Langkah Rafael terhenti. Dia melihat ke arah semak samun berhampiran dengan dahi yang berkerut. Rasanya tadi dia dapat mendengar bunyi yang datang dari arah sana.
"Kenapa paman?" Soal tabib Rayyan apabila menyedari Rafael tertinggal di belakang. Dia berpatah semula menghampiri Rafael yang masih merenung semak.
Rafael mengangkat jari telunjuknya seraya diletakkan di bibir. Isyarat menyuruh agar tabib Rayyan mendiamkan dirinya. Mata Rafael kekal terpaku pada rimbunan semak-samun.
"Paman!" Ujar tabib Rayyan tatkala melihat semak itu kelihatan bergerak-gerak. Dia memasang langkah siaga. Bimbang apa yang muncul nanti merupakan lawan. Manakala Rafael hanya berdiri seperti biasa. Bagai dapat mengagak bahawa apa pun yang ada di semak itu lansung tidak mempunyai sebarang niat jahat.
"Wind?" Rafael tergamam melihat lelaki itu berjalan keluar dari semak. Kelihatan Wind mendukung seseorang yang tidak sedarkan diri. Kedua-dua pakaian mereka kelihatan koyak di sana-sini disamping ada tompokan darah kering.
Wind mengalih wajahnya.
Pandangan mereka bertembung.
Tanpa sedar, kaki Rafael bergerak mendekati Wind. Ingin mengetahui tujuan lelaki itu ke sini. Sudah lama dia tidak mendengar khabar dari Wind. Langkahnya terhenti apabila melihat gerangan insan yang didukung oleh lelaki itu. Rafael terjelepok jatuh ke atas tanah. Lututnya terasa seakan lembik tak bertenaga.
"Sa..if...." Sayu suara Rafael menyebut nama pemuda itu. Kerinduan, kesedihan, kerisauan, semua berbaur menjadi satu. Tabib Rayyan yang baru tiba di sisi Rafael terpana. Dia turut dapat melihat jelas wajah pucat Saif yang tidak sedarkan diri dalam dukungan Wind biarpun dalam kegelapan malam.
"Paman! Sekarang bukan masa untuk terkejut dan sebagainya. Cepat bawa Saif ke hospital. Dia sudah tidak punya banyak masa!" Pinta Wind dalam nada separuh merayu. Tangannya digerakkan membawa tubuh Saif ke depan untuk menunjukkan tubuh Saif yang kian melemah.
Tabib Rayyan lebih pantas bertindak. Dia memeriksa keadaan Saif. "Jangan risau. Saya seorang tabib," jelas tabib Rayyan apabila Wind cuba menghalangnya. Wind akur. Lagipun tabib Rayyan sedikitpun tidak menyoal siapa dia.
Nadi Saif diperiksa. Lemah. Tanpa sebarang suara, tabib Rayyan mengambil Saif dari dukungan Wind seraya berlari ke arah hospital. Wajahnya berubah cemas. Seperti kata Wind, Saif sudah tidak punya banyak masa. Sekarang bukan masa untuk memeriksa bahawa Saif yang ini adalah yang sebenar mahupun penyamar. Nyawanya perlu diutamakan dahulu. Saif diambang maut!
Wind hanya melihat tanpa tergerak hati untuk mengikut. Dia percaya kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu memandangkan Rafael bersamanya tadi. Bersyukur kerana bertemu dengan orang yang tepat saat dia menjejakkan kaki di AIM. Sekurang-kurangnya dia tidak ditahan untuk disoal siasat. Jika itu berlaku, mungkin mereka akan terlambat untuk menyelamatkan nyawa Saif!
"Tuan berada di sini rupanya selama ini..." Ujar Wind memecahkan kesunyian yang ada. Dia kembali memandang Rafael sambil mengukir senyuman tawar.
"Maafkan saya kerana membuatkan kamu risau," Ujar Rafael dalam nada kesal. Menyesal kerana melupakan lelaki itu biarpun tidak sengaja. Dia tak sangka dapat bertemu dengan Wind di akademi ini. Apatah lagi dalam keadaan begini. "Bagaimana Saif boleh berada dengan kamu pula?"
"Saya ingin melawat tuan beberapa bulan lalu tetapi apa yang menanti saya hanyalah sisa kebakaran rumah tuan. Saya risau, tuan tidak mengirimkan apa-apa berita sejak itu. Jadi saya mengambil keputusan untuk menyelinap masuk ke Blackwest," cerita Wind.
"Walaupun lama saya di sana, tiada satu pun berita mengenai tuan. Saya hampir berputus asa sehingga satu hari saya ada mendengar mengenai Saif ada di sana. Di pangkalan yang sama dengan tempat yang saya pergi. Dan apa yang terjadi seterusnya seperti apa yang tuan fikirkan".
