18. Khianat

716 58 14
                                    

Mawaddah merangkul lututnya, mempertahankan tubuh daripada disentuh. Kepalanya terdongak ke arah lelaki yang berdiri tegak di hadapannya. Dia tidak mampu menghentikan geletar pada bibir, kaki dan tangannya sendiri.

"Mawaddah..."

Ustaz Kamal tunduk ke arahnya. Pisau yang dipegang erat di tangannya dihala ke arah lain bagi menjauhi Mawaddah. Jari telunjuk ustaz dibawa ke bibir sendiri sebelum dia berkata, "Jangan bising."

Mawaddah mengedipkan matanya berkali-kali untuk menghilangkan kabut pada matanya yang bergenang dengan air. Dia tak boleh terlepas apa-apa peluang untuk meloloskan diri. Tubuhnya kini bersedia untuk meronta, sementara air matanya tumpah tak terhenti di luar kawalannya.

"Kenapa lari?!" Bisik Ustaz Kamal dengan penuh amarah. Dia menarik lengan Mawaddah. Badan Mawaddah terdorong bangun mengikut tarikan ustaz. Segala rayuan dan rontanya langsung tak diendahkan. Berkali-kali dia duduk dan bangun untuk meloloskan diri, tapi setiap kali dia berjaya, ustaz berhasil memegangnya dengan lebih kemas.

Mawaddah menangis tertahan-tahan. Dia takut untuk menjerit. Dia juga takut untuk berdiam diri. Akhirnya, dia hanya membiarkan apa saja suara yang keluar dari mulutnya, yang lebih kepada suara merintih kerana cubaannya untuk menjerit gagal. Suaranya seperti tidak mahu keluar.

"Cepat!" Bisik ustaz lagi.

Ustaz mengheret Mawaddah mendekati bangunan yang mereka pergi tadi. Kali ini melalui jalan belakang. Tangannya masih setia memegang pisau yang menganga bilahnya. Dia setengah mengeluh dan memaki setiap kali Mawaddah menahan pergerakan dari belakang.

Semasa mereka melepasi bahagian surau sekolah, ustaz berhenti melangkah secara tiba-tiba. Dia merenung jauh ke arah lorong kecil yang menuju ke arah kantin. Kemudian pandangan beralih kepada Mawaddah yang masih bergelut. Pandangannya menari-nari antara dua perkara itu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk ubah haluan pergerakannya ke tempat lain. Ditariknya Mawaddah ke arah dinding di hujung bangunan.

Tubuh kecil Mawaddah ditolak cepat-cepat ke dinding. Kemudian leher Mawaddah dia cengkam keras. Dengan wajah bengis, dia mengugut, "Dengar sini Mawaddah. Kalau kau bagitahu sesiapa saja, sesiapa saja! Pasal hal ni, ustaz bunuh kau. Faham!"

Dia menggoncang lengan Mawaddah kerana tidak mendapat reaksi balas. Wajahnya mulai resah. Pisau mula diangkat dan dihala sejengkel ke wajah Mawaddah. "Ustaz bunuh kau! Faham! Sesiapa pun tak boleh tahu!"

Mawaddah terkejut sampai terangkat bahunya. Dia tidak rela untuk mengangguk, tetapi dia tidak juga sanggup menggeleng. Hanya tatapan dan air mata yang mengiringi ugutan ustaz tadi.

Melihatkan riak wajah Mawaddah yang jelas ketakutan, Ustaz Kamal melepaskan cekikannya lalu mengelap tangannya yang basah dengan air mata Mawaddah pada seluar. Dia nampak lebih yakin selepas itu. Yakin akan keberhasilan ugutannya.

"Mak.." Rintih Mawaddah berkali-kali. "Mak.."

Ustaz Kamal berundur lalu menatapnya sambil berfikir dalam-dalam. Dia menghela nafas. Kemudian tangan Mawaddah cepat-cepat dipegangnya.

Dia memusingkan tangan Mawaddah agar tapak tangannya menghadap ke atas. Sepantas kilat, pisau yang dipegang muncul lalu mengelar tapak tangan Mawaddah.

Darah memancut keluar. Mawaddah terjerit kesakitan. Wajahnya bertambah pucat, seolah-olah yakin yang ajalnya akan berakhir di sini di tangan lelaki ini. Namun, sebaliknya yang ustaz lakukan selepas itu. Ustaz mencampakkan pisaunya jauh-jauh lalu kelam-kabut mendukung Mawaddah. Wajahnya bertukar panik dan risau. Dia berlari, membawa Mawaddah ke arah kantin.

Mawaddah dapat lihat titisan darahnya yang menitis hampir setiap masa di sepanjang kaki lima sekolah tersebut. Pandangannya mula berpinar, kepalanya terlentok ke kanan dan kiri mengikut irama larian ustaz. Pakaian ustaz juga sudah tercemar teruk dengan warna darahnya. Sebelum mindanya lenyap ke dunia gelap, dia terdengar suara Ustaz Kamal melaung-laung dekat telinganya berkali-kali.

Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)Where stories live. Discover now