3. Syurga

1.2K 107 5
                                    

"Kau dah sedia?" Sakinah tersengih gatal ke arahnya.

"Kau rasa baju aku ni ok tak untuk interview ni? Aku rasa aku nampak selekeh." Mawaddah membetulkan duduknya agar blaus birunya tidak berkedut. Semasa dia membetulkan tudung, dia sempat mengerling ke arah bangunan yang terletak bertentangan dengan kafe yang mereka duduk sekarang.

Dia akan menghadiri sesi temu duganya di situ.

Sejak kali terakhir dia menerima e-mel balasan daripada syarikat FFCT bulan lalu, tiada ada apa-apa berita baik lain lagi yang datang seperti yang Mawaddah harapkan. Sehinggalah pada suatu hari, dia mendapat satu panggilan temu duga untuk jawatan jurutera daripada sebuah syarikat yang asing namanya pada pengetahuannya.

Seperti yang dijangka, mulai hari itu perjalanan hidup Mawaddah seolah-olah semakin lancar. Suasana pula bertukar menjadi ceria, seperti hari ini, apabila bunyi enjin dan hon kereta yang lalu lalang di sebelahnya umpama irama rancak yang membangkitkan rasa ingin menari. Bau asap dan debu juga tiba-tiba terasa menyegarkan.

"Ok dah tu.. Rilekslah." Sakinah menunjukkan kedua-dua belah tapak tangannya ke arah Mawaddah.

"Serius, aku tak boleh rileks." Mawaddah mengembungkan pipi lalu mencicip latte yang dipesannya tadi. Airnya sudah suam. "Sebab aku tak tahu kenapa syarikat ni panggil aku. Kau bayangkan, Kinah, sebelum ni aku tak terlintas pun nak kerja kat sini sebab ia syarikat besar. Apatah lagi nak hantar resume. Tengok-tengok, mereka panggil aku. Tak logik."

Sakinah menjungkit bahu. "Mungkin ni rezeki kau? Ada lah hikmahnya selama ni kau bersusah-susah. Kali ni Allah mudahkan untuk kau. Sebab kau bersabar."

Sakinah nampak Mawaddah berbisik kesyukuran seorang diri. Kemudian dia tersengih ke arah adiknya.

"Kau tahu tak, Kinah. Aku bersyukur sangat sebab kau ada."

"Aku ada apa?"

"Kau ada la. Kau tu ada."

"Aku ada apa?"

"Kau. Berwujud. Ada," Sebut Mawaddah sepatah demi sepatah dengan wajah fokus.

"Ada apa?"

Akhirnya Mawaddah menjulingkan mata ke atas. "Kau buat-buat tak faham kan sebenarnya?"

Sakinah menyambut dengan ketawa menyembur yang dah lama dia tahan. "Kau ni blur juga kan?"

Dalam suasana tawa itu, tiba-tiba Mawaddah teringat kepada seseorang. Orang itu pasti akan berbangga terhadapnya jika hari ini dia berjaya dapat kerja. Sebab selama ini, Mawaddah yang orang itu kenali bukan jenis yang cepat berputus asa dan cengeng macam sekarang.

"Kinah."

"Ya?"

"Kau ingat tak masa kita kecil-kecil dulu, bila ayah baru balik berniaga dari pasar malam, dia mesti kejar nak peluk kita kan?"

Sakinah tidak jadi menghirup latte Mawaddah. Dia cepat-cepat meletakkan semula cawan di piringnya dan tergelak tidak sabar. "Kita pula akan lari sebab baju ayah berbau kuat ikan masin! Lepas tu mak marah kita sebab bising tengah-tengah malam."

Mendengarkan ayat terakhir itu, Mawaddah berhenti ketawa. Dia melihat ke arah jam tangan dan menoleh-noleh ke arah pintu masuk lobi bangunan bertentangan.

Mak.

"Kau tak telefon mak ke, Wadah?"

Mawaddah terkesima mendengar soalan Sakinah yang ditembak tiba-tiba. Dia ni boleh baca fikiran?

"Kau ni, aku tengok dah lama tak telefon mak, atau balik kampung jumpa mak. Kenapa?" Tanya Sakinah lagi.

Pada ketika itu, dia terfikir yang dia lebih sukakan Sakinah yang suka buat lawak menjengkelkan berbanding Sakinah jenis ini.

Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)Where stories live. Discover now