33. Tetamu Kecil

593 66 7
                                    

Mestilah!

Mawaddah menyemak semula mesej terakhir kepada Maisarah yang dihantarnya beberapa minit lalu. Tiada balasan. Setelah pasti yang itu penamat perbualan mereka, dia padam skrin telefon. Siling rendah di dalam ruang loteng berkenaan direnung.

Dia terfikir tentang masa depannya. Dia tidak tahu kalau-kalau dia boleh terus hidup begini. Menutup hidupnya daripada dunia luar selama setahun, menukar nombor telefon dan berpindah ke tempat lain, semuanya bagai memulakan hidup baru.

Apabila dia sedar dia tidak boleh berpisah dengan Najah, dia mengatur hidupnya agar lebih dekat dengan anaknya, tapi perasaan kosong itu tetap ada. Dia masih rasa ada yang kurang. Seperti ada yang tidak selesai.

Dia menoleh sekilas ke arah Najah yang lena tidur. Buktinya seperti sekarang. Najah ada di sini.

"Kenapa masih rasa ada yang kurang...?"

Mawaddah bangkit dari katil dan turun ke tingkat bawah. Dia ingin tunaikan solat duha. Barangkali dia sudah lama tidak bercakap dengan Allah, dan lompong itu ada kerana hatinya jauh daripada Tuhan. Dia pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Usai solat, Mawaddah panjatkan doa dan mengadu tentang segala resah dan ketakutannya. Dia juga bercerita tentang rasa kurang yang dialami, dengan harapan Tuhan akan mengisi kekurangan itu dengan rahmat-Nya, atau memberi petunjuk kepadanya tentang kekurangan itu untuk dia berusaha melengkapkannya.

Ia mudah jika kita tahu apa yang hilang, sebab kita boleh cari penggantinya.

Ibarat pesakit yang tidak tahu simptom dan tempat sakitnya, tapi dia tahu dia sakit – bagaimana dia boleh menjelaskan kepada doktor supaya doktor dapat merawatnya? Begitulah Mawaddah. Dia rasa kekosongan, tapi dia tidak tahu di mana dan apa sebabnya.

"Betul ke apa yang aku buat selama ni? Adakah aku sedang memulakan hidup baru, atau melarikan diri daripada hidup yang lama? Tak bolehkah dua-duanya berlaku serentak?" Bisiknya kepada diri sendiri.

Mawaddah menyarungkan tudung dan melangkah keluar dari kotej. Di depan kotej tersebut, ada beranda kecil yang dibina seperti pangkin. Dia duduk bersila di atas beranda kayu itu. Kedua-dua tangan ditongkat ke belakang. Kepala didongak ke langit. Matahari tidak terik pada waktu ini.

"Apa lagi yang kau nak dalam hidup ni?" Dia berbisik kepada langit, tetapi sebenarnya ditujukan kepada diri sendiri. "Bukankah kau ada Najah? Kau ada kerja. Ada mak. Kenapa kau tak bersyukur?"

Bunyi pintu but kereta ditutup mengejutkannya daripada lamunan. Mata Mawaddah tertumpu ke arah kereta Bezza putih milik penginap yang baru tiba tadi. Di sebalik pokok bunga besar, ada dua pasang kaki yang berseluar jeans berjalan melalui hadapan kotejnya sambil membimbit beg. Mawaddah bercadang nak menyapa jika orang yang pertama lalu adalah seorang wanita. Dia menunggu sambil memasang senyuman.

Ketika pandangannya tidak lagi terhalang, ternampak akannya kelibat orang pertama yang lalu. Seorang lelaki, diikuti seorang wanita. Sedang berbual dan bergurau. Si lelaki tiba-tiba menoleh ke arah Mawaddah.

Melihatkan wajah lelaki itu, Mawaddah terasa masa seolah-olah terhenti. Sama seperti langkah lelaki tersebut. Mawaddah dapat merasakan senyumannya pudar secara spontan. Bibirnya terbuka. Pandangan mereka bertemu.

Sepi.

"Kenapa, abang?" Wanita yang berjalan di belakang berhenti dan menoleh ke arah mereka berkali-kali. Ketika itu, barulah si lelaki beralih pandangan daripada Mawaddah.

"Tak ada apa. Kawan abang." Suaranya perlahan tapi cukup untuk didengari Mawaddah.

Mawaddah memerhatikan telatah pasangan di depannya sehingga dia terlupa apa yang dia perlu ucapkan. Dia benar-benar terkedu.

Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)Where stories live. Discover now