Loceng berdering nyaring.
Gemanya beralun ke seluruh kawasan sekolah. Kanak-kanak berbaju putih mula keluar dari pelbagai tempat, bagai serangga yang diganggu sarangnya, ke arah tapak perhimpunan di sebelah kantin sekolah. Semua orang bergegas pada waktu itu, kecuali seseorang yang masih duduk di dalam kereta.
Tangannya menyentuh pemegang pintu kereta. Tapi sekejap-sekejap tangannya diturunkan semula. Dia mengintai keluar dan menunduk silih berganti. Keadaannya serba tak kena. Duduknya tidak diam. Wajahnya kering.
"Tunggu apa lagi, Wadah. Cepatlah pergi perhimpunan," marah mak. Dia duduk di tempat pemandu, sedang menukar seliparnya kepada kasut tumit tinggi. Rutin mak setiap kali kereta siap diparkir di tempat letak kereta guru.
Mawaddah diam. Dia tahu mak sedang merenungnya kehairanan. Dia tidak mahu pandang wajah mak.
"Cepatlah." Mak mencubit lengannya. "Kenapa mengada-ada sangat ni?"
Mawaddah akur tanpa sebarang protes. Dia berjalan perlahan-lahan ke kantin dan meletakkan beg galasnya di situ. Kemudian langkah diatur seperlahan mungkin ke arah kawan-kawannya yang sedang beratur. Matanya sempat menjeling ke arah kaki lima yang menyambungkan bangunan belakang dengan kantin. Lantainya sudah dibersihkan daripada kesan darah Mawaddah. Semuanya balik seperti sediakala selepas dua minggu, seperti tidak ada apa-apa yang pernah berlaku.
Mata Mawaddah meliar, mencari-cari kelibat seorang manusia. Sekejap Mawaddah menjeling ke arah pintu kelas pemulihan di tingkat tiga, sekejap dia menoleh ke arah lorong menuju ke arah surau, sekejap dia berpaling mendadak ke arah belakang. Dia terasa seperti diperhatikan oleh seseorang, tetapi tiada sesiapa yang berada di kawasan tersebut.
"Wadah demam. Hazlan demam. Semua orang demam." Suara kawan-kawannya yang sedang berbual sampai ke gegendang telinganya. Lalu dia terpancing untuk mencari di mana Hazlan. Matanya meneliti setiap pelajar lelaki yang beratur di depan.
Ada.
Hazlan beratur di tengah-tengah barisan. Tapi tidak seperti pelajar lain, Hazlan hanya berdiri setempat. Dia tidak ligat seperti telatah kebiasaan kanak-kanak. Dari belakang, Mawaddah nampak kepala Hazlan hanya tertunduk sepanjang waktu perhimpunan. Dia langsung tidak bertepuk tangan ketika pengumuman cuti, dan tidak juga menyanyi ketika lagu sekolah didendangkan.
Semasa di dalam kelas, Hazlan juga tidak bercakap dengan sesiapa. Tadi sewaktu Hazlan sedar yang Mawaddah datang ke sekolah pada hari ini, dia terpaku. Dia pandang Mawaddah dari jauh. Kemudian terus mengelakkan diri.
Mawaddah tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya, tapi dia tidak dapat mengelak daripada memerhatikan Hazlan sepanjang masa, terutamanya semasa mak sedang mengajar di depan. Hazlan, sama seperti tadi, hanya menunduk. Selalunya kalau begini, mana-mana guru pasti akan menegur Hazlan kerana tak beri perhatian dalam kelas. Tapi mak hanya membiarkan Hazlan. Bahkan, mak langsung tidak pandang ke arah Hazlan.
Seperti sekolah ini, semuanya seperti tidak pernah berlaku bagi mak. Mak mengajar seperti biasa. Ketawa seperti biasa. Bersuara garang seperti biasa.
Dunia masih berjalan. Jam terus berdetik. Masa tidak berhenti untuk beri perhatian pada Hazlan dan Mawaddah. Barangkali dunia juga tidak sedar yang mak tidak lagi memanggil Hazlan untuk bawakan buku-bukunya ke bilik guru.
***
Sememangnya dunia masih tidak akan berhenti, kerana Mawaddah tidak sedar bahawa peperiksaan besar dalam hidupnya baru saja berakhir. Para pelajar tahun enam melompat kegembiraan di luar dewan, bagi meraikan peperiksaan UPSR yang baru saja berakhir. Masing-masing berkumpul dan berbual di suatu tempat, termasuk ibu bapa, seolah-olah sengaja melambatkan langkah untuk keluar dari perkarangan sekolah berkenaan.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Ficção Geral[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...