Bab 13

476 75 0
                                    

"FATHUL!"

Air yang baru diteguk terus tersembur keluar tanpa ditahan-tahan lagi. Tepat ke arah insan yang menegurnya tiba-tiba, lebih tepat lagi menyergahnya.

Furqan membuat muka. Tajam matanya memandang Fathul dengan penuh geram. Habis basah pakaian seragamnya. Kalau air biasa, tak mengapalah. Tetapi ini air semburan dari mulut sahabatnya itu. Sudahlah air kopi. Habis melekit dan berbau badannya.

"Maaf..." ujar Fathul dalam nada bersalah. Air kopi yang tersisa di hujung bibirnya dikesat dengan sehelai sapu tangan berwarna biru lembut.

"Hishhh, habis kotor baju saya! Kalau melekat hitam warna kopi ini, siap saudara!" marah Furqan. Dia menghempas punggungnya di kerusi dihadapan Fathul. Kesan semburan itu dikesat-kesat dengan beberapa helai tisu muka walaupun dia tahu usahanya sia-sia.

"Siapa suruh saudara sergah saya tiba-tiba. Nah, itu balasan dia. Padan muka," balas Fathul selamba. Dia kembali meneguk air kopinya.

"Apa ini? Minta maaf tetapi perli orang pula. Tak ikhlas!" tuduh Furqan.

"Dengan saudara tak perlu ikhlas. Buang masa sahaja. Sudah, pergi sanalah. Sibuk sahaja duduk di sini. Nanti tersembur lagi, dia juga yang marah," halau Fathul. Siap dengan gaya sekali.

Furqan mencebik. Dia bingkas bangun lalu menapak ke almari pakaian miliknya. Baju melayunya yang telah kotor itu dibuka lalu diganti dengan baju yang baru. Saat hendak meletakkan bajunya didalam bakul yang dikhaskan untuk pakaian kotor, matanya terpandangkan Saif. Dilihat sahabatnya itu sedang khusyuk membaca namun matanya lebih cekap menangkap bibir Saif yang diketap kejap menahan ketawa.

"Nak gelak, gelak sahajalah saudara," ujar Furqan pasrah dalam kegeraman. Geram melihat wajah Saif yang merah padam menahan tawa sejak tadi. Sebaik mana pun Saif, kadang-kadang sekepala juga dengan Fathul. Mujur abang Zamir tiada disini. Kalau tidak, sudah sahlah lelaki itu akan berpihak kepada Fathul juga.

Terus pecah ketawa Saif sebaik sahaja mendapat kebenaran. Bersatu pula dengan ketawa Fathul yang masih setia duduk di meja makan. Kuat mereka ketawa sehingga bergema ke serata bilik itu.

"Sudah, diam!!!" marah Furqan. Wajah cerahnya jelas memerah umpama biji saga. Kalah merah wajah Saif tadi. Nampaknya tindakannya membenarkan mereka ketawa merupakan tindakan yang salah. Semakin sakit hati pula dia dibuatnya.

Namun arahannya diabaikan begitu sahaja. Dua sahabatnya itu masih galak ketawa. Lantaran kegeraman yang amat sangat, dia menapak ke arah Saif lalu mencubit pemuda itu sekuat hati. Ketawa Saif mati digantikan dengan senyum sumbingnya. Lansung tak terlakar riak sakit akibat cubitan Furqan tadi. Seakan cubitan itu tak pernah berlaku.

"Saif...." bergetar suara Furqan memberi amaran.

"Saudara ini...tenanglah.Sesungguhnya seorang muslim perlu mempunyai sifat sabar," nasihat Saif.

Furqan menghela nafas. Dia pula yang ditazkirahkan Saif. "Tahu... Tetapi siapa yang tak sakit hati kalau..." Belum sempat ayatnya disempurnakan, Saif sudah memotong.

"Itulah keindahan dalam persahabatan. Ada kala suka, ada kala duka. Semakin banyak warna-warna emosi yang tersulam, semakin indah hamparan persahabatan itu. Walaupun si Fathul kuat mengusik, tetapi saudara juga yang sunyi jika dia tiada. Setiap masa saudara mengadu kebosanan, bukan? Maka, nikmatilah saat-saat yang ada tanpa mensia-siakannya," nasihat Saif lagi.

Wajah Furqan berubah kelat. "Maaf..." Hampir tak terdengar suaranya meminta maaf.

"Sayang Saif!" jerit Fathul dari kejauhan. Seronok bila Saif berpihak kepadanya.

"Diamlah!" suara Furqan kembali meninggi. Terlupa terus nasihat Saif tadi.

Fathul sudah tersengih di kerusinya. Saif pula menggeleng perlahan melihat telatah mereka berdua. Tanpa diduga, sebiji bantal melayang tepat ke wajah Fathul. Hujung bantal itu terkuis cawan seramik di atas meja itu lalu menumpahkan isinya ke baju dan seluar Fathul. Mata Fathul membulat.

"Furqannn!!" tercemar suasana pagi itu dengan jeritan Fathul yang teramat kuat itu.

