Light membawa diri sehingga ke pinggir tasik. Direbahkan tubuhnya di atas hamparan rumput yang tumbuh menghijau menutup permukaan bumi. Matanya merenung jumantara lazuardi di atas sana. Cuaca yang redup membuatkan dia mampu melihat lama ke langit tanpa silau.
Angin mula menghembus lembut, membuatkan perasaannya sedikit terbuai menikmati keindahan alam. Bibirnya kelihatan terkumat-kamit melafazkan zikrullah. Hilang rasa sedih dan marahnya tadi. Benarlah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.
------------------------------------------------------
Cahaya lampu kalimantang bersinar terang menerangi segenap penjuru bilik. Saif menutup matanya yang terasa silau sebelum membuka matanya semula beberapa saat kemudian. Dikebilkan matanya beberapa kali sehingga dia mula terbiasa dengan keamatan cahaya lampu itu.
"Alhamdulillah," ucapnya perlahan. Melafazkan syukur kepada Yang Maha Menghidupkan kerana masih diberi peluang untuk bernafas di atas muka bumi ini.
Jam dinding yang berbingkai kayu dipandang. Serentak itu, kedengaran laungan azan subuh menyentuh gegendang telinganya. Hatinya rasa tersentuh lalu air matanya mula mengalir tanpa sedar. Saif hanya diam sambil menikmati bait-bait azan itu dengan khusyuk.
Sudah lama...
Sudah lama berlalu sejak dia mendengar laungan kalimah suci itu.
Sungguh...dia rindu....
Seusai azan tamat, Saif terus mengaminkan doa. Sedaya upaya dia bangkit dari pembaringannya untuk mengambil wudhuk. Jiwanya terlalu rindu untuk bersujud kepada Yang Maha Esa setelah sekian lama dia menunaikan solat dalam keadaan serba kekurangan.
Dan saat ini, dia diberi peluang...
Maka siapa dia untuk menolak peluang indah yang terbentang di hadapan mata ini.
Dalam sujudnya, sekali lagi air matanya tumpah. Dicurahkan segala rasa dalam sujud yang sungguh dia rindukan. Biarpun sujudnya hanya mampu dilakukan diatas kerusi kerana luka bedahnya yang masih menyengat.
"Subhanallah..." Langkah tabib Rayyan terhenti di muka pintu. Matanya terpaku melihat Saif yang sedang bersolat. Tenang sekali wajahnya. Seakan ketenangan itu datang terus dari syurga untuk menghias wajahnya.
Saif telah sedar...
Dan sama sekali dia tak menjangkakan pemuda itu akan sedar secepat itu. Malah pemuda itu kini berada di hadapan matanya, dalam keadaan sedar...sedang bersolat. Hatinya memanjatkan syukur tak terhingga melihat keajaiban itu. Nyata, doa mereka semua telah dimakbulkan Allah. Secepat ini...
"Assalamualaikum," sapa tabib Rayyan sesudah Saif mengaminkan doanya. Tabib Rayyan melangkah mendekati katil Saif. Pintu dibiarkan terbuka.
Saif mengukir senyuman manisnya sambil melipat sejadah. Salam tabib Rayyan dibalas mesra. "Tuan tabib ke yang merawat saya?" Soal Saif.
"Ya. Nama saya Nur Rayyan Firdaus. Saif boleh panggil saya abang Ian. Tak perlu panggil tuan tabib," ujar Tabib Rayyan memperkenalkan dirinya.
"Saya Saiful Emir," balas Saif ramah walaupun dia tahu bahawa tabib Rayyan sudah mengenali dirinya.
"Terima kasih kerana sudi merawat saya," ujar Saif. Dia tersenyum manis sekali lagi. Dia bangkit dari duduknya. Tangan tabib Rayyan diraih dan dicium penuh kesopanan. Adab yang muda kepada insan yang lebih tua.
Tabib Rayyan tergamam sambil melihat Saif yang telah kembali ke katilnya. Kerusi yang digunakannya tadi diletak ditempat asal. Tanpa sedar, tabib Rayyan turut menarik pinggir bibirnya. Senyuman ikhlas dihadiahkan buat pemuda itu sambil dia mula melakukan pemeriksaan lanjut terhadap tahap kesihatan pemuda itu.
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...