Tuan Rasyid merenung kepekatan malam yang gelap-gelita dari jendela rumahnya. Nalurinya membisikkan sesuatu yang tidak enak. Seakan-akan ada perkara buruk yang akan berlaku. Dia menghidupkan Memoirnya untuk memeriksa keadaan di AIM.
"Rasyid...buat apa termenung malam-malam ini?" Tegur Tuan Ammar.
"Abang Ammar rupanya. Emm, mana angah? Dia tak pulang sekali dengan abang?" Balas Tuan Rasyid sambil mengajurkan soalan. Memoirnya dimatikan.
Tuan Ammar menggeleng. Dia menghempaskan punggungnya diatas sofa di ruang tamu. "Dia pinta abang pulang dahulu. Katanya mahu bertemu Furqan sebentar".
Tuan Rasyid menutup jendela seraya menarik langsir yang berwarna biru laut kosong sambil mendengar balasan abang iparnya. Sofa di hadapan Tuan Ammar segera dihuni olehnya. "Kenapa abang Haidhar ingin bertemu dengan Furqan?"
Baginya, masih banyak persoalan yang masih belum terungkai mengenai abangnya itu. Abangnya terlalu banyak rahsia...dan suka bertindak sendirian untuk menyelesaikan masalah. Tak salah, cuma dia berasa kasihan melihat beban berat yang tergalas di bahu Tuan Haidhar. Melihat keadaan sekarang, dia tahu abangnya tak akan berdiam diri. Akan ada perhitungan dengan Blackwest yang sudah pasti dirahsiakan dari pengetahuan mereka semua.
"Entah. Biarlah. Lagipun Furqan juga anak Haidhar. Bukan Saif seorang," balas Tuan Ammar selamba.
"Anak angkat," tegas Tuan Rasyid.
Tuan Ammar mengangkat keningnya. Pelik melihat gelagat adik iparnya pada saat ini. Tak ubah seperti orang cemburu. Fikirnya, Tuan Rasyid tidak senang melihat keakraban Haidhar dan Furqan.
"Rasyid tak suka Haidhar rapat dengan Furqan?" Duganya.
"Bukan tak suka, cuma entahlah. Sekarang ini, walaupun abang Haidhar ada di depan mata kita tetapi Rasyid rasa bagai dia jauh dari kita semua. Balik-balik dia asyik mencari Solihin dan Furqan. Kemudian menghabiskan masa di wad Saif," rungut Tuan Rasyid. Sebolehnya dia ingin tahu apa yang dirahsiakan oleh abangnya itu bersama Furqan. Tetapi tak mungkin.
Tuan Ammar tersengih. "Rasyid cemburulah ini? Abang kesayangan Rasyid tak lagi pandang Rasyid," usik Tuan Ammar.
"Bukanlah!" Nafi Tuan Rasyid. Tak menyangka itu yang fikirkan oleh Tuan Ammar. Dia bukan budak-budak yang inginkan perhatian sepanjang masa.
Sengihan Tuan Ammar semakin melebar. Sengaja ingin mengusik lelaki itu. Dia menahan ketawa saat melihat wajah Tuan Rasyid sedikit memerah. Lelaki itu hanya menjeling membalas. Geram apabila Tuan Ammar mula ketawa tanpa suara. Seronok benar abang iparnya mengenakannya.
-----------------------------------------------------------
Furqan dan Tuan Haidhar sama-sama merenung langit malam yang kelam tak berbintang. Kepala Furqan direhatkan di bahu Tuan Haidhar. Mereka sama-sama duduk dalam keadaan melunjur di atas hamparan pepasir di pantai. Suasana begitu tenang dan sunyi dengan berlatarkan nyanyian ombak yang tak jemu silih berganti.
"Tuan..." panggil Furqan.
"Hishhh, Furqan. Bukankah ayahanda sudah banyak kali mengingatkan agar panggil ayahanda sahaja. Kenapa degil sangat ini?" tegur Tuan Haidhar dalam nada geram.
Furqan tersengih lebar. "Kerana tuan adalah ayahanda Saif seorang sahaja. Samalah dengan saya hanya mempunyai seorang ayah sahaja. Lagipun, panggilan tuan itu melambangkan rasa hormat saya kepada tuan," jelas Furqan.
Tuan Haidhar hanya tersenyum nipis mendengar alasan Furqan. Pipi pemuda itu dicubit perlahan. "Degil!"
Furqan menjerit kecil. "Tuannnn..." Rengek Furqan sambil mengusap tempat bekas cubitan Tuan Haidhar. Biarpun perlahan, tetap terasa bisanya. Maklumlah, lelaki itu ialah bekas Pemimpin Kesatuan Durrah. Maka, kekuatannya bukan calang-calang.
"Oh ya, ayahanda terlupa. Keris Saif ada bersama Furqankan?"
Furqan mengangguk mengiyakan. Teringat kejadian dia mengambil keris itu di celahan katil Saif tanpa disedari oleh Stone. Lelaki penyamar itu lansung tidak sedar mengenai kewujudan keris itu biarpun dia tidur di katil Saif setiap hari. Mujur. Jika tidak, pasti keris itu sudah terjatuh di tangan Blackwest.