"Opps!" Furqan menekup mulutnya seraya terus cabut keluar dari bilik itu.

Fathul tidak menunggu lama. Tanpa menukar baju, terus dia mengejar Furqan yang telah jauh ke depan.

-----------------------------------------------------------

Saif mengelamun jauh ke luar jendela. Dia mengimbas segala kenangan yang tercipta sejak dia menjejakkan kaki di AIM ini. Walaupun dia bahagia berada di sini, namun hatinya tetap merindui Rafael yang telah membesarkannya selama ini. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini dia selalu bermimpi buruk. Dia benar-benar risaukan Rafael yang tinggal bersendirian jauh di bumi Suwadi. Terasa perasaan kurang enak membaluti hatinya setiap kali mengingati lelaki itu.

Apa Rafael dalam bahaya?

"Assalamualaikum, wahai penuntut-penuntut Mawar sekalian," sapa Guru Hilman yang baru melangkah masuk ke dalam kelas. Seluruh isi kelas membalas salam yang diberi secara serentak.

Saif mengalihkan rehalnya ke tepi Amin yang sibuk menyimpan kembali bukunya. Amin memandangnya sekilas sambil menguntumkan senyuman. Dia kembali memandang Guru Hilman yang telah mula menerangkan sejarah penubuhan Kesatuan Durrah.

"Saif, petang ini saya mahu melepak di kutubkhanah. Nak ikut?" Ajak Amin seusai tamat kelas Guru Hilman.
 
Saif diam sambil berfikir. "Boleh juga. Ada maklumat yang saya nak cari," balasnya sambil tersenyum manis.

Amin membalas dengan senyuman sinisnya. Dia mendekatkan mukanya ke telinga Saif. "Nak cari maklumat pasal Tuan Haidhar Emir ke?" Bisik Amin.

Wajah Saif berubah riak. Dia memandang Amin dengan matanya yang sedikit terbeliak. "Mana saudara tahu?"

"Aih, lupa? Kitakan kelas Mawar. Setakat membongkar rahsia orang lain ini, emmm...kacang bukan?" Amin tertawa kecil sambil melipat rehalnya.

Saif hanya tersenyum nipis. Sungguh dia terlupa tentang fakta itu. Sebagaimana mudahnya dia membongkar rahsia Fathul seorang putera, pasti semudah itu juga Amin membongkar rahsianya yang satu itu.

"Saudara tahu di mana nak cari maklumat itu?"

"Ada di tingkat dua kutubkhanah. Saudara tak perlu susah-susah mencari kerana banyak buku yang mencatatkan maklumat tentang beliau. Tetapi menurut apa yang saya baca setakat ini, Tuan Haidhar Emir yang merupakan ketua Kesatuan Durrah sebelum Tuan Rasyid tak pernah bernikah. Maka, kemungkinan beliau dan ayah saudara merupakan orang yang berlainan. Mungkin ayah saudara sebenarnya bukan rakyat Kesatuan Durrah. Kerana itu dia bebas menggunakan nama Emir," jelas Amin sambil memandang kawan-kawan sekelas mereka yang berduyun-duyun keluar. Masa rehat.

Saif tetap setia dengan senyumannya biarpun sedikit kecewa dengan jawapan sahabatnya itu. Dari gaya Amin, dia tahu pemuda itu sememangnya mencari maklumat mengenai ayahandanya sejak awal lagi. Maknanya, sudah lama Amin mengesyaki bahawa ayahandanya ialah orang yang sama dengan Haidhar Emir yang mengetuai Kesatuan Durrah.

"Terima kasih atas maklumat saudara".

Amin menepuk bahu sahabatnya itu. "Janganlah berwalang hati. Lambat-laun, semuanya akan terbongkar juga. Tak kisahlah siapa pun saudara, ingatlah...kami di sini setia bersahabat dengan saudara tanpa syarat. Lagi-lagi si Furqan dan Fathul berdua itu,". Amin jeda seketika bagi melihat riak Saif.

"Mungkin saudara tiada keluarga pada masa sekarang, tetapi jika saudara terus bersabar, in sha allah, Allah akan mengurniakan keluarga yang saudara idamkan satu hari nanti. Keluarga yang lengkap sebagaimana yang saudara impikan. Mungkin impian itu tertunai bila mana saudara bernikah nanti. Yang penting, saudara bersabar. Jangan terlalu bebankan fikiran saudara dengan perkara ini. Ya?"

Saif menarik senyuman lebar. Kali ini, senyumannya lebih kelihatan ikhlas. Sungguh, dia benar bersyukur bilamana Allah memasukkan dia ke AIM ini. Bertemu dengan orang-orang seperti Furqan, Fathul dan Amin benar-benar mengubah hidupnya. Dunianya lebih ceria dan lengkap dengan kehadiran mereka. Maka, apa lagi yang dia harapkan? Nikmat persahabatan itu pun sudah cukup besar dan indah buatnya. Sungguh, dia benar-benar bersyukur. Alhamdulillah...

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now