MIKA dikejarkan ke hospital sebaik sahaja berita tentang kemalangan diterima. Fika menghubungi keluarga Mika dan Zaihan setelah tiba di hospital. Zaihan yang sampai lebih awal, dengan pantas mendapatkan Fika. Air mukanya penuh dengan kesenduan."Fika, ini semua khayalan, kan?" soal Zaihan tidak percaya. Dia mahu semuanya hanya satu mimpi. Tidak sanggup dia melihat isterinya terlantar di atas katil.
"Hans, ada seseorang yang melanggar Mika. Tapi, sia nda kenal tu kereta." Fika bersuara dengan getaran suara yang tidak sekata.
"Oh, no. She's pregnant." Zaihan meraup mukanya kasar. Rasa kesal kerana dia tidak berada di situ ketika Mika benar-benar memerlukan dirinya.
Mundar-mandir Zaihan di kawasan ruang menunggu. Kedatangan Puan Milah, Mizal, Ikmal dan Vicky membantutkan pergerakan Zaihan. Puan Milah yang terlebih dulu mendapatkan Zaihan.
"Mak sudah tegah Mika dari keluar rumah. Mak takut ada perkara buruk jadi sama dia. Hmm, mak betul-betul rasa bersalah." Puan Milah melahirkan kerisauannya.
"Takkanlah itu semua hanya accident biasa." Mizal bersuara apabila Zaihan membuka cerita tentang kemalangan yang menimpa Mika.
"Ada urang yang langgar kereta Mika, Abang Mizal. Tapi sia nda kenal tu kereta yang melanggar. Lepas langgar, dia terus pecut laju," kata Fika.
Mizal terkejut. "Entah siapa yang dengki pada Mika. Kalau sia jumpa, mimang nda senang duduk tu urang!"
"Encik Zaihan..." Terhenti perbualan mereka apabila Doktor Danish memanggil nama Zaihan.
Zaihan berpaling dan mendapatkan Doktor Danish. "Ya, doktor."
"Mika kehilangan banyak darah kesan daripada accident itu. Kita akan cuba lakukan operation. Doakan operation ini berjaya. Tolong sign pada borang untuk persetujuan operation dijalankan," jelas Doktor Danish.
"Baiklah, doktor." Zaihan mula menurunkan tandatangan di atas borang.
Doktor Danish bergegas ke dewan bedah untuk memulakan pembedahan.
*****
TERGESA-GESA Datuk Zarul bersiap pada petang itu. Mak Pah hanya memerhatikan Datuk Zarul yang seperti mengejar sesuatu. Sempat Datuk Zarul membasahkan tekak dengan teh tarik yang disediakannya.
"Datin mana, Mak Pah?" tanya Datuk Zarul.
"Mungkin ada dalam bilik, Datuk," jawab Mak Pah, kemudian dia kembali mengajukan pertanyaan. "Datuk mau ke mana? Kan baru saja sampai rumah?"
"Mau tinguk Mika. Ingat mau bawa Datin. Tapi, nda apa lah. Biar sia tanya Datin sendiri." Datuk Zarul bingkas bangun, lantas menapak langkah menuju ke tingkat atas.
Di dalam bilik, dia melihat Datin Zurina sedang tekun dengan majalah. Datuk Zarul mendekati isterinya.
"Zu, mari kita pigi hospital. Mika perlukan perhatian dari kita." Datuk Zarul bersuara perlahan.
"Ada doktor yang bulih rawat dia di sana," jawab Datin Zurina dengan penuh bersahaja.
Datuk Zarul terkejut mendengar jawapan isterinya. Dia tidak sangka itulah yang harus Datin Zurina katakan.
"Zu, itu menantu kita. Hans anak kita. Kita harus kesian pada Hans," ujar Datuk Zarul.
"Okeylah-okeylah... sia ikut pigi hospital!" Terpaksa juga Datin Zurina menuruti ajakan suaminya. Kalau tidak, sampai ke subuh membebel.
Tidak tahu bagaimana keadaan Mika pada ketika ini. Datin Zurina tidak mahu ambil tahu. Dia bersetuju untuk melawat pun kerana ajakan suaminya.
"Macam mana keadaan si Mika, bang? Ada si Hans bagitau?" tanya Datin Zurina setelah mereka berada di dalam kereta.