Bab 29

437 67 3
                                    

    "Assalamualaikum," sapa Tuan Rasyid tatkala dia melangkah masuk ke bilik mesyuarat.

    Semua orang ahli Kesatuan Durrah yang sibuk mengemas bilik itu menjawab salam hampir serentak. Ada yang sibuk membersihkan sisa kotoran darah dan serbuk peluru di atas lantai, ada yang sedang mengalihkan perabot-perabot yang telah rosak, ada yang sedang membaiki mana-mana perabot yang masih boleh digunakan dan ada sebilangan kecil mereka yang sedang mengagihkan minuman dan tuala kecil kepada mereka yang sedang bekerja. Nyata kerjasama diantara mereka amat mengagumkan.

    "Tuan, bukan tuan sepatutnya menemani sultan di hospital?" Soal Afkar menyambut kedatangan pemimpin utama Kesatuan Durrah itu.

    Tuan Rasyid melemparkan senyuman nipis. "Tak mengapa, abang Ammar ada untuk menjaganya. Bagaimana keadaan di sini?"

    Afkar memandang suasana di sekitar bilik itu. Serangan Blackwest tempoh hari memang tidak diduga sama sekali. Disebabkan itu, ramai Kesatuan Durrah yang tercedera tetapi alhamdulillah tiada yang maut. Mujur mereka semua sememangnya dilatih untuk sentiasa bersiaga dan bagaimana untuk bertindak pada saat-saat genting seperti itu. Jadi, risiko kematian dapat dikurangkan.

    Lagipun, orang-orang yang menyerang mereka bukanlah tentera Blackwest yang sebenar. Sebaliknya, hanyalah sekumpulan perompak yang diupah oleh Stone untuk mengalihkan perhatian mereka. Walaupun mereka memberikan tentangan hebat namun kumpulan perompak itu tetap tidak sehebat Blackwest. Maka, kemenangan lebih berpihak ke tangan Kesatuan Durrah. Syukur alhamdulillah.

    "Afkar?" Panggil Tuan Rasyid apabila lelaki itu tidak menyahut pertanyaannya setelah beberapa minit berlalu. Bahu lelaki itu ditepuk perlahan.

    "Hah, apa? Ohh..maafkan saya tuan". Afkar sedikit kelam-kabut apabila tersedar dari lamunannya. Dia menunduk menahan malu apabila tertangkap ketika sedang mengelamun.

    Tuan Rasyid tertawa kecil. "Tak ada apa-apa. Abaikan sahaja soalan saya tadi. Kamu ada lihat Zamir tak? Sudah lama saya tidak nampak dia," soalnya. Itu tujuan sebenar dia datang ke bilik mesyuarat. Kata Fathul, Zamir ada di sini malam itu. Itu kali terakhir pemuda itu melihat Zamir.

    "Tidak tuan," sahut Afkar dengan gelengan.

    "Dia tiada pada malam serangan itu?"

     Afkar menggeleng lagi. "Tiada tuan. Hanya ahli Kesatuan Durrah dari unit Penjaga sahaja yang berada di sini pada malam itu. Kenapa tuan? Ada apa-apa buruk yang berlaku pada Zamir ke?"

    Penjelasan Afkar disambut dengan kerutan pada dahinya. Hatinya mula diselubungi kerisauan. Sudahlah adik angkatnya itu menghilang pada malam Blackwest menyerang. Masuk hari ini, sudah dua hari bayang-bayang pemuda itu tidak kelihatan dimana-mana. Hatinya berdoa agar pemuda itu tidak diculik Blackwest sebagaimana Saif. Jika tidak, apa yang harus dia katakan pada Tuan Ammar yang sememangnya tertekan dengan kejadian demi kejadian yang menimpa AIM ini.
      

------------------------------------------------------

    Rafael memandang sayu ke arah dua lembaga yang berkelubung wajah itu dengan topeng kain yang dibentuk seakan segi tiga terbalik dan diikat pada belakang kepala. Mereka kini berada di puncak bukit di belakang AIM. Sengaja mereka memilih tempat itu kerana bimbang kehadiran mereka bisa dikesan oleh Kesatuan Durrah. Pertemuan itu turut disertai Furqan yang menyelinap keluar dari hospital walaupun luka di perutnya masih belum sembuh. Licik sahaja dia melepasi pemerhatian tabib Rayyan yang ditugaskan merawatnya itu.

    "Betul Zamir ingin meninggalkan AIM tanpa sebarang nota?" Soal Rafael kepada lelaki muda di hadapannya itu.

    "Abang Zamir enggan mengubah keputusan abang lagi?" Soal Furqan pula. Dia turut memandang Zamir yang berdiri di hadapannya sambil membuat wajah comel. Cuba memujuk Zamir untuk mengubah keputusan yang dibuat secara tiba-tiba itu.

    Zamir tidak segera menjawab. Dia merenung AIM yang sayup kelihatan dari puncak bukit ini. Tempat dia berdiri ini adalah tempat yang sama yang menjadi tempat pertemuannya dengan Tuan Haidhar lima belas tahun lalu. Melihatkan AIM, serta-merta wajah Keluarga Emir terbayang di fikirannya. Dan hatinya mula terdetik, benarkah keputusan yang diambilnya itu?

