CAFE.
DUA cawan kopi terletak elok di atas meja. Roti canai turut tidak ketinggalan. Vicky dan Erina duduk berhadapan sambil menikmati kopi. Kelihatannya, kedua-dua individu itu melayan keseriusan dalam perbincangan.
"Ko ada terima kad kawin kah, Vic?" Pertanyaan Erina memecahkan kebisuan Vicky pada petang itu.
Vicky mengangguk. "Kad kawin Hans dan Mika, kan?"
Erina mendengus. "Sia nda bulih terima la diorang kawin!"
"Kita redha saja la, Erin. Anggap saja kita tiada jodoh sama diorang," balas Vicky dan cuba untuk berlagak tenang.
Bulat mata Erina memandang Vicky. "Seriously ko mau redha saja, Vick? Jatuh sudah kah maruah ko sebagai lelaki sampai nda mau kasi tegak keinginan ko? Ko kasi abai saja cinta ko di tengah jalan kah? Suka-suka saja kah urang lain mau pijak?"
Erina bengang kerana Vicky seperti enggan menyokong keputusan yang dia buat. Keinginan yang cuba dipertahankan seolah-olah terkubur. Dia tidak boleh. Dia perlukan Vicky juga untuk merealisasikan rancangannya. Dia tidak mahu Zaihan dan Mika meniti bahagia. Tidak sama sekali!
"Ko ingat senang kah mau kasi pisah diorang? Sudahlah, Erin. Sia nda sanggup buat jahat pada kawan sendiri. Sia hampir-hampir hanyut dengan hasutan ko. Biarlah hati sia terluka. Sia mau balik!" Vicky bingkas bangun, lantas meninggalkan Erina bersendirian di cafe tersebut.
Arrgghhh! Erina rasa hendak berteriak saja di cafe itu, melepaskan tekanannya. 'Nda guna punya jantan! Telampau lembut hati!'
Erina masih ingat lagi. Dia banyak menghabiskan masanya di apartment Vicky namun, itupun hanyalah sekadar tempat melepaskan kesedihan. Dia dan Vicky hanya bercerita sambil ditemani secawan kopi. Hati Vicky terlalu bersih. Sukar untuk memalitkan lohong hitam pada sanubarinya.
Erina masih menongkat dagu, memikirkan cara untuk memisahkan Zaihan dan Mika. Seketika kemudian, dia tersentak apabila seseorang menyebut namanya.
"Eh, Erin... seorang ja?" Erina mengangkat wajah dan dia menyambut kehadiran Maxwell.
"Ya, Max. Kebetulan pula jumpa sini, kan?" balas Erina. "Duduklah. Kasi teman sia minum."
Maxwell mengulum senyum menyambut pelawaan Erina. Kebetulan memang dia berhasrat mencari peluang untuk membina kembali keakrabannya dengan Erina seperti di pengajian dulu. Maxwell menarik kerusi dan duduk di depan Erina. Mereka mula bertukar nombor telefon bagi memudahkan pertemuan mereka nanti.
Erina tersenyum panjang. Dia akan gunakan Maxwell untuk memerangkap Mika. Dia takkan membiarkan Zaihan dan Mika bahagia.
****
Mika mundar-mandir di sekitar rumahnya. Puas berjalan tanpa hala, akhirnya dia turun menuju ke pondok rehat di bawah rumah. Dia mengeluh. Bingung dia dengan pilihan yang telah dibuatnya. Cincin di jari ditatap lama.
"Kalau rindu, pigi bah jumpa. Nda guna tatap tu cincin lama-lama," usik Mizal sambil tersengih.
'Adidii, ini anak. Datang-datang saja mau usik,' ngomel Mika dalam hati.
"Aik, sia ingat ko keluar dating sama si Liz," tukas Mika.
Mizal tersenyum nipis. "Ni hari sia mau rest di rumah kunu."
Mika hanya jungkit bahu, tidak rajin berbalas bicara dengan abangnya.
"Ko kenapa nda keluar date sama si Hans?" Mizal menukar topik perbualan.
Mika mencebik bibir. "Abang... ko kan tau dia boss sia. Sia rasa macam mimpi betunang sama dia. Sia bukan cinta dia pun."
"Sebab ko masih nda bulih buang si Vicky dari hati ko, kan?" teka Mizal.
