Bab 45

415 55 0
                                    

Ada masa gembira, ada masa duka. Ada saat kita resah tanpa punca, ada kala jatuh tersungkur tak berdaya. Petanda bahawa kita hanya seorang manusia...yang lemah..yang sentiasa memerlukan-Nya. Ujian...tanda kasih-Nya kepada kita. Lantaran kita dipilih antara jutaan manusia agar kita tidak terus hanyut dibuai arus dunia. Agar kita kembali....merintih dan bersujud pada-Nya.

Fathul merenung Akademi Irsul Muta'afif itu dalam kegelapan malam. Dia tak ke mana, sekadar duduk bersantai di atas bangunan asrama mereka. Bersendirian melayan perasaan. Bibirnya mengungkap zikir, namun air matanya tak berhenti mengalir. Sungguh, kini dia terasa lemah. Rasa keseorangan, tak mampu untuk melakukan apa-apa.

Hatinya sakit melihat satu demi satu sahabatnya cedera. Saif, Furqan, dan semua warga akademi ini... Sayang beribu kali sayang, walaupun dia bergelar seorang putera tetapi tiada satu pun perkara yang dia mampu lakukan untuk melindungi mereka yang tersayang itu. Dia rasa lemah...melihat sahabat-sahabatnya disakiti terus-menerus.

Sungguh, dia cemburukan Furqan. Kelebihan yang Furqan miliki, cukup membuatkan pemuda itu mampu melindungi mereka yang lain. Sementara dia di sini, sekadar melihat....tak mampu melakukan apa-apa. Dan setiap kali dia cuba membantu, hanya akan memburukkan keadaan. Ketika Stone menyamar sebagai Saif, dia cuba membongkar penipuan lelaki itu, tetapi pengakhirannya, dia hanya melukakan hati Furqan dengan salah faham yang berlaku. Dia juga cuba menghalang Stone dari membunuh ayahandanya, namun tindakannya membuatkan Furqan yang menderita.
Dan, dia lebih cemburukan Saif. Saif tidak pernah menunjukkan kelemahannya. Sahabatnya itu kekal tersenyum biarpun terluka. Saif yang tabah...Saif yang tak pernah kalah. Dia cemburu melihat ketenangan Saif. Andai dia mampu memiliki ketenangan yang serupa...

Apa benar kelas Matahari seperti dia tidak punya sebarang kelebihan? Tak seperti kelas Mawar dan Anggerik yang terdiri dari insan-insan genius, kelas Matahari hanyalah untuk mereka yang mempunyai keperibadian sederhana. Tak kuat namun tak juga lemah. Mereka...sekadar orang yang positif menjalani kehidupan. Tetapi saat ini, dia terasa aura positifnya mulai malap. Dia tak lagi kuat untuk terus berlagak kuat. Orang sepertinya, tak akan mampu mengejar Saif dan Furqan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka berdua. Mereka...terlalu hebat untuk bergandingan dengannya. Sungguh, dia terasa rendah diri.

"Assalamualaikum".

"Allah!" Fathul menjerit kecil akibat terperanjat. Tak menyangka ada orang lain yang segila dia untuk memanjat bumbung di malam buta sebegini. Lekas-lekas dia mengesat sisa air matanya dengan jarinya.

Penjaga Afkar menguntumkan senyuman lucu. Tanpa sebarang kata, dia melabuhkan punggungnya disisi putera Tanah Lazuardi itu. Kakinya turut dijuntaikan ke bawah agar lebih selesa.

"Aa..apa tuan Afkar buat apa disini?" Tanya Fathul dengan sedikit gagap. Terasa sedikit takut jika dia dimarahi oleh penjaga AIM itu kerana memanjat bumbung.

"Dan apa yang tuan putera buat di sini pula?" Penjaga Afkar memulangkan soalan. Santai sahaja nadanya. Jauh dari andaian Fathul.

Fathul mengalihkan pandangannya. Dia dapat merasakan bahawa penjaga Afkar sedang 'membaca' fikirannya sebagaimana apa yang Saif selalu lakukan. Dia pura-pura menghayati keindahan bulan purnama yang bersinar indah menerangi langit zulmat pada malam itu tanpa menjawab soalan lelaki itu.

Penjaga Afkar terus tersenyum. Dia dapat merasakan galau yang bermain di atma pemuda itu. Sepanjang dia bertugas sebagai penjaga, tak pernah ada insan lain kecuali Tuan Haidhar yang berani memanjat bumbung pada malam-malam sebegini. Itupun jika lelaki itu ingin bersendirian.

"Tuan putera..." panggil penjaga Afkar.

Fathul terasa kekok mendengar gelaran yang jarang digunakannya itu. Tambahan pula, dia tidak pernah berbual dengan lelaki itu sebelum ini.

"Kenapa tuan putera tidak bersama Saif dan Furqan?"

"Sahaja.." balas Fathul pantas. Kedengaran sedikit ketegasan dalam nada yang digunakannya.

