Hari itu hari Sabtu ketika ayah pulang lewat daripada kerja. Mawaddah masih ingat hari itu, apabila dia melihat seluruh wajah dan baju ayah basah dengan keringat ketika dia berdiri di muka pintu. Pun begitu, Mawaddah dan Sakinah menyambut kepulangannya dengan teriakan dari jauh, disertai pelukan hangat –buat dua saat kerana mereka baru sedar badan ayah berbau busuk ikan masin dari pasar malam."Eeeee... Ayah busuk!" Jerit Sakinah sambil memicit hidung sendiri. Ayah sengaja mengangkat lengannya tinggi-tinggi untuk menyakitkan lagi hati Sakinah. Mereka bertiga ketawa berdekah-dekah.
"Mak mana?" Ayah menjenguk ke dalam sambil menanggalkan but getahnya.
"Mak tidur," balas Mawaddah. "Maaaaakkk!"
"Shush!" Ayah menekup mulut Mawaddah. "Jangan kacau mak. Biar mak tidur."
"Eeee tangan ayah busuklah!" Mawaddah menepis tangan ayah. "Iyek. Bau ikan pekasam!"
"Pekasamlah sedap. Nah, bau ketiak ayah. Lagi sedap, bau macam ayam goreng."
Mawaddah dan Sakinah lari bertempiaran ke arah bilik mereka sambil menjerit ketakutan. Ayah cuma ketawa melihat gelagat anak-anak kesayangannya.
Sejam kemudian ayah menjenguk ke arah bilik Mawaddah. Jam sudah pun menunjukkan pukul 12 tengah malam. Sakinah sudah lentok di atas tilam. Mawaddah pula sedang tekun menulis di meja jepun kecil di tepi katil. Menyedari ayah sedang memerhatikannya sejak tadi, dia melempar sengih antara malu dan takut. Takut dimarahi kerana masih belum tidur.
"Wadah buat apa tu?" Tegur ayah. Dia melabuhkan duduk di sebelah Mawaddah.
"Buat kerja sekolah, ayah."
"Baru nak buat?"
Mawaddah menunduk. "Wadah lupa tadi."
Perbualan mereka terganggu dengan suara Sakinah yang sedang mengigau tentang melarikan diri sebab tak mahu makan kobis.
Ayah menyentuh ubun-ubun Mawaddah. "Tak apalah. Siapkan cepat-cepat. Lepas tu terus tidur. Paling lewat pukul 12.30, faham?"
"Baik, ayah."
Ayah menunggu sehingga Mawaddah selesai menyiapkan satu muka surat kerja sekolah Matematiknya. Mawaddah mengangkat muka sekali sekala dan mereka membalas senyuman, tapi sekarang ini apabila dia memanggil nama ayahnya berkali-kali, ayah langsung tidak membalas. Dia merenung meja. Fikiran ayah berada di tempat lain.
"Ya, apa dia Wadah?" Akhirnya ayah tersedar lalu memberi perhatian. Senyumannya dipaksa-paksa.
"Wadah panggil ayah banyak kali. Ayah tak dengar pun?"
Ayah mengelus perlahan rambut Mawaddah. Buat seketika perhatian mereka teralih pada seekor gegat yang muncul entah dari mana. Gegat itu akhirnya bersembunyi di celah-celah helaian buku teks Matematik Mawaddah.
Semasa Mawaddah sibuk mengetuk-ngetuk buku teksnya itu, ayah berkata perlahan, "Ayah tak dengar Wadah panggil tadi sebab ayah teringat pasal pasar malam."
"Apa jadi kat pasar malam tadi?" Balasnya tanpa teragak-agak.
"Hmm.. tak ada apa-apalah."
Mawaddah mengherotkan bibir.
Dia tak mengetahui apa yang berlaku kepada perniagaan ayah sehinggalah pada beberapa bulan kemudian, dia terdengar mak memarahi ayah kerana jualan ikannya semakin teruk. Mak kata, ayah tak pandai berniaga. Mungkin betul, sebab mak kata ayah belajar sampai SPM saja.
"Eh, ni pensel baru ke? Mak beli?" Ayah tidak jadi bangkit lalu membetulkan kain pelikatnya. Pensel yang dipegang Mawaddah dibeleknya dengan kagum.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
General Fiction[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...