Tapak tangan Mawaddah memeluk erat cawan latte-nya. Sejak tadi dia duduk membatu sambil menunduk. Hanya apabila salah seorang pekerja kafe berkenaan terlanggar kerusinya, barulah dia mengubah posisi tangannya. Kafe ini tak dikunjungi ramai orang pada waktu ini. Di luar, angin bertiup kuat, menerbangkan plastik-plastik yang terbiar di atas jalan. Pokok-pokok pula terlentok dibawa arah angin. Manusia-manusia yang berada di luar bersegera masuk ke dalam bangunan. Mungkin kerana hari terlampau mendung, maka orang-orang yang bekerja di pejabat tidak mahu ambil risiko terperangkap dalam hujan semasa waktu makan tengah hari.
Kecuali seorang.
"Kau nampak pucat," kata Sahir. Dia mengunyah croissant yang dibelinya dengan berselera. Kakinya disilang perlahan tatkala dia merenung Mawaddah dengan sangsi. Sekali lagi, Mawaddah terperangkap dalam fikirannya sendiri: Apa yang dia nak daripada aku? Kenapa tiba-tiba dia duduk di sini?
Mawaddah sempat melarikan pandangan keluar kafe, ke arah kata-kata yang tertulis di papan LED yang tak dikemas kini sejak dua hari lalu.
"Sahir. Tadi kau kata ada benda yang kau nak cakap dengan aku. Apa dia?"
Sahir tertawa kecil. "Sabarlah dulu. Kita kan baru terjumpa ni."
Mawaddah tak membalas. Mereka berdua diam buat seketika sebelum Sahir menyambung, "Kau buat apa kat sini sorang-sorang, Wadah? Kau selalu datang sini kan?"
"Sebab publisher ada kat sini."
"Bukan sebab Iffat?"
"Kenapa dengan Iffat?" Berkerut dahi Mawaddah. Wajahnya menunjukkan riak tak puas hati.
Sahir bersandar sambil menyedut kopi aisnya. Giliran dia pula yang menunjukkan riak tak puas hati. Dia berpeluk tubuh sebelum menyeluk poket kemejanya yang berwarna biru. Sekeping kad nama dikeluarkan, diletak di atas meja dan ditolak ke arah Mawaddah. "Ini nombor aku." Kemudian dia menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya pula. Dia menekan sesuatu sebelum menunjukkan skrin telefon tersebut ke arah Mawaddah. Mawaddah merenung skrin tersebut selama seminit penuh. Ia paparan mesej Whatsapp daripada Sahir kepada Mawaddah. Semuanya kotak-kotak berwarna hijau yang rapat di sebelah kanan skrin. "Ini pula mesej-mesej daripada aku."
Sahir menyimpan semula telefon bimbitnya.
"Kenapa kau tak pernah balas mesej aku, Wadah?"
Mawaddah menunduk. Dah sampai masa untuk dia bercakap jujur. "Sebab aku tak nak balas."
Sahir ketawa dibuat-buat. Terlalu kuat sehingga semua orang di dalam kafe tersebut memandangnya. "Berlagak."
"Kalau kau dah tak ada apa-apa nak cakap, aku nak balik," gesa Mawaddah. Dia berpura-pura mengemas beg tangannya.
"Kenapa mesej Iffat kau balas pula?"
Mawaddah berasa jengkel. "Apa masalah sebenar kau dengan Iffat? Kalau korang berdua ada masalah, boleh tak jangan libatkan aku?"
"Sebab aku kawan kau. Aku risaukan kau saja."
Mawaddah memutar kembali memori dalam kepalanya. Seingatnya, dia tidak pernah berkawan dengan Sahir. Jika kenalan kerana sekelas dan satu sekolah dipanggil kawan, ya, memang Sahir kawannya. Tapi selain daripada itu, Sahir hanyalah seorang pembuli yang suka menagih perhatian sejak sekolah rendah lagi. Apa yang dia mahukan, dia pasti dapatkannya.
Pernah sekali selepas habis UPSR, Sahir cuba memalukan Mawaddah di depan kawan-kawan mereka. Ia bermula dengan aktiviti kejar-mengejar antara Mawaddah dan seorang pelajar lelaki bernama Azrol, kerana Mawaddah menyembunyikan pemadam Azrol. Setelah Azrol nampak pemadam tersebut dalam tangan Mawaddah, dia mengejar Mawaddah sehingga akhirnya Mawaddah terperangkap di celah ruang kecil antara almari dan dinding kelas. Azrol bercekak pinggang sambil tersengih di luar celah ruang tersebut. Mawaddah turut sama tersengih. Ketika itulah mereka terdengar Sahir melaungkan, "Tengok tu, Azrol dan Mawaddah buat maksiat kat belakang kelas!" Mawaddah gagal mengejar Sahir, lalu dia menekupkan wajahnya di meja. Melihatkan Mawaddah yang menangis teresak-esak, Sahir lebih galak mengejek dan mengusik sehingga terbawa-bawa ke kelas sebelah. Sahir tak pernah sekalipun risaukan orang lain selain dirinya sendiri.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Fiksi Umum[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...