    "Zamir orang yang berpegang pada kata-kata sendiri. Tiada jalan untuk berpatah balik. Ini keputusan Zamir," balas pemuda itu tanpa memandang Rafael.

    Rafael mengangguk faham. Dia hanya mampu menyokong saat melihat keazaman yang terbias pada kolam mata pemuda itu. Jelas bahawa Zamir telah nekad.

    "Jaga diri kamu berdua baik-baik. Saya doakan kalian tiba di Ryukyu Neo dalam keadaan selamat," ujar Rafael.

    "Paman tidak ikut?" Tanya Zamir dalam nada mendatar.

    Rafael menggeleng perlahan. "Paman perlu membantu Kesatuan Durrah kerana keadaan sekarang agak huru-hara di AIM.
Dengan para penuntut AIM yang masih tidak sedarkan diri akibat diracuni Stone, dengan kes unit Penjaga AIM yang diserang oleh Blackwest, Sultan pula masih dirawat di hospital dan kes kehilangan beberapa orang Keluarga Emir. Siapa yang tidak serabut jika menghadapi semua perkara itu hampir serentak? Biarlah saya membantu mereka kali ini".

     Zamir senyap ketika Rafael menyebut tentang kehilangan beberapa orang Keluarga Emir itu. Tahu bahawa Rafael masih cuba mengubah kata putusnya untuk meninggalkan AIM. Dialah Keluarga Emir yang hilang itu. Juga Saif. Bezanya Saif diculik sejak berbulan lalu tanpa disedari sesiapa manakala dia memilih untuk meninggalkan AIM tanpa berita.

    Pilihan yang dibuatnya itu serupa dengan pilihan yang dibuat oleh Tuan Haidhar enam belas tahun lalu. Mengingatkan perkara itu, terus Zamir memandang lelaki yang berdiri di sebelahnya.

    "Betul Zamir ingin meninggalkan AIM sekarang? Tanpa pesanan apa-apa kepada Rasyid dan Ammar?" Duga Rafael sekali lagi.
          
    Sungguh dia sebenarnya risaukan bahawa Zamir akan menyesal dengan keputusan itu. Lagipun, keadaan sekarang amat bahaya. Bila-bila masa mereka boleh diserang tanpa diduga. Jika lelaki yang berada di sisi Zamir itu, tiadalah dia kisahkan sangat kerana dia tau sejauh mana kemampuan dan kehebatannya. Walaupun Zamir merupakan Berlian iaitu pelatih Kesatuan Durrah malah membesar dalam Keluarga Emir, namun dia tetap bimbangkan pemuda itu. Blackwest bukan calang-calang musuh.

    "Bapa janganlah terlalu risau. Saya akan menjaganya sebaik mungkin," pujuk lelaki misteri itu setelah mendiamkan diri buat sekian lama. Bahu Zamir dipeluk mesra dari sisi.

    Rafael mengeluh. Dari ekor matanya, dia melihat Zamir yang tersengih gembira. Lansung wajahnya tidak mempamerkan perasaan risau mengenai Keluarga Emir dan Kesatuan Durrah. Andai Tuan Rasyid dan Tuan Ammar tahu apa yang dilakukan oleh pemuda itu, pasti Zamir tidak akan mampu tersenyum lagi untuk hari esok.

    "Tuan, sudah sampai masanya untuk tuan bertolak," ujar Furqan kepada lelaki di sebelah Zamir itu sambil melihat waktu yang tertera pada Memoirnya.

    Lelaki itu mengangguk faham. Dia menghulurkan tangan kepada Rafael. Mereka berjabat erat diiringi pelukan perpisahan sesama sahabat. Belakang bahu Rafael ditepuk perlahan tanda memberi semangat. Kemudian, giliran Zamir menyalami tangan Rafael. Berbeza dengan lelaki misteri itu, dia menunduk lalu mencium tangan Rafael. Rafael membalas dengan memgusap kepala Zamir dengan penuh kasih sayang. Walaupun mereka baru bersua beberapa kali, tetapi dia telah menganggap Zamir sebagai anaknya sendiri.

    "Semoga bertemu lagi," lambai lelaki itu seraya mencapai beg kecil yang berisi barang keperluannya. Dia mula melangkah pergi diikuti oleh Zamir dibelakangnya. Lama-kelamaan, bayangan mereka semakin kecil sebelum menghilang di sebalik pokok-pokok gergasi yang tumbuh meliar di dalam hutan di bukit itu.

    "Paman risau?" Soal Furqan tanpa memandang Rafael.

    "Ahh, mereka bukannya anak kecil lagi seperti kamu.." gurau Rafael. Dia mengusap kepada Furqan dengan penuh kasih sayang.

    Furqan hanya tersenyum membalas. Dia dan Rafael memandang laluan yang dilalui oleh Zamir dan lelaki itu. Rafael turut tersenyum nipis. Hatinya berdetik, 'Ya, semoga bertemu lagi...'

Jangan pernah ucapkan selamat tinggal
Tetapi ucaplah semoga bertemu lagi
Jika tidak dibumi TUHAN
In sha allah di syurga-NYA nanti

       

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now