36. Akhirnya Berlari

1.5K 110 49
                                    

Hujan tak mengizinkan Mawaddah berganjak dari situ.

Dia berdiri di hujung perhentian bas sambil menadahkan tangan ke luar. Sekonyong-konyong hujan turun di kawasan itu beberapa minit lalu, derianya menyedut bau segar tanah yang basah. Kini bau itu telah hilang, diganti rasa basah air hujan yang terpercik ke pakaian dan wajahnya. Mawaddah menarik semula tangannya ke dalam. Kepalanya terdongak ke arah hujung bumbung sambil bibir tersenyum tenang.

Di belakang perhentian bas itu berdiri bangunan hospital yang selalu dia kunjungi untuk berjumpa dengan Dr Afnani. Semasa dia turun dari Grabcar tadi, hujan yang renyai-renyai tiba-tiba bertukar lebat. Dia tersangkut di perhentian bas itu selama 10 minit. Janji temunya bermula 20 minit lagi, tapi dia perlu mendaftar di kaunter dalam 5 minit lagi.

Dia berharap dia tidak bersendirian pada waktu ini.

Hujan sering membuatkannya diam berfikir tentang perjalanan kehidupannya. Kesuraman suasana hujan pasti membawa fikirannya hanyut kepada peristiwa-peristiwa indah dan bercahaya dalam hidupnya. Kebingitan hujan juga akan memaksa jiwanya berundur dan duduk terperosok di sudut paling sunyi.

Hujan satu-satunya teman yang dia ada di sini, tetapi ia juga seteru. Kali terakhir dia dibasahi hujan adalah ketika dia dicurahkan kopi oleh Sahir, lalu dia duduk bersendirian di taman. Selepas itu, Iffat datang dengan membawa payung.

Secara spontan, Mawaddah menoleh ke kiri dan kanannya seolah-olah mencari seseorang.


***


"Macam mana kita nak tahu kalau-kalau kita sedang buat keputusan yang salah?"

Wanita di hadapan Mawaddah itu tersenyum mendengar soalan tersebut. Dia menyengetkan kepala sedikit, barangkali cuba membayangkan situasi bagaimana yang Mawaddah sedang fikirkan.

"Kadang-kadang saya keliru, doktor. Kenapa semua perkara baik berisiko dan berbahaya? Perkara yang tak baik senang pula dibuat." Mawaddah menongkat dagu di meja Dr Afnani.

Kening Dr Afnani terjungkit sedikit. Dia menggerakkan tubuhnya ke depan.

"Perkara baik itu berisiko semasa dalam perjalanan menuju ke arah perkara baik itu. Kita mungkin akan rasa letih dan mengalah, tapi disebabkan kita tahu ia benda baik, kita terus berpegang kepada pilihan itu. Untuk perkara buruk pula, risikonya kurang semasa memilih. Memang senang nak pilih benda buruk, tapi susah nak hadapi bahayanya selepas itu. Dalam al-Quran pun ada ayat, 'Bersama kesulitan ada kemudahan'. Kita memang kena lalui kesusahan untuk dapatkan kebaikan."

"Baik dan buruk itu selalu dikaburi dengan perasaan."

"It's always about how we recognize our feelings. Kita takkan tahu cara nak hadapi kalau kita tak kenal perasaan kita."

Mawaddah mengangguk. Dr Afnani pernah bercakap tentang ini suatu ketika dulu. Dia mengerling ke arah gambar keluarga Dr Afnani.

"Ini sebabnya Mawaddah kata tak faham atau tak boleh 'cinta'. Bukan sebab tak boleh, tapi sebab dah tepis perasaan tu awal-awal lagi. Sebab perasaan intense yang mengelirukan itu menakutkan – seperti rasa marah atau sedih. Kita tahu kita sedih atau marah, tapi kita rasa macam sedang buat salah sebab kita tak biasa dengan perasaan itu. Akhirnya kita tidak kenal emosi kita."

Dr Afnani menyambung. "Apabila kita makin dewasa, kita makin banyak belajar tentang kehidupan yang rumit, maka makin sukar kita nak elak semua perasaan. Kita semakin frust dengan diri sebab gagal elak perasaan itu lagi. Kita juga tak tahu cara nak hadapinya juga. Kita rasa tak suka diri sendiri. Sentiasa rasa diri sebagai kegagalan, dan mengecewakan orang lain. Disebabkan itu kita bina dinding, dan cenderung memilih untuk hidup berdikari, duduk bersendiri, sebab kita nampak ikatan perasaan bersama orang lain itu menakutkan. Macam Mawaddah cakap tadi.." Dr Afnani mendepakan tangan ke arah Mawaddah. "Perkara baik itu berisiko."

Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)Where stories live. Discover now