Nasib baik tak sesak.
Mawaddah menghembus nafas lega. Dia sempat melompat masuk sebelum pintu tren tertutup.
Ditoleh ke arah kiri dan kanannya, mengintai tempat duduk kosong. Sebentar lagi tren berkenaan bakal meluncur laju menuju ke KL Sentral dari KLIA.
Seorang wanita melambai dan mengisyaratkan ada tempat duduk kosong di depannya.
Mawaddah menarik beg roda ungu mudanya ke arah tempat duduk kosong berkenaan yang terletak di tepi tingkap. Sempat menunduk dan membisikkan 'terima kasih' kepada wanita tadi, dan melemparkan senyum ke arah pasangan suami isteri berusia 20-an yang duduk di sebelah.
Cermin mata dibetulkan.
Beg galas belakang ditanggalkan.
Peluh memercik di belakang badannya sebab berlari tadi. Nasib baik air-cond tren ni agak kuat.
Keadaan ini mewah dibandingkan dengan pengangkutan yang dinaikinya di negara jiran sepanjang 3 hari lepas. Van sewa yang dinaikinya sepanjang berada di Danau Toba, Indonesia itu memang sangat buruk.
Van itu sentiasa bergegar. Kalau naik bukit, ia umpama tak bergerak langsung. Tapi dia tidak ada pilihan lain selain reda dengan apa yang ada, kerana pemergiannya ditanggung sepenuhnya oleh sahabatnya yang tidak jadi pergi bercuti.
Dia hanya perlu membeli tiket kapal terbang saja.
Disebabkan majoriti penduduk bandar yang terdekat dengan Danau Toba beragama Kristian, sukar bagi Mawaddah untuk mencari makanan halal tanpa seorang supir (pemandu) sebagai tour guide. Namun dengan keputusannya mengupah seorang supir, tidak disangka pula dia perlu menaiki van gegar bersama penumpang-penumpang lain.
Bila seminggu naik van gegar, memang letihnya lain macam.
Mawaddah menongkat siku lalu melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Pendingin hawa mula memberikan kesan kantuk. Mawaddah memejamkan mata.
"Sorry. Awak ni... Mawaddah kan?"
Mawaddah berpaling ke arah pasangan suami isteri yang duduk bertentangan dengannya. Si isteri menunjuk ke arahnya dengan ceria. Si suami hanya menjenguk dengan janggal.
"Mawaddah... Penulis tu kan?" Tanya wanita itu lagi.
Mawaddah mengangguk lalu tersenyum kekok.
Situasi ini tak pelik baginya, tapi ia bukan suatu kebiasaan. Mawaddah seorang penulis, tapi tidak popular. Dia tak pernah jangka orang di jalanan akan mengenalinya. Bilangan orang yang menegurnya pun mungkin seorang dua dalam setahun.
"Ya, saya."
Dia senyum lalu berpaling ke arah tingkap buat sesaat sebelum berpusing semula menghadap pasangan suami isteri tadi.
"Awak ada baca buku saya ke?"
Wanita bertudung satin biru itu mengangguk.
"Saya Hajar. Saya belajar satu sekolah dengan kak Mawaddah dulu tapi mungkin akak tak cam saya sebab akak senior saya. Saya tingkatan satu masa akak tingkatan lima."
"Oh, awak junior sayalah? Sorry-lah saya memang tak cam," kata Mawaddah seraya menggaru kepala yang tak gatal.
Bilangan pelajar di sekolahnya dulu memang ramai. Dia tak kenal semua orang terutamanya pelajar tingkatan satu dan dua. Atau mungkin juga dia kenal tapi dia dah tak dapat cam muka Hajar selepas 13 tahun.
"Saya dah baca buku akak yang first. Yang lain tu..." Hajar tersengih. "Belum ada kesempatan nak baca."
"Oh. Terima kasih." Mawaddah pula sengih. Perangai mengangguk tak tentu halanya sudah datang. Menunduk hormat, senyum, tangan di dada –itu sememangnya Mawaddah.
