Keluarga Emir sebagai anak angkat dan dibesarkan menjadi seorang pemuda yang cukup soleh".
Serentak itu semua memandang ke arah Zamir yang terkedu. Zamir teringatkan pertarungannya bersama Night. Ini rupanya rahsia yang dipendam Tuan Haidhar dari pengetahuannya. Padanlah Night bersungguh ingin membunuhnya. Kerna selain menjadi anak angkat Keluarga Emir, dia ialah adik kandung Lady Mist sekaligus menjadikan dia adik ipar Tuan Haidhar dan bapa saudara Saif. Dan...lansung dia tak menyangka bahawa dia ialah seorang putera.
"Punca kerana tiada sesiapa yang sedar bahawa Zamir ialah putera Ryukyu Neo kerana dia diculik selepas baru beberapa hari dilahirkan. Pada masa yang sama, keadaan di sempadan Suwadi dan Blackwest sangat huru-hara menyebabkan operasi pencarian kanak-kanak yang hilang di Ryukyu Neo tak dapat dijalankan dengan sempurna. Ketiadaan petunjuk walaupun lebih setahun siasatan dijalankan membuatkan kes itu terpaksa ditutup".
Tuan Haidhar berlalu turun dari pentas itu lalu mendapatkan Zamir. "Maafkan abang kerana merahsiakan hal ini, Zamir," ujar Tuan Haidhar perlahan.
Zamir tak menjawab. Malah kepalanya hanya ditunduk menahan sayu. Tuan Rasyid memeluk bahu pemuda itu. Faham akan kekacauan perasaan yang sedang dialami oleh Zamir.
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...