Bab 28

447 64 0
                                    

    "Furqaannn!!" Jerit Saif seraya terjaga dari 'tidurnya'. Dia menarik tangannya tanpa sedar kerana tindakan reflek. Akibatnya, luka di tangannya berguris dengan besi gari yang memenjarakan pergerakannya. Bibir diketap kuat untuk menahan kesakitan. Darah merah segar menitis dari pergelangan tangannya lalu mengalir ke lengan yang sudah dipenuhi sisa darah kering.

    Saif beristighfar perlahan sambil cuba mengatur kembali nafasnya. Dadanya yang berombak kencang mula beralun tenang apabila dia semakin tenggelam dalam zikirnya.

    "Ya allah, selamatkanlah mereka di sana..." Doanya dalam hati di penghujung zikirnya.

    Sejenak Saif termenung mengingatkan mimpinya tadi. Dalam mimpinya, dia melihat Stone cuba menikam Fathul namun sempat diselamatkan oleh Furqan yang bertindak menolak Fathul ke tepi. Tikaman itu tersasar ke perut Furqan sebagai ganti. Kedengaran jeritan pilu Fathul menyebut nama Furqan tatkala tubuh Furqan rebah ke bumi. Terus Fathul menerpa ke arah Furqan lalu meriba kepala pemuda itu diribaannya. Dia melihat wajah Fathul yang dibasahi linangan air mata sebelum dia terjaga dari 'tidur'.

    Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu besi bilik itu dikuak dari luar yang memecahkan lamunannya. Saif mengintai dari celahan rambutnya yang telah panjang sehingga menutup matanya. Ice sedang melangkah masuk tanpa menutup pintu seperti biasa.

    Ice melabuhkan punggung di atas kerusi kayu dihadapan Saif dengan gaya angkuh. Kali ini, dia hanya membawa tangan kosong. Tiada senjata khas untuk menyeksanya seperti selalu. Walaupun sedikit hairan, Saif memilih untuk mendiamkan diri dari bertanya. Lagipun, Ice seorang yang sukar dijangka.

    "Pewaris cahaya dan kabus..." gumam Ice.

    Saif kekal diam tak bergerak.

    "Di mana Pedang Lazuardi?!" suara Ice mencanak naik secara mendadak.

    Saif mengangkat wajahnya lalu mempamerkan riak kosong. Acapkali dia mendengar soalan yang sama dan setiap kali itu juga dia membalas dengan jawapan yang sama. Hakikatnya, dia tak tahu dimana dan bagaimana rupa pedang yang dicari oleh mereka. Namun Blackwest tidak pernah menerima hakikat lalu menyeksanya tanpa henti.

    "Usah berlagak kuat pewaris cahaya dan kabus! Lihat keadaan kau yang lemah ini. Sampai bila kau nak menipu? Atau kau memang hendak mati?!" Gertak Ice. Hatinya berdongkol geram melihat kebisuan Saif. Pandangan dingin Saif pula tak ubah seperti menyimbah minyak ke dalam api.

    "Ice!" Tiba-tiba seorang tentera Blackwest yang sedang berdiri di luar pintu memanggil Ice.

    Ice mendengus kencang. Dia memandang tajam ke arah tentera itu seakan bertanya 'kenapa?!'

    "Kod merah. Sekarang...err...di bilik Tuan Blizzard. Tentang Stone," jelas tentera itu dalam nada sedikit gagap kerana ketakutan melihat wajah bengis Ice. Usai menghabiskan ayatnya, tentera itu terus beredar dalam keadaan kelam-kabut.

    Ice bangun. Dia menoleh ke arah Saif lalu mencengkam pergelangan tangan Saif yang telah luka dan lebam akibat terlalu lama digari. Saif menyeringai kesakitan namun tiada suara yang kedengaran. Dia enggan kelihatan lemah dihadapan Ice.

    "Urusan kita belum selesai!" Ujar Ice seraya menghentak kasar tangan Saif ke dinding.

    Tubuh Saif yang tergantung turut terhayun menandakan betapa kuatnya hentakkan Ice. Saif hanya memejamkan mata sambil berzikir perlahan. Cuba mereda kesakitannya dengan zikir. Saat dia menanggung kesakitan seorang diri tanpa ubat, hanya zikir menjadi penawar setianya.

------------------------------------------------------

    Pemuda yang terbaring lesu diatas katil itu mula mengerakkan jari-jemarinya. Kedua-dua matanya mula terbuka perlahan. Dia mengebilkan matanya beberapa kali sehingga matanya mula membiasakan diri dengan keamatan cahaya disekelilingnya.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now