PAGI itu, selepas melakukan rawatan fisioterapi pada Erina di hospital bersama rakan doktor yang lain, Doktor Danish memapah kembali Erina ke dalam perut kereta. Hasil daripada rawatan-rawatan yang diberikan, Erina mula memberikan tindak balas walaupun tidak sepenuhnya. Kelembutan Erina tampak jelas dan kekerasannya berkurangan, cuma adakalanya, dia tidak selesa apabila Doktor Danish gemar bertikam lidah dengannya.
"Tinguk apa tu, Erina?" Pertanyaan Doktor Danish melenyapkan khayalan Erina sebentar tadi.
"Tinguk depan," jawab Erina malas.
Ketawa Doktor Danish mendengar jawapan Erina. Ayat itu kedengaran lucu di kuping telinganya.
"Tiada yang lucu pun, doktor." Suara Erina kedengaran keras.
"Ubahlah tu perangai, Erina. Kalau mau sembuh, buang tu rasa marah." Doktor Danish menjawab tanpa mengalihkan matanya untuk terus fokus dalam pemanduan.
"Suka sia lah, doktor. Badan sia, apa juga bah yang ko mau sibuk? Kita kenal pun nda. Buka-buka saja mata lepas koma, ko yang muncul depan sia. Bagus ko cakap, ko culik sia, kan?" marah Erina.
Sekali lagi Doktor Danish ketawa. "Belum pernah lagi sia dengar doktor culik patient. Sia bulih saja call family ko, bagitahu ko selamat dalam rawatan sia kalau ko mau."
"Nda payah! Sia nda mau siapa pun tahu. Sia sudah lama kena buang keluarga." Dengan wajah bersahaja, Erina menjawab percakapan Doktor Danish.
"Tiada bah urang suka-suka buang keluarga. Mesti ko ada buat salah besar ni, kan?" ejek Doktor Danish dalam gurauan.
"Bulih tutup mulut kah, doktor? Sakit telinga sia dengar!" herdik Erina.
"Okey." Doktor Danish tersenyum dalam hati. Dia tahu, apa yang ada di hati Erina. Amarah dan pastinya sakit hati.
Erina menelan ejekan Doktor Danish tadi dalam kepahitan. Dia masih tidak dapat maafkan Mika kerana merebut Zaihan darinya. Kalau bukan kerana keadaan dirinya ini, dia mahu balas dendam pada Mika. Dia akan rampas Zaihan kembali.
****
ZAIHAN mengajak Mika dan Zahril menghadiri sajian makan malam di sebuah hotel mewah. Jamuan itu dihadiri oleh ramai orang kerana Datuk Zarul menyambut ulangtahun perkahwinannya bersama Datin Zurina. Zalia merasa gembira kerana sikap ibunya telah berubah kini. Ibunya sudah mampu untuk menerima Mika sebagai menantu.
"Hai, Zalia." Zalia tersentak saat melihat Ikmal duduk di sebelahnya.
"Hai," balas Zalia.
"Kenapa duduk sini? Nda pigi makan?" Ikmal beramah mesra lagi.
"Terbalik pula ni, Ikmal. Patutnya sia yang jemput ko makan. Ini jamuan family sia," kata Zalia sambil tertawa kecil.
Ikmal tersenyum. "Nda kisahlah jamuan siapa pun, Zalia. Sia tinguk tadi ko bersendirian, sebab tu sia cuba tegur.."
"Wah, diam-diam ni anak usyar dan dekati adik ipar sia oh," usik Mika.
"Apa saja yang ko repekkan ni, Mika? Mau beramah mesra saja pun." Ikmal cuba menahan peluh yang menitis di dahi. 'Si Mika ni suka sangat kacau daun oh..'
Sebenarnya hasrat untuk mendekati Zalia sudah lama terbit di hatinya, namun dia tidak tahu apa pangkal bicara untuk memulakannya. Tambahan pula, dia adik Zaihan. Mungkin itu salah satu puncanya.
"Mal, soal hati ni keputusan masing-masing. Sia nda bantah pun kalau ko mau bina hubungan yang serius dengan adik sia ni. Yang penting Zalia happy, itu sudah cukup bagi sia," celah Zaihan sambil tersenyum.
Ikmal menarik nafas dalam-dalam. Ketandusan bicara pula dia bila Zalia sesekali menjeling ke arahnya.
****