"Esok berikan keris itu kepada ayahanda," pinta Tuan Haidhar. Dia perlukan keris itu untuk rancangannya nanti.
"Tak perlu serahkan semula kepada Saif?" Tanya Furqan keliru.
"Tak perlu," balas Haidhar sambil mendongak melihat langit malam semula.
-----------------------------------------------------------
Blizzard merenung Ice yang terbujur kaku berlumuran darah di hadapannya. Lelaki itu tidak lagi bernyawa. Ditendang kuat mayat Ice sehingga bergolek rapat ke dinding.
"Hapuskan mayat ini!" Arah Blizzard.
Beberapa orang berpakaian tentera terus mengangkat tubuh Ice lalu dicampak ke luar tingkat yang sedia terbuka luas. Tubuh Ice jatuh menghempas tanah dari tingkat tiga bangunan itu. Kepalanya pecah, menyelerakkan isinya ke kawasan sekitar. Darah bersemburan di sana sini.
Blizzard melihat keadaan ngeri itu dengan wajah beku. Tentera yang mencampak mayat Ice tadi bersiul nyaring. Kelihatan beberapa serigala berwarna putih muncul di sebalik semak-semak berhampiran. Bau darah membangkitkan naluri pemangsa mereka. Lalu, mayat Ice menjadi rebutan serigala-serigala yang kelaparan itu. Sayup-sayup kedengaran bunyi mereka memamah daging Ice dengan lahap. Sekejap sahaja tubuh Ice menghilang dari pandangan tentera-tentera Blackwest yang menyaksikan dari atas. Yang tinggal hanya sisa darah dan tulang.
Blizzard berpaling dari tingkap seusai pertunjukkan tamat. Dia mengelap sisa darah Ice yang masih berbekas di tangannya menggunakan sapu tangan. Terakol miliknya kembali disimpan dalam bekas khas di pinggangnya.
"Tuan, bagaimana dengan Wind?" Soal Sky.
Blizzard mendengus kasar. Wind. Bekas tentera Blackwest itu selalu menyusahkannya. Berbanding orang bawahan Storm yang lain, sebenarnya Wind yang paling berbahaya. Biarpun bergerak secara solo, namun Wind sentiasa mampu menghancurkan rancangannya. Dahulu, Wind tidak terlalu menonjol. Tetapi sejak dia mengikut Light, tiba-tiba Wind menjadi tersangat hebat. Bagaikan selama ini Wind sengaja menyembunyikan kehebatan dirinya yang sebenar. Dan paling dia tidak menyangka, Wind mampu mengubah hati Ice yang dipenuhi dendam dan menyelamatkan Saif.
"Mereka sudah mengesan dia?"
Soalan Blizzard disambut dengan gelengan. Terus lelaki itu menghentak meja kuat bagi menghamburkan kemarahannya. Tentera-tentera Blackwest yang berada di dalam bilik itu sudah mengigil. Kemarahan Blizzard selalu disertai perkara buruk. Bermakna, nyawa mereka akan melayang begitu sahaja seperti mana Ice.
"Bodoh! Susah sangat ke nak mencari pengkianat itu?!" Bentak Blizzard. Wajahnya benar-benar kelihatan bengis.
"Tetapi Wind tak pernah menetap di satu tempat dalam masa yang lama, tuan. Kali terakhir dia dilihat adalah di Ryukyu Neo. Kemudian, jejaknya hilang begitu sahaja," tingkah salah seorang dari mereka.
Kedengaran bunyi tembakan sebelum tentera itu tumbang dalam keadaan kaku ke lantai. Darahnya bersemburan mengenai tentera Blackwest yang berdiri dekat dengannya. Sebahagian darahnya yang lain bersatu dengan darah Ice yang masih segar bertakungan di atas lantai.
"Siapa lagi yang ingin berlagak pandai?!"
Senyap. Tiada yang berani untuk mengangkat muka pucat mereka apatah lagi untuk menjawab. Blizzard berdecit sambil memandang tentera-tentera Blackwest itu dengan pandangan dingin. Peluru terakolnya kembali diisi.
"Arahkan semua bersiap-sedia. Kita akan mengempur AIM tak lama lagi sementara semua watak utama berkumpul di sana sekarang ini. Dan kau, Sky jangan lupa tugas utama kau. Aku tak mahu sebarang kegagalan lagi. Faham!"
Masing-masing mengangguk tanpa sebarang suara. Sky hanya merenung lantai. Ada gentar yang bertamu di hatinya. Membunuh Rafael dan Tuan Rasyid...itu tugasnya. Dalam diam, dia meragui keupayaannya sendiri. Walaupun sasarannya hanya dua, tetapi mereka adalah elit. Malah Blizzard belum tentu mampu menewaskan Rafael. Tetapi jika dia gagal, dia akan mati. Ini soal peperangan. Sama ada dia membunuh atau terbunuh. Tiada lagi pilihan untuknya.
YOU ARE READING
AIM-Akademi Irsul Muta'afif
RandomDia ialah seorang Saif. Hidupnya penuh berliku angkara musuh yang tak pernah dia tahu. Dikelilingi seribu satu rahsia...diselubungi berjuta persoalan...namun dia tetap tabah mengharungi kehidupan. Dia seorang Furqan. Di depan Saif, dialah sahabat pe...