Bab 26

432 67 1
                                    

    Furqan berjalan mundar-mandir di dalam bilik kurungan itu. Sejak dia diberkas, dia tidak lagi duduk diam. Akalnya terasa berserabut. Begitu juga perasaannya. Sungguh dia tak menyangka 'Saif' bertindak terlebih dahulu dari dirinya. Malah pemuda itu bijak menyamar sebagai dia untuk menyerang Sultan kerana pemuda itu telah sedar yang dia tahu segala rahsia pemuda itu. Kini, dia tak mampu untuk menghalang rancangan pemuda itu lagi.

    Tak. Dia tak boleh mengalah sekarang. Dia harus segera mencari jalan keluar. Kalau tidak, semuanya akan musnah pada malam ini. Tapi bagaimana? Dia tak membawa apa-apa bersamanya semasa dia ditangkap. Hanya sehelai sepinggang. Malah, pedang dan Memoirnya turut dirampas.

    Furqan berhenti dihadapan pintu geriji itu. Dia merenung lubang kunci pintu itu sambil akalnya ligat mencari idea. Dia cuba menyentuh lubang kunci itu namun cepat-cepat menarik tangannya balik apabila tangannya terasa kebas tiba-tiba. Benar dugaannya, geriji itu disaluti elektrik bagi mengelakkan banduan sepertinya memecah keluar.

    "Assalamualaikum, Furqan".

    Furqan memandang kaki yang berdiri diluar bilik kurungannya. Dahinya berkerut melihat dua pasang kasut yang cukup dikenalinya. Perlahan-lahan dia mengangkat kepalanya. Pandangannya bertembung dengan wajah suram Fathul. Disisi pemuda itu, berdiri Zamir yang memandangnya dengan pandangan kosong. Tanpa sengaja, keluhan nipis terhembus dari mulutnya.

    "Furqan.." panggil Fathul apabila sahabatnya itu berpaling membelakangi mereka.

    "Ya, kenapa tuan putera? Tak tercemarkah daulat tuan putera melangkah ke tempat hina seperti ini?"

    Fathul memejam matanya. Hatinya sakit mendengar nada dingin Furqan. Ini kali pertama dia mendengar Furqan berbicara sinis seperti itu. Dan ini juga kali pertama Furqan memanggilnya tuan putera. Seolah-olah pemuda itu cuba membina jurang antara mereka berdua. Dia tahu, Furqan pasti terluka. Suara pemuda itu sudah cukup untuk mengambarkan betapa dalamnya luka di hati Furqan itu.

    "Furqan, maafkan saya..."

    "Tiada apa yang perlu dimaafkan. Jangan risau, saya yang salah kerana cuba MEMBUNUH sultan iaitu ayahanda tuan putera sendiri". Sengaja Furqan menekankan perkataan 'membunuh'.

    "Saya tahu itu bukan saudara!" Bidas Fathul. Dia tak mampu lagi untuk terus mendengar ayat sinis sahabatnya. Dia enggan mendengar Furqan berbicara seakan membenarkan kesalahan yang sengaja dipikulkan diatas bahunya.

    "Bukan saya? Jadi siapa yang lelaki itu dan Kesatuan Durrah nampak? Hantu?" Suara Furqan meninggi. Dia menunjuk ke arah Zamir yang masih membisu.

    "Furqan, itu bukan gaya seorang muslim berbicara," tegur Zamir tegas.

    Ketawa Furqan pecah. "Habis? Bagaimana gaya seorang muslim yang sebenarnya? Berpakat untuk memfitnah saudara seislam sendiri? Saya tahu saya budak nakal. Saya tak sebaik Saif dan saya tak berkedudukan seperti tuan putera dan Keluarga Emir, tetapi perlukah saya dilayan sebegini hanya kerana kata-kata Saif? Adilkah tindakan tuan-tuan semua ini?"

   Diam. Fathul tahu dia kalah dengan ayat Furqan. Rupanya bukan mudah untuk menerima keampunan dari seorang Furqan. Salah dia kerana membiarkan Furqan dihukum atas kesalahan yang tidak dia lakukan. Dan salah Keluarga Emir yang terlalu mempercayai Saif.

    "Kenapa saudara tak beritahu perkara yang sebenar? Kenapa saudara perlu tanggung semuanya sendiri? Saudara sendiri tidak percayakan kami semua dan sekarang saudara salahkan kami kerana tidak mempercayai saudara?!"

    Giliran Furqan terdiam. Terkejut? Sememangnya dia terkejut. Fathul terlalu sopan untuk menengking orang lain kerana sejak kecil lagi pemuda itu diajar dengan adab sopan sebagai seorang putera. Sejujurnya, bukan dia tidak mempercayai Fathul, tetapi dia terpaksa. Dia enggan Fathul ditimpa musibah sebagaimana Saif. Cukup Saif seorang...jangan Fathul juga...

    Zamir mengeluh melihat pertelingkahan antara dua sahabat itu. Selalunya dia tak kisah kerana tahu mereka hanya gaduh-gaduh manja. Tetapi kali ini mereka berdua saling berbalas kata dan menyalahkan antara satu sama lain.

