Title : Curi-curi cinta.
Writer : Iza ImanLAST PART.
Part 32.
EKSPRESI wajah serius Doktor Danish yang baru keluar dari dewan bedah menjentik berbagai rasa di jiwa semua. Naik dan turun nafas Zaihan menunggu apa-apa keputusan. Doanya tidak putus-putus, berharap pembedahan berjaya.
"Mika macam mana, Nish?" Soalan itulah yang pertama kali keluar dari mulut Zaihan.
Lama Doktor Danish mendiamkan diri. Zaihan masih menanti dengan sabar.
"Mika betul-betul kekurangan darah kali ni, Hans," jelas Doktor Danish.
Zaihan tunduk ke bawah dan keluhan berat dilepaskan.
"Tapi, darah yang Vicky dermakan mampu untuk menyelamatkan nyawa Mika," tambah Doktor Danish.
Penjelasan Doktor Danish memberi seribu cahaya pada jiwa Zaihan. Dia menarik nafas panjang. Sedikit sebanyak, berkurangan juga keresahan di hatinya.
"Bulih kah sia mau tinguk isteri sia?" Zaihan bertanya lagi.
"Bulih, tapi kami pindahkan Mika dan Vicky di wad dulu," kata Doktor Danish.
Zaihan mengangguk perlahan.
****
VICKY memandang Mika di sebelahnya. Mereka baru saja dipindahkan di dalam wad semalam selepas menjalani pembedahan untuk pemindahan darah. Mika belum dapat bergerak dengan stabil, mungkin akibat kecedaraan di bahagian pinggangnya.
"Mika.." panggil Vicky.
Mika menoleh perlahan ke arah Vicky. Satu senyuman diberikan tanda terima kasih. Dia betul-betul berhutang nyawa dengan Vicky.
"Terima kasih, Vick. Nda tau macam mana mau cakap, tapi sia mimang berhutang nyawa dengan ko," ucap Mika perlahan sambil menyentuh pinggangnya yang masih belum sembuh sepenuhnya.
"Sudahlah, Mika. Jangan pertikaikan itu semua. Sia ikhlas," jawab Vicky.
"Sia pernah anggap yang ko jahat, Vick," kata Mika lagi.
"Sia sudah lupakan semua, Mika. Sia tulung ko atas dasar kemanusiaan. Ko kawan sia, kawan Fika. Kami nda sanggup tinguk ko sakit. Kita akan kekal sebagai kawan, Mika. Sampai bila-bila."
Luahan Vicky membuat Mika tersentuh hati. Tidak sangka duri yang dianggap berbisa itu lebih lembut daripada sutera halus. Dia akan buka hatinya untuk menerima ketulusan hati itu. Sesungguhnya, Vicky memang kawan yang baik.
"Mika.." Kehadiran Zaihan melenyapkan perbualan Mika dan Vicky.
Vicky tersenyum melihat kehadiran teman karibnya itu. Sudah pasti dia gundah-gulana saat mengetahui pembedahan akan dilakukan ke atas Mika. Siapa yang tidak sayangkan isteri? Mika adalah anugerah terindah dalam hidup Zaihan.
Mika mengalihkan pandangan pada Zaihan. Dia tahu, Zaihan risau dengan keadaan dirinya.
"Sia minta maaf, Mika. Sia nda peka. Kalau sia cepat, mesti sia dapat selamatkan ko," pinta Mika dengan kelopak mata yang sudah mulai bertakung.
Mika tersenyum nipis. "Adeh, buruk betul sia nampak mimik muka ko, Hans. Sudahlah, jangan mau emo-emo. Sia okey masih ni."
Zaihan menyentuh tangan Mika. "Nanti sudah sembuh, kita buat jamuan di rumah. Sia mau jemput semua. Jamuan itulah yang akan kita kenang sampai bila-bila, Mika."
Berkerut dahi Mika. Tidak mengerti apa maksud sebenar Zaihan. Hanya senyuman manis yang Zaihan berikan. Dia beralih pula pada Vicky.
"Terima kasih kerana sudah kembalikan Mika sia, Vick," ucap Zaihan.