Saif sibuk menyediakan makanan untuk makan malam. Dibantu oleh Fathul yang sedang mengacau kuah gulai ikan di dalam periuk. Seperti biasa, Furqan sekadar duduk termenung di meja panjang sementara menunggu dua sahabatnya selesai memasak.
Sedari minggu pertama lagi Furqan telah diberi amaran keras agar tidak menjejakkan kaki ke dapur bagi tujuan memasak angkara dia hampir-hampir meletupkan bilik ketika ingin menjerang air. Dengan kebolehan Furqan yang kosong di dapur, tak pasal-pasal AIM akan dilanda musim luruh walaupun Tanah Lazuardi beriklim Khatulistiwa.
"Assalamualaikum!" Kedengaran pintu bilik mereka diketuk beberapa kali.
"Furqan, pergi lihat siapa yang datang," arah Fathul tanpa menoleh. Dia sedang mencedok kuah gulainya ke dalam mangkuk.
"Pergilah sendiri. Saya malas," balas Furqan. Selamba dia meletakkan kepalanya di atas meja dengan berbantalkan lengannya yang diluruskan.
"Hishh, budak ini. Pergilah tengok sebentar. Ketuk dengan senduk ini baru tahu!" Gesa Fathul dengan nada geram.
Furqan memekakkan telinganya. Matanya sengaja dipejam rapat. Kedengaran pintu diketuk sekali lagi diselangi ucapan salam. Kali ini, suara itu lebih kuat dari tadi.
"Furqan, pergilah. Kesian abang Zamir lama-lama di luar tu," pujuk Saif lembut.
"Yalah..."akur Furqan sambil membuka matanya. Dia bangkit lalu menapak ke pintu.
Fathul menjuihkan mulut apabila dengan mudahnya Furqan akur dengan permintaan Saif. Dasar sahabat yang suka pilih kasih!
Sebaik sahaja daun pintu dikuak lebar olehnya, Furqan terus menelan air liur. Riaknya berubah gelisah melihat abang Zamir yang sedang mengangkat tangan ke arahnya. Di belakang abang Zamir, berdiri Tuan Ammar dan Tuan Rasyid dengan raut wajah yang sukar ditafsirkan. Teragak-agak Furqan mempelawa tiga tetamu itu masuk.
Tuan Rasyid meneliti suasana bilik yang dihuni oleh ketiga-tiga anak buah Zamir ini.
Kemas.
Segala perkakas dan alatan tersusun rapi di tempat masing-masing. Cadar ketiga-tiga katil mereka juga tegang. Lantai jubin bilik mereka bersinar membuktikan mereka sering membersihkan lantai. Terselit kekaguman dengan kebersihan dan kekemasan bilik ini.
"Tuan Rasyid? Tuan Ammar? Abang Zamir? Buat apa disini?!" Jerit Fathul yang terperanjat melihat kehadiran dua orang peneraju AIM itu bersama naqibnya.
Tersungging senyuman di bibir Tuan Ammar melihatkan reaksi Fathul yang dirasakan lucu itu. Saif lantas meninggalkan kerjanya sebentar lalu bersalaman dengan para tetamu mereka. Dicium tangan mereka sopan tanda hormat. Perbuatannya lantas ditiru oleh Furqan dan Fathul yang masih dilanda rasa terkejut. Sempat Saif melihat Zamir tersengih memandangnya.
"Err, tuan. Kami ada buat apa-apa kesalahan ke?" Soal Fathul kekok. Sampai dua orang besar AIM sanggup mencemar duli ke bilik mereka.
"Haah, kalian memang ada melakukan kesalahan besar," jawab Zamir. Wajahnya dibuat-buat serius.
Fathul segera memandang Furqan. Furqan memandang Saif. Saif hanya menjongketkan bahu tanda tidak tahu apa-apa. Lalu mereka bertiga kembali memandang Zamir serentak.
"Apa salah kami wahai abang Zamir tercinta?" Soal Saif. Dia dapat mengagak muslihat Zamir walaupun tidak tahu tujuan sebenar pemuda itu.
Zamir melihat wajah kedua-dua abang angkatnya. Seperti anak buahnya, mereka turut memandangnya dengan penuh persoalan. Zamir tersengih lalu kembali memandang anak buahnya.
"Kami mahu tumpang makan malam bersama kalian boleh?" Pinta Zamir selamba.
"Aduhhh! Abang Rasyiddd..." Rengek Zamir apabila telinganya ditarik kuat oleh Tuan Rasyid.
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...