    "Diam!!!" Larang Zamir apabila Fathul cuba memarahi Furqan sekali lagi.

    Suasana penjara itu kembali sepi. "Sekarang ini kita semua yang salah kerana tidak jujur antara satu sama lain. Satu sahaja jalan penyelesaiannya, sekarang abang nak kamu berdua luahkan apa yang terbuku dalam hati masing-masing. Tiada tengkingan, jangan menyampuk. Faham?"

    Fathul menarik nafas, cuba untuk menyabarkan dirinya. Dia mengingatkan dirinya sendiri tujuan asal dia bertemu Furqan untuk mencari jawapan. Kalau mereka terus bertekak sebegini, perbincangan ini tak akan membawa mereka ke mana-mana.

    Furqan memandang tepat ke wajah Fathul yang masih diam. Dia memulakan bicara setelah mendapat keizinan Zamir. "Sampai hati saudara menipu saya. Mati-mati saya ingat saudara turut terkena racun itu," luah Furqan.

    "Saya tiada niat untuk menipu saudara pun. Saya hanya ingin mengambil peluang itu untuk menyiasat siapa sebenarnya Saif. Tetapi saya tak sangka dia dapat kesan lakonan saya terlebih dahulu," jelas Fathul. Memang itu tujuan dia berlakon. Bukan untuk memerangkap Furqan tetapi untuk Saif.

    "Jadi saudara memang tahu dia bukan Saif?"

    Soalan Furqan membuatkan Zamir dan Fathul saling berpandangan. Betullah dugaan Fathul, Furqan sengaja menipunya masa itu.

    "Kenapa saudara sorokkan perkara sebenar?"

    "Jadi, betullah semua ini perbuatan Saif?"

    Serentak Fathul dan Zamir bertanya. Furqan mengeluh lagi. Ternyata dia tidak lagi mampu meneruskan penipuannya. Dia tak sangka mereka juga dapat menghidu perkara sebenar. Mungkin sudah tiba masa untuk dia menjelaskan perkara segalanya.

    "Ya, itu bukan Saif yang sebenarnya. Nama dia Stone, salah seorang tentera elit Blackwest. Saif yang sebenar telah lama diculik dan dikurung di satu tempat yang saya sendiri tidak tahu dimana".

    Zamir mengenggam penumbuknya kejap. Dia tak menyangka Furqan sanggup menyimpan rahsia sebesar itu dari pengetahuan mereka semua. Rasa marah membadai jiwanya. Bukan marahkan Furqan, sebaliknya lebih kepada marahkan diri sendiri tak peka dengan keadaan anak buahnya itu. Dia seorang naqib yang teruk. Disebabkan kelemahannya itu, Saif dan AIM berada dalam bahaya. Dia tak mampu menunaikan janjinya kepada Tuan Haidhar untuk menjaga Saif.

    "Kenapa saudara menipu saya pada masa itu?" Fathul mengulang soalannya yang masih belum terjawab. Baginya, penjelasan Furqan tadi sekadar mukadimah. Belum cukup untuk meleraikan kekusutan ini. Dia masih belum berpuas hati kerana Furqan sanggup menipunya.

    "Kerana Stone sangat bahaya. Kita bernasib baik kerana dia memilih untuk menghancurkan Kesatuan Durrah secara perlahan walaupun dia mampu buat lebih dari itu. Lagipun kita masih belum tahu Saif berada dimana. Jika apa-apa berlaku pada Stone, Saif akan menjadi sasaran mudah mereka".

    "Saudara tak percayakan saya?" Soal Fathul sambil memandang Furqan dengan sayu.

    Furqan membuka mulut untuk membalas namun terhenti saat dia terpandangkan Memoir milik Zamir yang memaparkan waktu ketika itu. Matanya terbeliak.

    "Aduh!" Jerit Furqan saat dia memegang pintu geriji besi itu. Dia menunduk sambil memegang tangannya yang terasa kebas. Dia terlupa pintu itu disaluti arus elektrik kerana terlalu kalut.

    "Furqan!"

    "Cepat selamatkan Kesatuan Durrah. Malam ini adalah kemuncak rancangan mereka. Mereka akan menyerang secara besar-besaran. Kesatuan Durrah dalam bahaya! Cepat!!" gesa Furqan yang masih menunduk akibat kesakitan.

    "Tapi..."

    "Cepat! Kita tak ada masa lagi. Jangan risaukan saya dahulu. Pergi sekarang!" Arah Furqan dalam nada mendesak.

    Zamir pantas menarik tangan Fathul beredar dari penjara itu. Fathul sempat menoleh melihat Furqan yang terkurung dalam ruangan geriji besi itu. Pandangan pemuda itu kelihatan redup penuh kerisauan. Kelihatan bibir Furqan bergerak seakan bercakap 'jaga diri'.

    Fathul mengangguk faham. Dia mengesat air matanya yang gugur tiba-tiba. Entah kenapa, dia merasakan itu kali terakhir dia dapat melihat Furqan. Fathul kembali memandang hadapan. Dia melajukan langkah mengikut Zamir yang semakin pantas berlari.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now