"Kenapa semasa River ke Blackwest, dia tidak menemui apa-apa?" Soal Rafael pelik. Dia mengetahui perkara itu dari Furqan yang sememangnya sentiasa bertukar berita dengan River.
Wind menggeleng kepalanya. "Bukan di pangkalan utama. Saif disembunyikan di Darkwood," jelas Wind lagi.
Rafael terkejut. Darkwood adalah pangkalan Blackwest yang paling kecil. Tersembunyi jauh di utara Blackwest. Kelengkapan yang ada di situ juga tidak sehebat pangkalan lain yang jauh lebih besar. Memikirkan Saif disembunyikan di sana, patutlah Saif tidak mampu ditemui oleh Kesatuan Durrah. Pangkalan itu tiada dalam senarai Kesatuan Durrah. Malah dia turut terlupa akan kewujudan pangkalan itu kerana pangkalan itu selalu diabaikannya semasa dia masih tentera Blackwest. Darkwoods hanya untuk tentera-tentera bawahan Blackwest yang tidak penting.
"Dan kamu tergerak hati ke sana?"
Wind tersengih. "Saya ingin melihat keadaan Ice juga sebenarnya. Hanya dia yang tinggal dari pasukan tuan dahulu. Walaupun kita kini berbeza agama, tetapi Ice tetap pernah menjadi teman. Tetapi saya tak sangka pula, dia yang menculik Saif sebenarnya".
Rafael perasan wajah Wind yang berubah sayu saat menyebut nama Ice. "Apa yang berlaku pada Ice sekarang?" Tanya Rafael. Bukan ingin mengambil berat tetapi hanya untuk mengorek rahsia. Dia masih marah dengan tindakan Ice menculik pemuda yang tidak bersalah itu.
"Siapa tahu...mungkin Blizzard akan membunuhnya," balas Wind dalam nada mendatar.
Rafael tidak memberi sebarang reaksi. Seakan-akan berita itu sudah diduganya sejak awal lagi.
"Tuan tahu...Ice yang menyelamatkan saya dan Saif semasa di sana. Ironi bukan, dia yang menculik Saif, dia juga yang menyelamatkan Saif," ujar Wind sambil ketawa hambar.
"Ohh...." hanya itu yang mampu dibalas oleh Rafael. Jika cerita Wind benar sekalipun, dia tak akan memaafkan Ice. Saif itu nyawanya. Dia sudah kehilangan Mist yang dianggap sebagai anak sendiri. Maka, dia tak mahu kehilangan Saif juga. Menculik Saif adalah kesalahan besar yang tak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja.
Wind akur melihat reaksi Rafael. Faham bahawa kemarahan Rafael bukan mudah dipadamkan. Dia melihat Rafael yang kembali mengatur langkah. Kali ini, ke arah hospital. Namun baru beberapa langkah, Rafael berhenti. "Pergi ke Ryukyu Neo. Jemput Keluarga Emir ke sini. Saif memerlukan mereka..." Arah Rafael.
Melihat keadaan Wind, dia yakin lelaki itu tidak apa-apa walaupun pakaiannya agak serabut dan kotor. Rafael meraba kocek bajunya. Dia mengeluarkan sebuah uncang yang kelihatan berat dan penuh.
"Ambil duit ini. Beli pakaian baru dan makanan dahulu sebelum kamu ke sana," sambung Rafael sambil melemparkan uncang duit itu kepada Wind.
Wind menyambut uncang itu dengan senang hati. Dia tersenyum nipis melihat kemurahan hati Rafael. "Di mana mereka berada, paman?"
Lebih lima belas tahun mereka terpisah, jadi dia tidak tahu apa-apa mengenai Light dan River. Hanya Rafael yang kekal berhubung dengannya selama ini. Manakala Mist sudah selesai perjalanannya di dunia ini. Wanita itu terbunuh dalam serbuan Blackwest yang turut memisahkan mereka semua.
"Ada di Kota Aii, tempat asal River. Cari orang yang bernama Solihin, pasti penduduk di sana mengenalinya," balas Rafael seraya melangkah pergi.
"Solihin..." Gumam Wind sendirian. Cuba memahat nama itu ke dalam fikirannya. Dia pasti itu ialah nama baru River. Jika ada River, maka pasti Light ada bersama. Cuma dia tidak mengerti apa yang Rafael maksudkan dengan 'mereka'. Apa ada Keluarga Emir selain Light di sana?
Setelah bayangan Rafael menghilang, Wind menyelinap masuk ke dalam semak-samun semula untuk mengelak dari ditangkap oleh penjaga-penjaga AIM. Selaku bekas tentera Blackwest, dia tak yakin bahawa Kesatuan Durrah mampu menerimanya walaupun mereka menerima Rafael.
Rafael istimewa kerana lelaki itu telah menjaga Saif sejak bayi lagi manakala dia lansung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Saif. Menghantar Saif pulang dengan selamat ke sini pun dia tak mampu. Bagaimana mereka hendak menerimanya?
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...