"MACAM MANA hari ni, Mika? Sudah bulih jalan?" soal Zaihan pada pagi itu.
Matahari mula memancarkan sinar, menerangi suasana di dinihari. Mika memandang Zaihan sekilas.
"Nda juga bulih jalan lurus tapi, kalau paksa bulih. Sia pun malas lama-lama dalam ini hutan," jawab Mika.
"Betul ko bulih jalan kalau ko paksa?" tanya Zaihan lagi.
"Sia cuba." Perlahan-lahan Mika berdiri.
Betul, Mika memang boleh jalan cuma, tempang sikit saja. Zaihan masih memerhati cara Mika berjalan.
"Bah, kita cuba turun sampai bawah. Harap ko nda jatuh lagi macam hari tu." Zaihan bersuara.
"Amboi, bos. Macam kasi doa-doa saja tu?" tempelak Mika.
"Duss, nda lah bah kasi doa-doa, Mika. Itu ayat saja baitu. Bah, jomlah kita jalan," balas Zaihan sambil tersengih.
Mika mendahului Zaihan untuk berjalan. Untuk sampai ke tempat parkir, ia mengambil masa selama setengah jam. Mika berharap sangat yang tiada gangguan sepanjang perjalanan mereka menuju ke tempat parkir.
Dengan penuh hati-hati, Mika cuba untuk menuruni setiap lereng bukit. Tiba di laluan menuju ke parkir, Mika melafazkan rasa kesyukuran. Akhirnya, mereka berdua sampai juga di parkir kereta. Zaihan melangkah masuk ke dalam perut kereta, diikuti oleh Mika.
"Kita terus balik hotel, Mika. Ko mesti penat, kan? Kaki tu pun belum baik betul," kata Zaihan.
"Baik sikit lepas kena tampal tu daun-daun hutan. Terima kasih lah, bos," balas Mika, dia ucap juga ayat terima kasih. Kalau bukan Zaihan, mana dia boleh bergerak sampai sekarang. Kadang-kadang dia rasa kesal juga kerana terlampau keras kepala.
"Terima kasih saja kah, Mika?" tanya Zaihan sambil tersengih, dia sudah mula menghidupkan enjin kereta.
"Laa, bos mau apa lagi? Kira bagus sudah tu sia minta maaf dari nda," ngomel Mika.
"Tu muka jangan telampau serius, Mika. Cuba senyum sikit, baru nampak manis," usik Zaihan.
"Tiada-tiada, kasi jalan ni kereta. Nanti tesangkut lagi kita di kawasan hutan. Sia rindu sudah tu tilam di hotel," tukas Mika.
Zaihan tersengih. Dia memulakan perjalanan, keretanya sudah bergerak meninggalkan kawasan hutan itu.
*****
RASA nyaman bila dapat melelapkan mata di atas katil. Mika teringat suasana di hutan, betul-betul tiada keindahan. Hanya gigitan nyamuk yang dirasai, tahap neraka punya label. Mika memeluk bantal peluk dengan erat sambil cuba melelapkan mata.
Bip! Nada whatsapp yang masuk di telefonnya, mengganggu lenanya.
'Aduh, apa lagi yang mengganggu ni? Siapa bah yang mau whatsapp-whatsapp sia ni?urang baru mau baring-baring,' getus hati Mika.
Mika bangun dari pembaringan sambil duduk dengan kaki diluruskan di atas katil. Dicapai telefonnya dan dia cuba melihat whatsapp siapa yang masuk. Tertera nama Zaihan di situ, dia letak nama 'bos cerewet' dalam telefonnya.
📱Jam 8.00 malam, kita dinner.. ada benda mau discuss..
Mika hanya angkat kening saat membaca whatsapp Zaihan. Terpaksalah ikut kata bos. Mika melirik ke arah jam di meja, tepat pukul 7.00 malam.
'Alamak, jam 7.00 sudah bah pula. Tidur mati kah sia tadi tu? Adidii..' desis hati Mika.
Dengan pantas, Mika mencapai tuala, kemudian menuju ke bilik mandi. Lama juga dia berada di dalam, selesai membersihkan diri, dia keluar semula. Seluar slack berwarna hitam dan baju t-shirt berwarna merah hati tersemat di tubuhnya, simple punya style.
