PUAN MILAH terkejut menerima kepulangan anak dan menantunya. Dia nampak keadaan Mika yang sedang sarat. Dia menyambut Mika lantas memeluknya.
"Sia rindu mak." Mika meluahkan kerinduannya.
"Kenapa sampai bawa beg besar ni, Hans?" tanya Puan Milah pada Zaihan.
"Sia mau mika duduk sini dulu sampai bersalin, mak," jawab Zaihan. "Lagipun, sia jarang ada di rumah. Mama pula selalu keluar rumah, bermesyuarat dengan rakan kongsi syarikat. Mungkin keadaan Mika lebih baik dalam jagaan mak."
Zaihan terpaksa gunakan alasan itu. Bukan dia tidak mempercayai Erina dan mamanya, tetapi bila teringat pesanan papanya, dia seakan mampu berfikir dengan rasional. Mungkin betul, bukan mudah seseorang itu menyukai individu yang pernah dibencinya.
"Mak okey saja, Hans. Mika pun sudah jarang balik sini. Mak rindu untuk berbual dengan Mika macam dulu. Mak janji akan jaga Mika," kata Puan Milah sambil tersenyum.
Zaihan merasa lega dengan jawapan mak mertuanya. Mungkin keadaan Mika akan menjadi lebih baik dalam jagaan ibu kandung sendiri. Tidak tahu kenapa dia sering merasa tidak sedap hati sejak kebelakangan ini. Itulah sebabnya dia memilih untuk menghantar Mika dalam jagaan maknya sendiri.
"Okeylah, mak. Kami masuk bilik dulu. Mau mandi semua ni, badan rasa melekit," ujar Zaihan.
"Baiklah. Nanti bila sudah siap, turun makan," balas Puan Milah.
Zaihan dan Mika menapak langkah menuju ke bilik tidur. Mika mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi. Dia memilih untuk mandi dulu. Selesai menjirus air dan membersihkan diri, dia melangkah keluar. Dia menghampiri bagasinya untuk mencari pakaian yang sesuai. Kemudian Zaihan pula yang melangkah masuk ke bilik mandi.
Usai berpakaian, Mika melabuhkan punggung di birai katil. Zaihan yang baru selesai mandi, melangkah keluar lalu menghampiri bagasinya. Baju yang bersesuaian dicapai dan dipakainya. Selepas itu, dia duduk bersebelahan dengan isterinya. Wajah Mika ditatapnya lama.
"Mika, sia mau ko lebih hati-hati lepas ni, ah? Mama... Erina... Sia mau ko hati-hati sama diorang." Zaihan bersuara sambil menatap mata redup Mika.
Berkerut dahi Mika. "Diorang baik, Hans. Diorang banyak tulung sia."
Zaihan mengeluh. "Sia nda cakap yang mama sama Erina jahat. Mustahil sia mau aibkan urang yang rapat sama sia. Sia cuma mau baby kita selamat. Kita dua sedang belajar untuk bina keluarga sendiri, Mika. Sia mau baby kita nanti akan jadi dinding kebahagiaan buat kita berdua. Sia harap masa tu kita akan lebih menghargai."
Zaihan menggenggam tangan Mika erat. Mika rasa terharu dengan setiap kebaikan yang Zaihan cuba salurkan.
"Sudahlah, Mika. Jangan bazirkan air mata. Jomlah kita turun dapur. Mesti mak lama menunggu kita untuk makan bersama," ujar Zaihan.
Mika mengangguk perlahan.
*****
"APA yang kita mau plan sekarang ni, aunty? Kalau si Mika sudah balik rumah mak dia, susah kita buat kerja," protes Erina.
Datin Zurina mengeluh. "Ini yang aunty runsingkan."
"Sia ada cara mudah untuk gugurkan kandungan dia, aunty." Erina bersuara. Itu saja cara mudah yang Erina fikirkan pada ketika ini.
"Macam mana?" tanya Datin Zurina.
"She's accident," jawab Erina serius.
Dahi Datin Zurina berkerut. "Maksud Erin?"
"Buat dia kecelakaan jalan raya, aunty. Sudah pasti dia akan alami komplikasi melahirkan anak," kata Erina dengan yakin. Dia berharap Datin Zurina akan sokong apa yang dia buat selepas ini.
