Bab 39

420 59 0
                                    

Zamir menjejakkan kaki di AIM. Seketika dia mengambil peluang untuk melihat suasana AIM yang amat dia rindukan. Dia tersenyum sendirian. Bahagia rasanya dapat pulang ke rumahnya.

Lelaki yang berdiri di sisinya dipandang. Walaupun separuh wajahnya tertutup dengan topeng kain, namun garis-garis kedutan yang terbentuk dimatanya membuktikan bahawa lelaki itu turut sedang tersenyum.

"Selamat pulang, Zamir..." sambut Tuan Rasyid yang baru muncul di gapura AIM.

"Abang Rasyidddd! Ya Allah, rindunya Zamir kepada abang!" Jerit Zamir penuh keterujaan. Dia terus meluru ke arah Tuan Rasyid.

Tuan Rasyid mendepakan tangannya sambil tersenyum lebar penuh kemanisan. Sebaik sahaja, Zamir terperangkap dalam dakapannya, dia menarik telinga Zamir sekuat hati. Senyuman manisnya berubah kepada senyuman kejam. Melepaskan geram kerana pemuda itu tiba-tiba menghilang dengan sengaja.

"Arghhh! Sakit! Sakit abang Rasyid. Ampun, Zamir janji Zamir tak akan buat lagi," adu Zamir.

Telinga Zamir dilepaskan. Zamir pantas menjauhkan diri sambil memegang telinganya yang sudah merah. Wajahnya masam mencuka. Tuan Rasyid tertawa kecil melihat reaksi adiknya.

"Inilah ketua dan ayah Furqan ya?" Ujar Tuan Rasyid ramah sambil berpaling memandang mereka berdua. Tangan dihulur lalu mereka saling bersalaman antara satu sama lain.

"Salam perkenalan wahai Pemimpin Kesatuan Durrah," sapa Solihin dalam nada yang tak kalah mesranya.

Senyuman manis kembali bergayut di bibir Tuan Rasyid. Tetapi, tanpa disedari sesiapa, dia menjeling ke arah lelaki bertopengkan kain yang dikenalinya sebagai ketua Furqan. Ada aura luar biasa yang terpancar dari tubuh lelaki itu. Nyata lelaki itu bukan sebarangan orang.

"Bagaimana keadaan Saif, abang?" Tanya Zamir membuka topik yang membawa mereka bertiga ke AIM pada hari ini.

Wajah Tuan Rasyid berubah muram. "Dia kritikal sekarang. Dia perlukan penderma hati dengan segera atau kita akan kehilangannya buat selamanya". Sedih sahaja suara Tuan Rasyid menyatakan perkhabaran itu.

"Belum jumpa penderma lagi?"

Geleng. "Ramai yang tawarkan diri tetapi semua tak sesuai," balas Tuan Rasyid.

"Innaalillahi wa in naa ila roji'un," ucap mereka bertiga hampir serentak.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(al-Baqarah 155-157).

"Izinkan saya untuk menderma hati saya kepadanya. In sha allah, hati saya akan sepadan dengannya," tawar lelaki bertopeng itu.

Tuan Rasyid merenung lelaki itu lama. "Maafkan saya. Siapa saudara sebenarnya?" Soal Tuan Rasyid yang tidak dapat lagi membendung rasa ingin tahunya. Lelaki itu terlalu misteri. Dan sikap prihatinnya yang luar biasa terhadap Saif itu amat mencurigakan. Bukan sahaja dia sanggup mengupah Furqan untuk menjaga Saif tetapi juga sanggup mendermakan organnya. Jelas sekali bahawa Saif bukan orang asing bagi lelaki misteri itu.

"Saya boleh beritahu..." Balas lelaki itu. "Tetapi selepas Saif selamat dan sembuh dahulu".

Terus riak Tuan Rasyid berubah kecewa walaupun jawapan itu sudah diduganya. Dia memusingkan tubuhnya membelakangi mereka bertiga lalu berjalan melintasi gapura yang tersergam indah itu.

"Mari kita ke hospital dahulu," ajak Tuan Rasyid sambil terus berjalan meninggalkan tetamunya di belakang.

Zamir dan lelaki bertopeng itu saling berpandangan. "Abang pasti hendak lakukan perkara ini?" Tanya Zamir inginkan kepastian.

Lelaki bertopeng itu mengangguk. "Ya. Barangkali masanya telah tiba untuk mendedahkan segalanya..."

"Mari kita bergerak sekarang. Nanti Tuan Rasyid pelik pula melihat kita terpaku di sini," ajak Solihin yang dari tadi hanya melihat perbualan mereka tanpa menyampuk.

