"Jiha, cinta tu apa?" Mawaddah mengetuk-ngetuk pensel 2B pada permukaan buku. Dia mengelap peluh di dahi menggunakan hujung lengan baju pendidikan jasmaninya.
"Ciee. Cinta pula dah," ejek Jiha yang duduk di meja sebelah. Dia memuncung ke arah depan. "Tanyalah Hazlan tu."
"Diamlah. Aku tanya betul-betul ni!" Suara Mawaddah menyaring. Pipinya tak semena-mena merona merah.
"Cikgu ada suruh buat kerja sekolah pasal cinta juga?" Tanya Jiha malas-malas. Dia sibuk melekatkan sticker Sailor Moon pada buku biodatanya.
Mawaddah menyandar pada kerusi. Ditenungnya pelajar-pelajar lelaki yang saling berlawan baling kapur tulis di hadapan kelas.
"Tak, cikgu tak suruh. Tapi kan Cikgu Mahathir suruh tulis sajak bertajuk 'Cintai Ibu'? Sajalah aku terfikir... cinta tu apa. Sebab aku nak tulis dalam sajak aku ni."
Jiha mencebik seraya menjungkit bahu. "Tulis sajalah perasaan kau pada mak kau. Cinta tu macam kasih sayang."
"Sama?"
"..."
"Macam sinonim yang cikgu ajar tu? Cinta, sinonimnya kasih sayang?"
"Yalah kut." Jiha jungkit bahu lagi. "Alah, kau ni Wadah, tak payahlah fikir susah-susah. Tulis saja apa perasaan kau pada mak kau. Kalau susah sangat, tanya mak kau macam mana nak buat. Mak kau kan cikgu."
Mawaddah menongkat dagu sambil memandang ke arah Jiha yang berjalan meninggalkannya. Otak berusia 12 tahun itu tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut.
Dia sayangkan mak, bahkan melebihi perasaannya terhadap semua manusia yang ada di dunia. Tapi, adakah perasaan sayangnya itu adalah cinta?
Cinta itu apa sebenarnya?
***
"Kenapa awak masih ada dekat sini?" Tanya Mawaddah.
Iffat yang sedang duduk di bahu jalan terdongak memandangnya. Juga terkejut. Dia bingkas bangun.
"Mawaddah, kenapa..." Dia tidak menghabiskan ayat, malah menoleh dengan hairan ke arah kiri dan kanan. Dahinya berkerut. Pasti hairan melihat Mawaddah yang keluar semula dari stesen MRT.
Bagaikan patung, kedua-duanya kaku kerana menunggu penjelasan masing-masing.
"Saya pergi dulu," kata Mawaddah akhirnya. Dia berundur dengan teragak-agak, kalau-kalau Iffat ingin mengucapkan sesuatu.
"Kenapa, Mawaddah? Ada sesuatu berlaku ke?" Tanya Iffat. Telatahnya kekok dan segan seolah-olah baru tertangkap melakukan kesalahan.
"Saya kena pergi ke suatu tempat. Ada kecemasan."
"Apa yang berlaku?" Soalan Iffat menahan Mawaddah daripada mengatur langkah sekali lagi.
"Tak ada apa-apa. Cuma anak saya demam."
"Dia ada dekat mana?" Tanya Iffat lagi.
"Hospital."
"Hospital?"
"Ya."
Iffat diam seketika sebelum menyambung. "Jadi, Mawaddah nak pergi hospitallah, ni?"
"Ya."
"Naik apa?"
"Saya nak tempah Grabcar. Dekat sini tak dapat. Saya nak cuba di depan sana."
Mawaddah memerhati Iffat yang merenung ke arah yang ditunjukkannya. Di sebelah sana, lampu-lampu jalan dan lampu papan iklan mula dinyalakan, meriah, membuktikan yang kawasan sana lebih sibuk dengan pengunjung. Sedangkan pencahayaan kawasan ini lebih suram kerana ia kawasan bangunan pejabat.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
General Fiction[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...