Dia tidak tahu jika dia memandang pemuda yang duduk di hadapannya dengan terlalu kerap. Atau terlalu jelas dia melarikan pandangan. Sebenarnya Mawaddah pun tidak tahu apa yang dia sedang lakukan. Barangkali cuba mengakses fikiran lelaki tersebut melalui riak wajah dan bahasa badannya.
"Iffat, cuba tengok ni." Amalina memusingkan komputer ribanya agar skrinnya menghadap lelaki tersebut. "Inilah contoh kulit buku yang saya bayangkan tu."
Buat seketika, Iffat meneliti skrin komputer tersebut. Sesekali pemuda berusia hujung 20-an itu mengecilkan lagi matanya yang semula jadi kecil serta membetulkan cermin matanya. Mawaddah sejak tadi hanya diam memerhati. Dalam otaknya seperti ada ribut yang melanggar semua logik yang dia pegang. Kepalanya sedang galak memutarkan semula babak-babak yang berlaku dalam bilik temu duga tempoh hari. Cuma kali ini, fokus imbas semula bukan pada watak Sahir, tapi Iffat.
Satu soalan mencucuk-cucuk emosinya.
Iffat akan panggil dia sebagai Cik atau Puan?
"Dah 30 minit kita bincang pasal konsep untuk kulit buku ni, tapi tak selesai-selesai." Keluhan Amalina mematikan lamunan Mawaddah. Amalina ketawa lesu lalu melentokkan kepala ke atas meja. "Sebelum ni, dah 6 cover yang kita tolak. Macam mana ni, Iffat? Kak Mawaddah?"
Mawaddah menahan senyum melihat telatah Amalina.
"Entahlah Amalina. Mungkin kegagalan yang banyak itu sebenarnya pintu untuk satu kejayaan yang sangat besar. Kita kena lalui kegagalan demi kegagalan dulu, kena sesat dulu, baru akhirnya kita nampak jalan dengan jelas." Spontan kata-kata itu keluar dari mulutnya.
Amalina tongkat dagunya atas meja sambil senyum. "Kak Wadah ni kalau bercakap mesti keluar metafora."
"Penulis kan memang macam tu," kata Iffat. Dia memandang tepat ke arah Mawaddah sambil tersenyum. Buat seketika, pandangan mata mereka bertemu dan Mawaddah mula menganalisis setiap bahasa badannya sekali lagi. Tapi masih tidak menemukan apa-apa jawapan.
"Ah, kau pun penulis juga, kan Iffat?" Amalina mencebik.
"Aku penulis kecil."
Amalina masih mencebik.
"Oh, ya. Bila kak Wadah cakap sebut pasal pintu, saya teringat sesuatu." Amalina menegakkan semula badannya dan kembali bersemangat. "Kulit buku ni sebenarnya ialah 'pintu'. Bila buku-buku diedar ke seluruh dunia, semua buku ni terpaksa mempromosikan diri mereka sendiri. Kita yakni penulis dan penerbit tak ada di sana untuk bercerita kepada pembeli tentang buku ni. Itu sebabnya kita kena jadikan buku ni boleh berdikari. Dan untuk membuatkan buku ni berdikari, iaitu membuatkan pembaca beli buku tersebut, buku itu perlu melepasi 4 pintu dengan berjaya. Pintu pertama, kulit buku. Kulit buku yang tersusun di rak kedai buku perlu betul-betul menarik perhatian pembaca dibandingkan dengan ratusan buku lain di kedai yang sama. Pintu kedua-"
Amalina berhenti bercakap kerana terbatuk kecil.
"Let me guess. Tajuk buku. Betul, Amalina?" Sampuk Iffat. Designer muda itu mengacukan jari telunjuknya ke arah Amalina. Kemudian, pandangan matanya melompat-lompat antara Amalina dan Mawaddah, meminta pengesahan. Mawaddah jungkit bahu.
"Betul," balas Amalina. Dia berdehem untuk melancarkan tekaknya. "Tajuk buku. Tajuk dan kulit buku mesti betul-betul menarik sehingga buat pembaca rasa nak pegang buku tu. Kemudian, apabila dia pegang buku tu, barulah masuk ke langkah seterusnya, iaitu apabila pembaca pusing buku tersebut untuk melihat bahagian belakang. Inilah pintu ketiga, blurb buku.."
Melihatkan Mawaddah dan Iffat yang mengangguk-angguk sejak tadi, Amalina jadi ragu-ragu memanjangkan penjelasannya. Mungkin baginya dua orang di hadapannya seperti sudah cukup memahami akan hal yang dia baru ceritakan tadi.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
General Fiction[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...