Mawaddah mengedipkan matanya berkali-kali. Cuba membetulkan pandangannya yang kabur sejak tadi.
Seingatnya kali terakhir dia sedar tadi, dia sedang berdiri di dalam barisan perhimpunan pagi. Kemudian entah bagaimana dia sudah terbaring di dalam perpustakaan sebegini. Tudung sekolahnya juga sudah ditanggalkan.
"Anak kak Mah kurang zat ni. Wadah makan sarapan tak tadi?" Kata Cikgu Liza kepada mak.
Mawaddah terkulat-kulat memandang ke arah guru pendidikan jasmani yang duduk di sebelah katil. Bukan katil, tapi kerusi berkusyen yang disusun rapat supaya menjadi seperti katil.
Pandangan Mawaddah beralih pula ke arah mak yang berdiri di belakang. Dia tidak tahu apa yang patut dibuat. Badannya masih terasa kebas-kebas. Siku dan pinggangnya terasa sakit, barangkali kerana dia jatuh terjelupuk di tengah-tengah tapak perhimpunan tadi.
"Err.. Wadah tak makan lagi hari ni," mak membalas, malu. "Kak Mah tak sempat nak siapkan sarapan untuk anak-anak hari ni, Za. Terbangun lewat. Lepas tu nak uruskan anak-anak ni semua lagi.."
Cikgu Liza bangkit ke arah meja berhampiran, lalu kembali dengan menghulurkan segelas air Milo suam kepada Mawaddah. Mawaddah menghirup sampai habis dengan sekali tegukan.
Terasa air yang hangat itu meluncur laju di dalam perut. Serta-merta badannya terasa kuat dan cergas semula.
"Hah, lapar sungguh ni!" Seloroh Cikgu Liza apabila melihat tingkah Mawaddah. "Patutlah pitam dalam perhimpunan pagi!"
"Yalah, Za. Sebenarnya anak Kak Mah yang seorang ni memang jenis susah nak makan. Selalunya bila Kak Mah sediakan makanan banyak-banyak pun, bukannya dia nak makan. Itu yang kurang zat tu. Adik dia elok saja makan."
Mak menghampiri Mawaddah dan menghulurkan tangannya. Pada mulanya, dahi Mawaddah sudah berkerut, bersedia menahan sakit kerana dia menyangka mak akan mencubit perutnya. Sebaliknya tangan itu menggosok-gosok belakang tubuhnya.
"Haaa, Mawaddah. Lain kali kena makan tepat waktu. Ingat, jangan sesekali tahan lapar. Makan. Kena makan," tegur Cikgu Liza dengan tegas.
Mawaddah memandang ke arah mak yang berusaha senyum, sedangkan wajahnya berubah jadi merah padam. Dia langsung tidak memandang ke arah Mawaddah. Seolah-olah dia akan meletup jika dia menoleh. Mawaddah mengangguk sekadarnya –antara yang dinampak oleh Cikgu Liza dan yang tidak dinampak oleh mak. Harapnya.
***
"Kau suka pensel ni?" Kata Hazlan apabila melihat Mawaddah membelek pensel mekanikal berwarna hijau miliknya dengan berhati-hati.
"Ini pensel?" Mawaddah bertanya kembali dengan wajah berkerut. Sempat mengerling ke arah guru di hadapan kelas yang sedang sibuk memeriksa kertas jawapan peperiksaan anak muridnya.
Pandangan Mawaddah kembali ke arah wajah budak lelaki yang tinggi dan kurus di hadapannya. Wajahnya sedikit gelap kerana terbakar dek terik cahaya matahari ketika bersukan. Hazlan selalu mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak dan olahraga. Rambutnya disisir kemas di tepi. Dan setiap kali senyum, lesung pipit menghias kedua-dua belah pipinya.
"Ha'ah. Ini namanya pensel tip tip. Rupanya macam pen, tapi ia memang pensel." Hazlan mengambil pensel tersebut daripada tangan Mawaddah lalu mencontengkan sesuatu di atas kertas di atas mejanya. Mawaddah melihat ke arah contengan itu. Dia kagum. Memang pensel.
Selama ini dalam pengetahuan Mawaddah, pensel cuma diperbuat daripada batang kayu.
"Berapa harganya? Mahal tak?"
