DATIN ZURINA duduk di dalam biliknya bersendirian. Dia cuba mengingati keakrabannya dengan Erina sebelum ini. Dia tidak mengerti kenapa dia terlalu menyenangi Erina. Setiapkali ada jamuan di rumahnya, pasti dia rasa ada kekurangan bila Erina tidak diundang. Dia terlalu menyayangi Erina sampai dia mahu menjadikan Erina menantunya.
Air mata Datin Zurina jatuh di pipi. 'Maafkan mak, anakku. Mak gagal mengenalimu. Mak sudah buang kamu jauh dari hidup mak. Mak menyesal..'
Datuk Zarul menghampiri Datin Zurina. Bahu isterinya disentuh perlahan.
"Jangan sesali apa yang sudah jadi, Zu. Doakan yang terbaik buat Erina. Semoga dia selamat di luar sana," pujuk Datuk Zarul.
Datin Zurina mengangguk. Diseka air matanya perlahan.
"Zu, mari turun makan. Anak-anak sudah lama menunggu," kata Datuk Zarul lagi.
Datin Zurina bangun, melangkah beriringan bersama Datuk Zarul. Mereka menuruni tangga menuju ke tingkat bawah. Di meja bawah, Zaihan, Mika dan Zalia sedang menanti kedatangan mereka.
"Kenapa nda makan dulu?" Datin Zurina bersuara sambil menarik kerusi.
"Lebih bagus kita makan sama-sama, mak," balas Mika sambil tersenyum.
"Zahr mana?" tanya Datin Zurina lagi.
"Tadi lepas makan, terus tertidur, mak," jawab Mika dan dia tersenyum lagi.
Datin Zurina membalas senyuman Mika. Dia terharu dengan kebaikan Mika. Sesungguhnya, dia rasa menyesal kerana pernah cuba untuk membenci Mika dulu. Kalau bukan kerana Mika, keluarganya tidak sesempurna sekarang.
"Sudahlah mau emo-emo, mak. Jom makan," ajak Zaihan bila melihat air mata Datin Zurina seperti mahu jatuh.
Datin Zurina mengangguk perlahan.
****
CIKGU ERDAH memeluk tubuh Erina erat. Seperti mimpi dia bertemu dengan Erina. Diusap lengan Erina perlahan. Air mata keibuannya mengalir deras.
"Kenapa mama nangis? Sia belum mati lagi, kan?" Seperti selalu, Cikgu Erdah akan mendengar ayat kasar itu keluar dari mulut Erina. Itulah sikap Erina dari dulu. Sebagai ibu, Cikgu Erdah tenang menerimanya.
"Mama rindu kamu, Erin. Apapun jadi, kamu tetap anak mak." Cikgu Erdah memeluk Erina erat.
"Mak, sudahlah tu. Apapun kesudahannya, Erin harus tau." Naim menyentuh bahu ibunya perlahan.
Berkerut dahi Erina mendengar perbualan Cikgu Erdah dan Naim. "Ada apa semua ni? Abang, baik ko kasitau sia sana. Kalau nda, sia nda mau balik-balik lagi sini!"
Naim hanya mampu menelan air liurnya saat melihat pandangan tajam Erina. Sesungguhnya, dia tiada pilihan lain. Erina harus tahu kebenarannya.
Naim mendekati Erina. "Banyak perkara yang jadi sepanjang ko dalam rawatan doktor, Erin. Mimang ko perlu tahu semua, tapi ko baru juga sembuh. Doktor suruh ko rehat, kan?"
"Sia sembuh sudah bah." Erina tetap berkeras hati.
"Sia risau ko nda dapat terima, Erin. Hal ini melibatkan hati banyak pihak," ujar Naim.
"Sia janji, sia nda buat hal, bang," kata Erina tenang.
Naim menarik nafas panjang. "Banyak yang papa dan mama sembunyikan dari kita, Erin. Pertalian kita pun bukan seperti yang kita sangka. Ko tetap adik sia, Erin. Ko lah satu-satunya adik sia.."
Erina terkejut melihat intonasi percakapan Naim yang kedengaran sedih. "Apa yang ko cuba mau cakap ni, bang? Kasi jelas saja bah betul-betul."
"Ko... ko bukan adik kandung sia, Erin. Ko bukan anak kandung papa dan mama." Tergagap-gagap Naim bercakap.
