APARTMEN terpaksa dikosongkan dalam beberapa hari. Nurse Raina dan Nurse Rita telahpun diminta untuk bertugas di hospital kembali. Berkali-kali Doktor Danish memandang perkarangan rumahnya itu. Sunyi. Terbayang di jiwanya setiap perbualannya dengan Erina dulu.
'Kenapa sia mesti ingat pada ko? Ko kan patient sia saja. Aduh, kenapa sudah dengan hati sia ni?' Doktor Danish memarahi hatinya sendiri.
Doktor Danish melangkah perlahan-lahan. Memandangkan hari ini hujung minggu, mungkin dia mahu lepak di cafe dulu. Setelah menutup pagar rumah, dia masuk ke perut kereta. Enjin dihidupkan, kemudian keretanya mula bergerak meninggalkan perkarangan apartmen itu.
Doktor Danish memilih cafe yang tidak dikunjungi ramai orang. Sesekali dia meninjau whatsapp dan instagram di telefonnya.
"Hai, Doktor." Tersentak Doktor Danish bila disapa seseorang. Dia memandang ke depan untuk melihat siapa yang menyapanya. Terpaku dia saat berhadapan dengan Erina.
"Erina? Buat apa datang sini?" tanya Doktor Danish.
Pertanyaan Doktor Danish membuat Erina tertawa. "Adeh, ko ni, Doktor. Macamlah ni cafe ko saturang ja yang punya."
Doktor Danish mencebik. "Bah duduklah, Erina. Ko bilang ni cafe bukan sia saturang ja yang punya."
Erina menarik kerusi dan duduk di depan Doktor Danish. "Kenapa ko jadi sensitif ni, Doktor? Salah time kali sia datang ni kan? Sia mau ucap thanks saja, Doktor. Untuk kesembuhan sia, ini saja yang dapat sia berikan."
Erina menghulurkan sebuah kotak kecil berwarna hitam. Berkerut dahi Doktor Danish melihatnya.
"Nda perlu bah bagi hadiah, Erina. Sia ikhlas tulung semua patient sia," jawab Doktor Danish tenang walaupun kerinduannya sedikit terubat dengan kehadiran Erina di depannya.
"Kali ni saja bah, Doktor. Ini sebagai ucapan terima kasih." Erina masih tidak mahu berputus asa.
"Okey, biar saja atas meja. Siapa kawan ko pigi sini?" tanya Doktor Danish yang sengaja mengubah topik perbualan.
"Abang Naim," jawab Erina bersahaja.
Doktor Naim mengangguk. "Bah, ko orderlah minuman. Kawan sia minum."
Erina melambai tangan pada seorang pelayan dan memesan teh tarik.
****
CEPAT-CEPAT Mika bersiap. Sebaik saja menerima whatsapp daripada Fika, Mika terus menukar pakaian. Gugusan kunci diambilnya dan dia keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Datin Zurina yang sedang menghias pasu bunganya, terus menegur Mika yang tampak tergesa-gesa.
"Mau pigi mana, Mika?" tanya Datin Zurina.
"Sia mau jumpa Fika kejap, ma. Tapi, mungkin sia nda dapat bawa Zahr. Sia janji nda lama, ma," jawab Mika.
"Oh, ko pigi lah jumpa Fika. Nanti biar mak dengan Mak Pah tulung tinguk-tingukkan Zarl." Mika tersenyum mendengar jawapan mak mertuanya, senang sikit dia mahu driving.
Mika mengatur langkah menuju ke arah Viva yang pernah diberikan oleh Zaihan suatu masa dulu. Tersenyum-senyum Mika bila mengingati cara Zaihan mahu menambat hatinya. Dia pun tidak menduga, dalam diam Zaihan curi-curi mencintai dirinya. Kalau bukan kerana Mizal, Mika tidak akan menerima Zaihan sebagai suaminya.
'Haihh, melamun pula. Mesti Fika sudah lama tunggu,' desis hati Mika.
Enjin kereta dihidupkan, kemudian Mika mula memandu Viva kesayangannya itu menuju ke kafe yang telah dimaklumkan oleh Fika. Tidak diberitahu apa tujuan pertemuan. Semuanya masih menjadi tanda tanya di hati Mika. Kenderaannya berhenti tepat di hadapan kafe tersebut. Keluar saja dari perut kereta, Fika melambai-lambaikan tangannya ke arah Mika.