"Harganya lima ringgit. Yang ni pak cik aku hadiahkan sebab aku dapat nombor tiga dalam kelas hari tu. Kalau nak beli sendiri, aku memang tak mampu." Hazlan menggaru kepalanya sambil tersengih.
Mawaddah melopong. Lima ringgit. Nilai yang teramat besar bagi sebatang pensel. Kalau digadaikan pensel ini, boleh beli 25 bungkus nasi lemak di kantin. Mawaddah mencongak dalam kepala.
"Tapi pensel ni canggih tau. Kau tengok ni." Hazlan menggoncang pensel itu perlahan. Di bahagian tengah batang pensel itu, di bahagian dalam plastik lutsinar, kelihatan sebuah spring kecil yang boleh bergerak ke atas dan ke bawah apabila digoncang. Apabila Hazlan menggoncang, spring itu bergoncang lalu mengeluarkan bunyi tip tip tip. Dalam masa yang sama, karbon pensel keluar dengan sendirinya dari matanya.
"Kalau pensel tip tip biasa, kau kena tekan kat hujung, baru mata pensel tu keluar. Tapi pensel ni tak payah. Goncang je."
Mawaddah membelek pensel itu dengan kagum. Pemegang getahnya juga tebal. Pensel ni memang berkualiti dan mahal. Hazlan hanya memerhatikan gelagatnya.
"Kalau kau suka, ambillah. Aku bagi," kata Hazlan tiba-tiba.
Mawaddah memandang wajah Hazlan, ingin melihat kalau-kalau dia bergurau. "Kau nak bagi kat aku?"
"Ya. Kitakan kawan. Ambillah." Hazlan sedaya upaya bercakap dalam nada tenang. Tidak mahu kedengaran terlalu beria-ia. "Cuma jangan bagitahu sesiapa yang aku bagi kat kau. Ok?"
Mawaddah berfikir beberapa saat sebelum membalas, "Ok. Terima kasih, Lan!"
Sebenarnya Mawaddah tidak berpuas hati. Dia akui memang dia mengidam-idam ingin memiliki barang canggih ini. Tapi bukankah pensel ini dihadiahkan oleh bapa saudara Hazlan? Dan harganya sangat mahal? Kenapa Hazlan berikan kepadanya dengan begitu sahaja?
Hazlan membalas dengan senyuman. "Kaukan budak paling pandai. Bila kau tulis jawapan guna pensel aku ni, bolehlah aku dapat pahala sekali."
Mawaddah terlopong. "Boleh ke macam tu?"
"Boleeeeehh. Asalkan kau tulis jawapan yang betullah. Kalau jawapan salah, tak dapat markah, aku tak dapat pahala hahaha."
Perbualan mereka terganggu dengan bunyi kaki kerusi yang bergesel dengan lantai kayu di depan kelas. Murid-murid yang duduk bersantai kini semuanya menumpu ke arah guru mereka yang sudah berdiri di hadapan.
"Baik, murid-murid. Semua dah dapat semula kertas ujian masing-masing kan?" Tanya guru tersebut.
Kesemua murid tahun 6 di dalam kelas berkenaan menjawab serentak bagai dirancang. "Dah cikgu!"
"Baik, kelas kita tamat kat sini. Hazlan! Tolong saya bawa buku-buku ni."
Mawaddah memandang ke arah guru berkenaan dan Hazlan berulang-ulang kali.
Dalam ramai-ramai pelajar, Hazlan juga yang selalu disuruh guru tersebut untuk membawakan barang-barangnya. Ia bagaikan suatu penghormatan bagi seorang pelajar apabila guru meminta mereka membawakan barang. Kerana itu bermaksud guru itu sukakan mereka.
Dan bagi guru ini, ia sentiasa Hazlan.
Hazlan terus bangkit dari tempat duduknya lalu berjalan ke arah hadapan. Buku ringkasan guru tersebut diangkat bersama-sama dengan buku latihan kerja rumah murid. Seketika kemudian, kelas gegak gempita dengan suara murid-murid mengucapkan terima kasih kepada guru mereka.
Mawaddah memandang ke arah Hazlan yang berjalan keluar mengikut belakang guru tersebut dengan perasaan cemburu. Belum pernah Mawaddah dipilih oleh guru tersebut. Entah mengapa, sejak awal tahun ini, ia sentiasa Hazlan.
Mawaddah memandang ke arah guru tersebut.
Bukan, dia memandang ke arah ibunya sendiri.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
General Fiction[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...