Mawaddah menatap wajah pemuda yang duduk di hadapan dengan penuh tanda tanya. Dia sedaya upaya menyelindungkan rasa terkejut dan getar.
Ada sesuatu yang tidak kena, fikirnya. Sesuatu yang sangat tidak kena.
Dia menunggu sehingga Amalina selesai makan dan bangun ke arah singki.
"Iffat," katanya.
"Ya?" Iffat mendongak. Suapannya terhenti.
Pensel mekanikal hijau yang dia letak di atas meja makan itu dikerling. Rupanya memang saling tak tumpah seperti pensel milik Hazlan yang dihadiahkan kepadanya dulu.
Ada ratusan soalan yang menerjah ke dalam fikiran, tapi akhirnya soalan yang ditanya adalah, "Dari mana awak dapat pensel ni?"
Iffat menguntum senyum. Dia seperti sudah menjangkakan semua reaksi Mawaddah.
"Milik saya."
Mawaddah menahan nafas. Iffat lihat wajahnya bertukar warna. Pucat. Cepat-cepat Iffat menyambung. "Tapi sebelum itu ia milik kawan baik saya."
"Nama dia Hazlan?"
Iffat senyum tawar seraya mengangguk.
"Betul. Dia beri pensel ni pada saya."
"Jadi, awak kenal saya dari awal lagi?"
"Betul."
Iffat mengangguk resah. Dia diam seketika sebelum menyambung. "Saya memang nak beritahu hal ni pada Mawaddah."
Sekali lagi, soalan-soalan menerjah dalam kepada Mawaddah, tapi dia hanya diam dan bersandar perlahan-lahan.
"Hazlan kawan baik saya, sejak sekolah menengah dulu, sampai universiti. Selama ni saya memang cuba nak beritahu Mawaddah pasal ni, tapi... tak jumpa masa yang sesuai. Sebenarnya... saya sendiri tak sangka saya akan jumpa semula Mawaddah masa temu duga dulu tu."
Kening Mawaddah terjungkit spontan tatkala dia mendengar perkataan 'semula'. Iffat sudah lama kenal dia. Dia pula rasa yang dia langsung tidak kenal Iffat.
Selama ini, dia kira Hazlan tahu dia ada di mana, tapi Hazlan langsung tidak datang untuk berjumpa dengannya, atau sekurang-kurangnya cuba menghubungi. Segala apa yang Hazlan biarkan berlaku padanya hampir 20 tahun lalu, adakah ia tidak mengganggu minda walau sekelumit?
Mawaddah membelek semula pensel mekanikal hijau di depannya. Dia tidak pandang Iffat ketika dia berkata dengan nada marah, "Mesti banyak yang Hazlan dah cerita pasal saya."
Iffat kelihatan terkejut. Keningnya berkerut. "Sebenarnya bukan macam tu."
Mawaddah tersenyum sinis. Hazlan bercerita tentang dirinya pada Iffat. Dan kalau sekecil-kecil kisah pensel mekanikal pun Hazlan ceritakan, pasti Iffat juga tahu tentang suatu kisah besar yang pernah terjadi antara Mawaddah dan Hazlan dulu.
"Dia ada ceritakan juga pada awak tentang apa yang saya buat pada dia dulu?"
Iffat terkedu. "Buat apa...??"
"Yang saya cabul dia? Dia tak cerita?" Mawaddah senyum sinis lagi.
Iffat terdiam.
Reaksi Iffat membuatkan Mawaddah tertawa sinis. Iffat memang tidak pandai berbohong, walaupun dia sedaya upaya berlakon terkejut dan berpura-pura dia pertama kali mendengar tentang perkara itu.
"You knew," bisiknya, penuh kecewa.
Mawaddah tersenyum mengenangkan betapa bodohnya dia selama ini.
Dia sentiasa tunggu Hazlan. Sehingga hari ini, dia tunggu Hazlan datang untuk menyelamatkannya. Hanya kebenaran daripada Hazlan yang boleh mengubah hidupnya. Namun sebaliknya Hazlan hidup seperti biasa. Bahkan dia mampu bercerita kepada semua orang tentang Mawaddah tanpa ada rasa bersalah atau bertanggungjawab untuk betulkan keadaan.
![](https://img.wattpad.com/cover/199796338-288-k97623.jpg)
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Fiction générale[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...