April 2000Mawaddah membongkok di tepi tingkap lalu menjenguk keluar. Kepalanya ditunduk untuk melihat melepasi belakang daun tingkap kayu berkenaan. Apa yang dilihatnya cuma rumah banglo kecil bercat putih dan berbumbung merah di sebelah. Tiada kelibat mana-mana kereta.
"Mak tak balik lagi," katanya.
"Yang tadi tu bunyi kereta Pak Tih kut." Kedengaran suara tua dan serak menjawab dari dapur.
Mawaddah berdiri tegak di tepi tingkap sambil memandang ke arah pintu dapur. Dia memuncungkan bibir dan menjungkit bahu, mengekspresikan rasa kecewa sendirian. Hari telah mula mendung. Kalau sebentar lagi hujan, dia tahu mak pasti akan pulang lebih lewat. Dia berjalan mendekati tiang seri di tengah-tengah ruang berkenaan lalu memandang wajah sendiri di hadapan cermin yang digantung di situ. Sekejap kepalanya dilentokkan ke kanan, sekejap dilentokkan ke kiri. Sekejap dimuncung, sekejap disengih.
"Hai, nama saya Mawaddah." Dia bercakap dalam nada suara kecil ala-ala kucing.
"Hai, nama saya Mawaddah Ilmi binti Mohamad Ilham." Kali ini dengan nada ceria sambil tersengih.
"Hai, nama saya Mawaddah Ilmi binti Mohamad Ilham. Umur saya 12 tahun." Dengan mengerutkan wajah dan mengajuk suara parau ayah.
Cuba menghibur diri sendiri.
Dia menyentuh rambut potongan ala Cleopatranya yang berwarna hitam keperangan. Tidak hitam dan tidak perang. Rambut itu istimewa. Semua orang akan memuji dan mencemburui rambutnya. Dia sukakannya, terutamanya ketika setiap kali mak dan ayah memperkenalkannya kepada kawan-kawan mereka. Apabila dia bersalam dengan mereka, warna rambutnya pasti akan mendapat pujian, tapi semua itu tak boleh dibanding dengan kepuasan hatinya melihat wajah mak dan ayah yang berbangga.
"Kenapa rambut Wadah warna macam rambut orang putih? Rambut Kinah tak macam tu pun?" Sakinah pernah mempertikai di hadapan mak dan ayah.
Mak dan ayah saling berpandangan buat seketika sebelum ayah berkata, "Sebab Wadah tu anak orang putih yang ayah ambil bela. Dulu ayah ambil dia kat London."
Mendengarkan hal itu, Mawaddah terus menangis sekuat hatinya. Perasaannya bercampur antara marah, sedih dan takut kalau-kalau dia memang bukan anak mak dan ayah. Ketika itu dia tak terfikir yang ayahnya cuma orang kampung yang kerjanya berniaga di pasar malam. Pergi ke Kuala Lumpur pun ayahnya tak mampu, apatah lagi pergi ke London.
Kemudian ayah datang memeluknya sambil menjelaskan yang dia hanya bergurau.
Kisah itu cuma berhenti setakat itu bagi ayah, tapi kesannya berbeza buat Mawaddah dan Sakinah. Mulai saat itu Mawaddah tidak berani berbangga diri tentang hal rambutnya. Sakinah juga tidak lagi mempertikaikan tentang rambut Mawaddah. Dia juga takut kalau-kalau kakaknya itu memang benar orang asing dalam keluarga.
Hari itu Mawaddah belajar bahawa keistimewaan manusia boleh bertukar jadi sumpahan buat manusia itu sendiri.
***
Sudah satu jam Mawaddah berbaring di atas lantai rumah papan Tok Pah. Dia merenung lubang-lubang halus pada zink bumbung rumah berkenaan. Cahaya matahari yang menerobos masuk melalui lubang-lubang berkenaan jatuh pada lantai, membentuk bulatan cahaya sebesar syiling 20 sen. Mawaddah bermain dengan cahaya itu dengan telapak tangannya. Dan hobinya juga termasuk bermain sesi penyiasatan –mengenal pasti di mana lokasi jatuhnya cahaya di atas permukaan lantai papan bagi setiap lubang yang ada pada atap zink berkenaan.
Mak masih belum pulang daripada mesyuarat di sekolah. Selalunya Mawaddah dan mak pergi dan pulang bersama-sama menaiki kereta Perodua Kancil milik mak. Pada hari-hari tertentu sahaja Mawaddah pulang sendiri dengan menumpang basikal kawannya setelah tamat persekolahan, seperti hari ini.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
General Fiction[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...