Penjaga Afkar mengangkat keningnya. Dia dapat membau sesuatu yang cuba disorokkan Fathul. "Saya tak akan mencampuri urusan tuan putera. Perasaan tuan putera adalah hak tuan putera. Tetapi saya ingin menasihatkan agar tuan putera segera pulang ke bilik. Tak elok tuan putera duduk di luar malam-malam ini," nasihat penjaga Afkar.

"Saya tidak apa-apa, tuan Afkar. Sekadar merenung diri yang kerdil ini. Melihat apa yang kurang untuk diperbaiki dan apa yang ada untuk disyukuri," jelas Fathul sambil menguntumkan senyuman. Hilang suram yang bertamu diwajahnya, diganti seri cerianya seperti biasa.

Penjaga Afkar tersenyum lagi. "Indah purnama dimalam hari, menyinar indah dipagari bebintang, ukir senyuman wajah berseri, penawar hati...tandamu matang".

Fathul tersengih mendengar pujian itu. Tahu bahawa lelaki itu sedar yang jiwanya sedang bergelora. Kerana itu, bilamana dia mengukir senyuman, penjaga Afkar memujinya matang kerana tak mudah hanyut dek perasaan yang sia-sia. Kalaulah lelaki itu tahu betapa payahnya untuk dia senyum...

"Saya pulang ke bilik dahulu, tuan. Nanti budak berdua itu tercari-cari saya pula," ujar Fathul.

Baru sahaja dia hendak menyalami tangan penjaga Afkar, tiba-tiba matanya menangkap puluhan tompokan cahaya yang menyilaukan pandangan dari arah laut. Matanya terbeliak luas, mulutnya turut terlopong. Dia pantas berpaling memandang wajah tegang penjaga Afkar masih tidak melepaskan pandangannya dari tompokan cahaya itu.

"Tuan putera, boleh tuan putera beri amaran kepada Kesatuan Durrah yang lain?" Pinta penjaga Afkar. Tajam matanya menusuk jauh ke dalam anak mata Fathul. Ada sedikit kemarahan yang terbias di situ.

Fathul mengangguk faham. Dia menoleh ke arah cahaya itu semula. Siap sangka, Blackwest memulakan langkah mereka semula. Kali ini, mereka menyerang terus AIM, ibu pejabat sebenar Kesatuan Durrah. Puluhan kapal yang masih jauh itu jelas merupakan amaran keras! Peperangan tak dapat dielakkan lagi...

"Tuan, hati-hati," ujar Fathul sebelum turun dari bumbung itu.

Penjaga Afkar mengetap bibirnya. Dia melompat dari bumbung bangunan asrama itu ke bangunan sebelah. Cantik sahaja pergerakannya melompat dari satu bangunan ke bangunan lain sehingga tiba di Balai Besar. Tak ubah seperti pergerakan ninja terlatih. Sampai di Balai Besar, dia turun dari bumbung. Menuju ke arah rumah Keluarga Emir yang telah gelap.

Tok, tok, tok!

"Assalamualaikum," laung penjaga Afkar.

"Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh," balas Tuan Haidhar sambil membuka pintu. Terpampang dia yang hanya memakai baju melayu teluk belanga dengan kain pelikat.

"Ya, kenapa Afkar?" Soal Tuan Haidhar yang pelik melihat wajah tegang ahli Kesatuan Durrah itu.

"Mereka sudah datang, tuan".

Tuan Haidhar hanya mempamerkan riak tenang. Bagai sudah menduga. Dia menepuk bahu Afkar perlahan. "Terima kasih tetapi saya bukan ketua Kesatuan Durrah lagi. Laporkan perkara ini kepada Tuan Rasyid kamu. Lebih cepat lebih baik," balas Tuan Haidhar sambil tersenyum nipis.

Penjaga Afkar tersengih. Hilang ketegangan pada wajahnya tadi. "Dia sudah pun tahu tuan. Saya sengaja memberitahu kepada tuan. Mana tahu, tuan ingin melakukan sesuatu," balasnya.

"Bagi saya, tuan tetap ketua Kesatuan Durrah ini selamanya. Tak ada yang mampu mengantikan tempat tuan. Hatta adik tuan sendiri sekalipun. Kerana saya tahu betapa besarnya cinta tuan kepada akademi dan kesatuan ini. Enam belas tahun kehilangan tuan bukan sesuatu yang sia-sia. Itu bukti jelas bahawa tuan sangat sayangkan Akademi Irsul Muta'afif dan Kesatuan Durrah ini".

Tuan Haidhar hanya tersenyum nipis melihat penjaga Afkar yang telah menghilang dalam kegelapan malam. Kata-kata lelaki itu terngiang-ngiang di telinganya. Benar, dia sangat sayangkan tempat ini. Maka, dia tidak akan membiarkan Blackwest membuat onar sewenang-wenang mereka. Enam belas tahun ini bukan enam belas tahun yang sia-sia. Dia gunakan enam belas tahun ini untuk menyusun rancangan andai Blackwest cuba menyerang mereka. Tiba masa untuk dia menyerang balas.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now