"Alah, abang Solihin cuma tak sabar untuk melihat Furqan sahaja, bukan?" Usik Zamir. Senyuman nakal bermain di bibirnya.

Solihin mempamerkan riak bersahaja. "Siapa tak merindui anak sendiri? Darah daging abang itu..." Akui Solihin tanpa rasa malu.

"Ini orang yang tak merindui anak sendiri," balas Zamir selamba sambil memaut bahu lelaki bertopeng itu.

"Aduh! Sakitlah abang Solihin," rungut Zamir tatkala telinganya sekali lagi dipiat. Kali ini di sebelah kiri.

"Padan muka! Suka sangat cakap ikut sedap mulut sahaja," ejek Solihin.
Zamir merengus perlahan sebelum ketawa kecil. Lucu apabila terbayangkan sikap Solihin yang agak mirip dengan Furqan itu. Bak kata pepatah, anak borek, bapa rintik.

Borek bermaksud bintik-bintik putih yang sering didapati pada ayam atau kuda. Begitu juga dengan rintik yang maksudnya titik-titik pada badan yang lain warnanya. Jadi, kalau bapa kuda (contohnya) badannya berborek, berbintik-bintik, maka anaknya biasanya juga akan ada rintik atau titik-titik.

"Abang..." Tegur Zamir apabila menyedari mata lelaki bertopeng itu sedikit berkaca. Zamir sedikit tergamam. Pasti lelaki itu terluka mendengar kata-katanya walau hakikatnya dia sekadar bergurau.

"Abang tak apa-apalah. Mari..." Ujar lelaki itu seraya melangkah mengikut Tuan Rasyid yang sudah jauh ke hadapan tanpa menyedari mereka bertiga masih di gapura.

Sempat Zamir melihat lelaki itu menyeka air matanya. Rasa serba-salah semakin menebal dalam hatinya.

"Zamir tak faham apa yang Light lalui selama enam belas tahun ini. Penderitaan yang dia alami, kesakitan yang dia rasai..."

"Tiada seorang pun ayah di atas muka bumi ini sanggup berpisah dengan darah dagingnya selama bertahun-tahun tanpa pernah bersua muka. Entahkan hidup, entahkan mati. Kematian Yasmin sahaja sudah mampu mengugat ketabahannya, apatah lagi apabila dia terpaksa berpisah dengan anaknya sendiri tanpa sengaja," cerita Solihin tiba-tiba. Matanya memandang Light yang sudah menjauh. Tetapi lelaki itu tidak menuju ke arah hospital. Dia mengubah laluannya ke arah lain. Mereka hanya membiarkannya. Tahu bahawa lelaki itu perlukan ketenangan.

"Mata ini menjadi saksi bagaimana kehidupannya selepas dia kehilangan isteri dan anaknya pada waktu yang sama. Sakit...kita yang melihat pun terasa sakit...apatah lagi dia yang merasai. Bertahun...dia cuba mencari Saif dan Rafael...tak berhenti..tak berputus asa. Kewujudan Furqanlah yang menjadi tempat dia melepaskan rindunya pada Saif. Tetapi, manakan sama anak kandung dengan anak angkat. Sedar tak sedar, lima belas tahun sudah berlalu. Ketika Furqan mendapat tawaran ke AIM, kami sedar satu perkara. Di mana pun Saif, Light yakin bahawa dia juga akan ke AIM kerna Rafael tak pernah memungkiri janji. Jadi, Furqan diamanahkan untuk mencari dan menjaga Saif. Wakil untuk dia yang berada di kejauhan," sambung Solihin lagi.

Zamir sudah teresak di sisi. Cerita Solihin mengharukan hatinya.

"Saat Furqan mengkhabarkan Saif masih hidup dan sihat walafiat, hanya Allah yang tahu betapa bahagianya wajah Light masa itu. Tangisannya, ketawanya, senyumannya...itu kali pertama selepas lima belas tahun Light kelihatan 'hidup'. Masa itu juga dia melakukan sujud syukur. Tetapi Light tahu, dia masih belum mampu untuk munculkan diri dihadapan Saif. Terlalu bahaya. Cukup dia yang menjadi sasaran Blackwest, jangan anaknya juga. Tetapi kita hanya mampu merancang...dan Allah jua sebaik-baik perancang. Blackwest dapat menghidu kewujudan Saif sekaligus membawa kepada apa yang berlaku hari ini". Solihin menoktahkan kisahnya.

Dan Zamir sudah kehilangan bicara dalam tangisan penyesalannya....

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now