13. Pertemuan

751 76 9
                                    

Malam sudah benar-benar gelap. Bila ditenung ke arah langit, langit seakan-akan tidak mahu berbicara semula dengan manusia. Ia tidak mahu memberi sebarang jawapan. Ia enggan memberikan sebarang ilham.

Mawaddah kalih badannya menghadap dinding bilik. Bayang-bayang tirai biliknya beralun mengikut gerakan asalnya, seolah-olah sedang menari bagi menghiburkan hatinya. Dia mencapai telefonnya yang tiba-tiba berbunyi.

Mesej daripada Amalina.

'Kak Wadah ok?'

'Saya ok, Amalina. Kan dah banyak kali saya cakap yang saya ok,' balasnya diikuti emoji senyum.

Tidak lama kemudian, ada satu lagi mesej yang masuk.

'Bukan apa. Si Iffat ni asyik tanya sama ada kak Wadah ok ke tak.'

Dahi Mawaddah berkerut. Dia tidak balas mesej tersebut. Telefonnya diletakkan di sisi. Tak lama selepas itu, notifikasi mesej berbunyi lagi.

'Dia risau betul pasal akak sejak siang tadi.'

Mawaddah meletakkan semula telefonnya di atas meja. Dia merehatkan lengannya di atas dahi. Hatinya diterjah suatu perasaan yang dia sendiri takuti. Lagi jauh dia cuba membuangnya, lagi kerap perasaan itu menyerbu jiwanya.

"Sebenarnya, saya ikhlas." Kata-kata Iffat semasa mereka bercakap di tempat letak kereta tempoh hari terngiang-ngiang di telinganya.

'Saya demam sikit, Amalina. Tapi saya ok. Terima kasih sebab ambil berat,' balas Mawaddah akhirnya. Telefonnya dicampak perlahan di atas tilam.

Dia bangun dan mendapatkan segelas air di dapur. Sakinah tidak ada malam ini. Dah beberapa hari Sakinah tidak bercakap dengannya. Mungkin sibuk dengan dunia sendiri. Mawaddah duduk di ruang tamu dan cuba menonton berita di televisyen.

'Bukan sebab Iffat?' Pertanyaan Sahir bermain-main dalam fikirannya.

Mawaddah memeluk kakinya sambil merenung televisyen yang terpasang. Dia harap, dia hanya salah sangka. Tak ada sebab untuk Iffat sukakannya. Hidupnya menyedihkan, Iffat pun tahu akan hal itu itu. Lagipun, Iffat berada di tempat kejadian semasa dia dimalukan oleh Sahir. Dua kali Iffat bantu Mawaddah daripada Sahir.

"Perasaan saja ni," bisiknya.

Barangkali dia hanya salah faham, barangkali semua orang pun salah faham, doanya dalam hati.

***

Hanya dengan berdiri di antara rak-rak buku sudah cukup untuk menggembirakan Mawaddah. Sejak kecil dia selalu membayangkan dirinya memiliki sebuah perpustakaan besar yang menyimpan ribuan buah buku, sehingga dia perlu memanjat tangga untuk mengambil buku di rak atas. Pencahayaan dalam perpustakaan itu pula mesti menggunakan lilin sepenuhnya, tidak boleh menggunakan lampu. Begitu impian Mawaddah semasa kecil, sehinggalah Sakinah menyuruhnya membayangkan situasi jika lilin itu terbalik dan membakar seluruh perpustakaan.

Mawaddah membelek sebuah buku di rak ekspo buku berkenaan. Novel yang baru terbit.

"Beli buku apa tu?" Suatu suara menyapa dari belakang.

Mawaddah menoleh. Serta-merta segala sendi badannya terasa longlai apabila terlihat kelibat lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Iffat tersenyum sambil mengangguk ringkas, tanda menyapa Mawaddah. Mawaddah membalas senyuman dengan kekok.

Takdir memang suka mempersendakan manusia. Dikala kita nak mengelak, ketika itulah dia semakin nak mengacah.

