SEBULAN berlalu, Datuk Zarul membuat majlis kesyukuran di rumahnya sempena kehadiran anak Zaihan. Datin Zurina yang sudah mula bersikap lebih terbuka dengan Mika, melayan menantunya dengan baik. Mika menyedari akan hal itu dan merasa sangat-sangat bersyukur. Dia berharap sikap keterbukaan ibu mertuanya bukanlah satu kepalsuan.
Sudah terlalu lama dia menanti saat untuk berbual mesra dengan ibu mertuanya. Sehingga ke saat ini, dia masih tidak mengerti kenapa Zaihan memilih dirinya sebagai seorang isteri. Berkasih jauh sekali dan tidak pernah tertulis dalam kamus hidupnya untuk membina rumah tangga dengan Zaihan. Padanya, Zaihan itu boss dan sahabat abangnya. Mungkin jodoh mereka sudah tertulis.
"Amboi, panjang betul lamunan. Anak didukung pun nda sedar?" usik Fika sambil mencuit bahu Mika.
Mika tersengih. "Hans yang dukung, kan?"
"Hans happy dengan kehadiran Zahril. Tu yang Hans asyik dukung ja," balas Fika sambil tersenyum.
Mika mengangguk perlahan, kemudian dia memandang Fika. "Sia rasa ko ada sembunyikan sia something lah, Fika."
"Sembunyikan something? Apa maksud ko, Mik?" Berkerut dahi Fika.
"Vicky... ko nda pernah cerita pula yang kamu sudah kenal lama?" Mika rasa, dia perlu tahu semua itu. Dia tidak mahu Fika menemukan jalan kehidupan yang salah.
Fika menyentuh tangan Mika perlahan. "Mik, ko baru ja sihat, kan? Mungkin lain kali kita bulih discuss pasal ni. Jangan risau pasal sia. Sia dan Vicky kekal kawan."
"Fika, sia rasa sia perlu tau pasal Vicky." Mika masih tidak berputus asa.
Fika mengeluh. "Mik, sia sebenarnya nda pernah kenal pun Vicky. Tapi, masa pigi Johor, dia selamatkan sia dari sindiket pelacuran kerana sifat nda berperikemanusiaan Erina dan Max. Kalau bukan pasal Vicky, sia nda mungkin ada di sini. Sia berhutang nyawa dengan dia."
Mika terkejut. Tidak sangka, terlalu banyak rahsia yang Fika sembunyikan darinya dan dia pula tidak pernah menganggap Vicky itu orang yang baik. Sampai sekarang Mika menganggap hati Vicky itu tidak suci. Silapnya dia menilai keperibadian Vicky.
"Di sini pula ni dua belangkas. Patutlah sia cari-cari di luar nda jumpa. Oi, Fika... si Mika ni ada laki tau." Ikmal sudah mula mahu mempersendakan Fika.
Zaihan dan Vicky tersengih mendengar sendaan Ikmal itu.
"Sibuk saja tau ni urang. Hans pun nda bising tau macam ko. Mulut monyet!" Fika tidak mau kalah.
"Kuh, mulut monyet ar ko cakap sia? Vic, cuba ketuk sikit kepala dia ni." Ikmal menujukan kata-kata itu pada Vicky, bossnya. Kini, Ikmal biasa memanggil bossnya sebagai Vicky saja.
Vicky tersenyum nipis melihat persahabatan Fika, Mika dan Ikmal. Fika nampak segan berhadapan dengannya. Dirinya sendiri pun seakan kehilangan bicara bila berhadapan dengan Fika. Aura kewanitaan Fika telah buat jiwa lelakinya goyah.
"Mika, jom lah kita keluar. Ada sedikit jamuan. Mari sia bawa ko sampai luar. Fika, tulung dukung Zahril kejap," kata Zaihan sambil meminta Fika untuk mendukung Zahril.
Sebetulnya, Mika belum pulih sepenuhnya. Mungkin kesan daripada pembedahan itu, stamina Mika masih lemah. Dia perlukan pimpinan tangan daripada seseorang untuk dirinya melangkah dengan utuh.
Di ruang tamu, Datin Zurina menyambut kehadiran Mika dan memintanya untuk duduk di sisinya. Rakan-rakan Datin Zurina tersenyum melihat Mika.
"Baru hari ni kami dapat kenal betul-betul sama menantu ko, Datin Zu. Betul, Mika nampak tomboy. Tapi, banyak kelebihan tomboy ni. Dia sentiasa ada bila kita betul-betul perlukan bantuan dan masa tu hanya Mika yang ada di sisi Datin. Datin betul-betul beruntung," puji Datin Suhaila dan kata-katanya disokong oleh rakan-rakan yang lain.