Dia meniru perangai itu daripada salah seorang cikgu praktikum yang mengajarnya semasa sekolah rendah dahulu. Cikgu Mahathir namanya. Sejak itu tabiat itu seolah-olah melekat padanya. Sehinggakan makcik-makcik di kampung mengecopnya sebagai anak yang sopan dan merebutnya untuk dibuat menantu.
Dia masih darjah lima ketika itu.
"Buku kak Mawaddah yang first tu best. Bila lagi nak keluarkan buku baru?" Hajar kini berpusing menghadapnya betul-betul. Suaminya yang duduk di sebelah tidak mengikut perbualan mereka. Dia berpaling menghadap tingkap.
"Aaa.. Buat masa sekarang ni saya dah tak menulis. Awak doa-doakanlah untuk saya ya?" Balas Mawaddah, cuba mematikan perbualan.
Dia bukannya tidak suka berbual dengan Hajar. Sebenarnya dia hilang minat bila bercakap tentang menulis. Atau hilang motivasi. Entahlah. Sepertinya dia sudah hilang minat untuk semua perkara.
Hajar sekadar mengangguk lalu tersenyum tawar. Dia kembali menghadap ke depan dan menyemak telefonnya.
Mawaddah pula kembali menyandar lalu melentokkan kepala ke permukaan tingkap. Matanya mengekor pergerakan titisan hujan yang turun di tingkap. Sesampainya titisan air itu ke bawah, mata Mawaddah turut layu dan akhirnya terpejam.
***
Sesampainya di platform KL Sentral, Mawaddah berjalan laju ke arah tangga escalator di hujung platform. Di pertengahan jalan dia terpandang Hajar dan suaminya yang berdiri di hadapan pintu lif.
Mawaddah terfikirkan sesuatu.
Dia membaringkan beg di tepi laluan yang tidak sesak lalu membuka zipnya.
Sebuah buku tebal berwarna biru dikeluarkan. Di bahagian bawah kulit buku itu tertulis nama Mawaddah Ilmi dalam font berwarna putih.
Mawaddah merenung buku itu.
Dia berhajat mahu menghadiahkan buku keduanya kepada Hajar. Memang niatnya mahu berhenti menulis. Tapi itu tak bermaksud dia tidak menghargai orang yang membaca penulisannya.
Buku tersebut dipegang kemas-kemas sebelum dibawa menuju ke arah pasangan tersebut dari belakang. Namun tak semena-mena Mawaddah diserang rasa panik dan kekok.
Apa yang perlu aku cakap? Macam mana kalau nada aku kedengaran bongkak atau menyindir?
"Mawaddah tu kan abang, sebenarnya janda," tiba-tiba Hajar bersuara.
Langkah Mawaddah terhenti.
Hajar dan suaminya berdiri menghadap pintu lif dan membelakangi Mawaddah. Mereka tidak sedar yang dia sedang mendengar dengan jelas di belakang.
"Yeke? Abang ingat dia tu student lagi," balas suaminya.
"Taklah. Dia kan senior sekolah saya dulu. Umur dia lebih kurang 30 tahun dah. Di sekolah, dia terkenal...sebagai perempuan murah." Dia berbisik pada hujung ayat.
Suaminya hanya mengangguk malas-malas. Malas nak layan.
Hajar tidak berpuas hati dengan reaksi suaminya.
"Saya bukan reka cerita, abang. Satu sekolah tahu kisah dia. Masa kecil dulu, dia pernah kena tangkap sebab buat benda yang tak senonoh pada seorang budak lelaki!"
"Benda tak senonoh?"
"Faham-faham sajalah, abang."
"Ish awak ni."
Ketika mereka berbual tadi, Mawaddah sudah pun berundur jauh dari situ. Dia berdiri di tempat sama dia mengeluarkan bukunya tadi, di hujung platform.
Dia merenung ke arah buku yang dipegangnya sebelum menyimpan semula buku tersebut ke dalam beg, sambil mengempang air mata agar tidak tumpah.
Hampir dua puluh tahun lalu, semasa peristiwa itu berlaku, dia tidak terfikir bahawa ia akan terus menghantui seluruh hidupnya.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Ficción General[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...