"Tengok-tengok saja," balas Mawaddah. Dia memandang Iffat sekilas sebelum melarikan pandangan ke arah buku-buku yang tersusun. Sebuah novel seram diambil dan dibeleknya. Iffat mengambil buku di sebelahnya dengan judul yang sama.

Kepala Mawaddah ligat berfikir tentang apa yang patut dibual. Sesungguhnya, kalau lelaki itu ungkit peristiwa Mawaddah berhujan tu, Mawaddah berani jamin yang Iffat tak akan dapat jumpa dia selama setahun, atau dua, sampai rasa malunya hilang.

"Baca cerita hantu ke?" Iffat cuba memulakan perbualan lagi.

"Tak," balasnya ringkas. "Saya tengah fikir, apa yang membuatkan pembaca suka baca buku-buku seram berbanding genre lain...?"

"Sebab mereka membaca untuk escape-lah kan?" Jawab Iffat, pantas.

Mawaddah mengerutkan dahi. "Tapi kenapa cerita hantu? Adakah sebab cerita hantu lebih santai, tak terlalu beri beban dan tanggungjawab kepada pembaca?"

Iffat jungkit kening, lalu membelek buku yang dipegangnya. Cuba mencari jawapan di situ. Telatah Iffat yang bersungguh membuatkan tawa Mawaddah hampir tersembur.

"Mungkin awak tak akan jumpa jawapannya kat situ, Iffat."

Iffat masih merenung buku yang dipegangnya, dan renungannya itu macam boleh tembus ke tempat lain.

'Dah kenapa nak kena serius sangat?' Getus hati Mawaddah. Senyumnya ditahan. Dia memandang Iffat, menunggunya mengatakan sesuatu. Tapi lama juga Iffat tenggelam dalam dunianya. Dan tak semena-mena tempat itu dipenuhi ramai orang. Akhirnya Mawaddah beralih ke rak buku bersebelahan untuk memberi ruang kepada pengunjung lain meneliti rak tersebut. Ketika itu barulah Iffat datang ke arahnya semula.

"Mungkin ke sebab pembaca nak escape dengan suatu emosi yang intense?" Duga Iffat. "Maksudnya, tema seram membuatkan mereka betul-betul boleh keluar daripada realiti, dan alami emosi kuat yang jarang-jarang mereka guna dalam kehidupan sebenar."

"Emosi apa?" Tanya Mawaddah.

"Ketakutan."

"Tapi, bukan ke semua orang rasa saja perasaan takut tu setiap hari?"

Iffat meletakkan semula buku yang dipegangnya di tempatnya di atas rak. "Itu takut lain. Takut gagal, takut masa depan...semuanya takut pada benda abstrak. Cerita seram bawa ketakutan manusia pada benda yang konkrit. Takut pada suatu benda fizikal, pada jasad, pada entiti." Dia menggeleng. "Tapi ini cuma teori sayalah."

"Teori yang menarik," balas Mawaddah dengan kagum. "Sebenarnya, dah lama saya fikir tentang perkara ni, tapi tak tahu apa jawapannya. Teori awak ni, Iffat, sangat membantu."

"Fiction is all about emotions. Kalau nak fokus pada ilmu dan fakta, lebih baik pembaca baca buku non-fiction, kan?"

Mawaddah tercebik sambil mengangguk-angguk kagum.

"Tahu tak," ujar Iffat, perlahan, tapi bersemangat. "Buku fiksyen yang banyak mengubah saya, terutamanya masa saya belajar di universiti dulu."

"Betul ke? Buku apa yang-"

"Rahsia," sampuk Iffat, sambil menghias kekoknya dengan tersengih.

Mawaddah tercebik lagi, lalu ketawa sendirian.

"Bagi saya, penulis ialah anugerah yang Tuhan turunkan untuk manusia."

Mawaddah terkesima mendengar kata-kata tersebut. Dia memandang wajah Iffat yang sedang khusyuk membelek buku lain yang dipegangnya. Buat pertama kalinya, Mawaddah terasa dia sedang memandang wajah seseorang dengan betul-betul memandang, seolah-olah selama ini dia tidak pernah memandang wajah manusia lain lebih daripada satu saat. Kecuali Najah.

Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)Where stories live. Discover now