"Saya tak tahu pun Mawaddah ada projek buku baru." Suara Najwan kedengaran tenang. Lembut tapi ada nada mempersoal. Dia mengerling ke arah Mawaddah sekilas. "Wadah tak pernah beritahu saya pun pasal ni."
"Mungkin dia tunggu buku dah siap, baru dia beritahu semua," jawab Iffat. Dia senyum dan berpaling ke arah Mawaddah.
Mawaddah hanya tunduk dan tersenyum tawar mendengar perbualan dua orang lelaki di hadapannya. Jawapan Iffat dibalas dengan anggukan. Sesekali dia tunduk dan memberi isyarat kepada Najah.
"Selalu Wadah beritahu saya dulu apa-apa yang berkaitan dengan bukunya," kata Najwan lirih. Ada bunyi kesal pada suaranya.
Mawaddah tertegun di sebelah. Lantas suasana jadi sepi antara mereka bertiga. Yang tinggal hanyalah bunyi suara orang yang lalu lalang di sekeliling, bunyi loceng penjual ais krim dan bunyi tapak kasut Najah yang menggesel-gesel kakinya pada tanah.
"Maaf, abang. Saya fikir projek ni kecil saja, jadi saya tak nak cerita lagi."
Iffat menghela nafas. "Saya pergi dulu ya. Nak tengok ada makanan apa kat kedai sana."
Iffat beredar tanpa menunggu jawapan balasan daripada Mawaddah dan Najwan. Pergerakannya diekor anak mata Mawaddah.
"Dah lama ke Wadah kenal Iffat?"
Mawaddah membalikkan pandangan ke arah Najwan. Ketika itu dia sedar Najwan memerhatikan setiap pergerakannya tadi. Dia menggeleng. "Tak lama. Baru saja."
Najwan mengangguk.
"Kenapa abang tanya?"
Najwan jungkit bahu seraya mencebik. "Saja tanya."
Mawaddah merenung Najwan sejenak sebelum mengangguk. Dia tahu itu bukan jawapan sebenar Najwan, sebab riak wajah Najwan menunjukkan sebaliknya.
"Kalau Wadah nak balik dulu, tak apa. Abang dan Sarah boleh jaga Najah," kata Najwan, bersegera tukar haluan ke cerita lain. "Najah ok saja, kan?"
Najah mengangguk-angguk ke arah Mawaddah dan Najwan, beria-ia meyakinkan. Dia menarik-narik lengan Najwan, mahu pergi ke permainan yang ada di bahagian dalam bangunan. Dari tadi dia mengajak mereka untuk pergi ke situ.
"Najah ok ke kalau umi balik?" Tanya dia kepada Najah.
Najah angguk lagi.
Tak semena-mena kelibat Maisarah muncul di belakang Najwan. Bahu Najwan ditepuknya. Dia bertukar senyuman dengan Mawaddah. "Dah lama tunggu? Sorry sangat. Tadi orang kedai tu tak jumpa saiz baju untuk abang. Sayang kena tunggu dia pergi ambil kat tempat lain."
Mawaddah tunduk lalu senyum tawar.
Najwan pada mulanya berpura-pura marah, kemudian dia senyum. Jarinya mencari tangan Maisarah. Apabila bertemu, tangan mereka menyatu dan digenggam erat. "Tak apa. Najah ajak pergi ke tempat yang dia nak pergi tadi. Jom?"
Pandangan Mawaddah tertumpu pada tangan Najwan dan Maisarah. Pada waktu itu, dia rasa dia salah kerana menyangka dirinya cukup berlapang dada dengan apa yang berlaku antara mereka. Kakinya terundur setapak. Dia cuba mengekal senyum.
Sungguh, manusia tidak perlu kata-kata yang cekat untuk mencipta pengasingan.
"Wadah, jom?"
Saat kepalanya terangkat, Mawaddah lihat ketiga-tiga orang di hadapannya sedang memandangnya dengan riak wajah pelik. Mawaddah memandang wajah mereka satu persatu. Dahi Maisarah dan Najwan berkerut melihat kebisuannya.
Sakinah betul. Dia patut pulang.
"Tak apalah. Saya tak ikut," katanya akhirnya. Dia menunduk menghadap Najah. "Umi tak ikut ya, Najah. Sorry sebab umi kena balik dulu." Dia lega melihat mood Najah yang tidak terusik dengan keputusannya. Najah mengangguk-angguk dengan ceria. Dia melambai dan mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya. Matanya lebih tertumpu ke arah bangunan yang mereka tujui.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
General Fiction[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...