31. Pulih

572 67 7
                                    

Pada saat hati kita tersihir dengan perasaan, kita hanya nampak apa yang perasaan kita mahu lihat.

Adakah kita kejam jika masih berdendam?

Adakah kita perlu melepaskan hanya kerana mereka menyesal?

Adakah semuanya akan pulih dengan hanya memaafkan?

Wadah takut nak percaya manusia, sebab mak.

Wadah takut nak sayang manusia, sebab mak.

Wadah tak pernah faham erti cinta, sebab mak khianatinya sejak mula.

Adakah dunia akan berputar balik ke belakang, jika dia memaafkan?

Dia terdengar daun pintu bilik terkuak perlahan. Segera dia pejamkan mata dan berpura-pura tidur. Dia tahu malam masih muda, sebab dia langsung tak dapat lelapkan mata sejak tadi. Ayam jantan beradu kokok di luar, sayup-sayup, tapi belum terdengar suara azan berkumandang. Barangkali, waktu sekarang antara 4 ke 5 pagi.

Krrieekk!

Bunyi desah nafas manusia mendekat. Katil dua tingkat bergoyang dan berkeriut kasar setelah dihenyak sesuatu – seseorang duduk di belakang Mawaddah. Mawaddah tahu itu mak. Dalam pencahayaan yang samar, dia khuatir mak akan tahu yang dia masih jaga. Mujur dia baring menghadap dinding.

"Mak minta maaf, Wadah," kata mak. Suara mak serak dan lirih.

Mawaddah tidak memberi respons. Dia berusaha menenangkan alun nafasnya, dan berusaha memejamkan mata.

Mak menghela nafas panjang sebelum menyambung, "Mak benci dengan apa yang mak buat. Mak cuba lupakan apa yang berlaku. Mak jauhkan diri daripada peristiwa tu. Tapi mak tak sedar yang ia takkan ubah hakikat yang benda tu tetap berlaku. Mak lupa yang ia tak sama untuk Wadah. Mak betul-betul minta maaf."

Mawaddah tercebik menahan tangis. Air mata dan hidung sudah membasahkan bantal, tapi dia seboleh-bolehnya tidak mahu mak tahu. Dia tak tahu apa yang patut dia lakukan.

Tatkala dia nampak mak peluk gambar ayah tadi, baru dia sedar yang selama ini mak rasa sangat bersalah. Paling rasa bersalah pada ayah. Dan ia bukan pura-pura.

Berdosakah dia sebab mak minta maaf kepadanya? Berdosakah dia kerana dia rasa lega bila mak minta maaf? Dia rasa dia lebih tinggi dari mak. Dia rasa bersalah.

Walau macam mana pun, dia tetap tak tahu, adakah semuanya akan pulih dengan hanya memaafkan?

"Mak tahu.. kesalahan mak besar. Susah untuk Wadah maafkan mak. Wadah marahlah mak. Mak dah tua. Kalau mak bawa dosa mak ni masuk kubur, mak tak boleh cium bau syurga."

Fikiran Mawaddah yang bercelaru bagaikan terhenti, sunyi, setelah terdengar perkataan terakhir mak.

Syurga.

Semua orang mengimpikan syurga. Yang baik mengimpikan syurga. Yang berdosa juga mengimpikan syurga. Yang telah dizalimi dan yang pernah menzalimi pun menginginkan syurga.

Dia sendiri paling mendambakan syurga, sampai dia rasa dia tidak layak untuknya. Dia kata dia sanggup masuk neraka demi mak, walhal itu hanyalah manifestasi kata-kata orang yang terluka. Semuanya kerana dia juga mengimpikan syurga.

"Mak minta maaf, Wadah. Mak berdosa."

Kemudian, mak diam. Lama. Dia juga tidak berganjak dari situ. Barangkali dia menunggu dia Mawaddah akan mengatakan sesuatu. Atau sebenarnya dia sebenarnya memang percaya yang Mawaddah sedang tidur.

Dalam masa yang sama, Mawaddah bersungguh menahan sedu. Sekali lagi, dia berpura-pura tidak mendengar apa yang sudah didengar. Dia cuba menepis perasaannya lagi. Dan selepas ini dia pasti akan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku, sedangkan apa yang berlaku memang berlaku.

Melarikan diri daripada masalah memang lebih mudah daripada menghadapinya. Dia sedar yang selamanya dia tidak akan bahagia begitu.

Krieeek!

Tak semena-mena katil bergoyang diikuti bunyi keriang-keriutnya. Mak sedang bangkit. Tapi belum sempat mak betul-betul mengangkat punggungnya, Mawaddah terlebih dahulu berpusing dan memeluk pinggangnya. Wajahnya disembam pada belakang mak. Tangisnya pecah bagai anak kecil kerana sekian lama menahan sebak.

"Mak..."

Mak membalas rangkulannya. Kini, mulut mak menyebut-nyebut nama Mawaddah, berkali-kali, bagaikan sebuah zikir yang memujuk.

Pada momen itu, Mawaddah terasa beban di dadanya terangkat. Sedikit demi sedikit, ia hilang.

Memang, dunia tidak akan berputar balik ke belakang jika kita memaafkan. Disebabkan ia takkan berputar baliklah kita harus melepaskan dan terus pandang ke depan.

Adakah semuanya akan pulih dengan hanya memaafkan? Jawapannya, tidak. Semuanya takkan pulih dengan hanya dengan memaafkan. Tapi hati manusia pulih.

Hatinya pulih.

***

"Betul, Amalina. Saya baru habis temu duga tadi. Penat tau." Mawaddah ketawa. Beg tangan dan failnya dipeluk supaya tidak tersangkut pada tubuh orang-orang yang berselisih dengannya. Suasana di pintu tren tegang sekonyong-konyong ia berhenti. Orang yang keluar dan yang ingin masuk bagai ingin berperang di pintu. "Jauh. Bukannya saya tak nak jumpa dengan awak."

"Kak Wadah pergi temu duga apa lagi...? Itulah, dari hari tu saya dah cakap, kerja dengan kami saja. Tak payah susah-susah pergi temu duga apa semua."

Mawaddah diam. Lagi-lagi Amalina dengan gurauannya.

"Awak nak suruh saya jadi apa dekat sana? Model kulit buku ke?" Mawaddah ketawa lagi. Gurauan dibalas gurauan.

"Saya seriuslah, kak. Bos saya yang nak saya lamar akak tau."

Mawaddah diam. Lepas tu kena jumpa Iffat selalu. Memang taklah..

"Saya tak ada kelayakan nak kerja dalam bidang penerbitan, Amalina." Itu antara ayat terakhir Mawaddah sebelum mereka mematikan panggilan. Sudah tentulah, itu cuma alasan.

Dia mahu fokus membina hidup baru. Ini termasuklah melepaskan terus semua benda yang akan mengganggu fokusnya – masa lalu dan masalah perasaan.

Apa perkara yang harus kita hadapi untuk selesaikan. Ada perkara yang lebih baik dielak selama-lamanya sebagai penyelesaian, kerana kalau kita hadapinya, kita akan mencipta masalah lain yang belum ada. Antara perkara yang perlu Mawaddah hadapi ialah Najwan dan Maisarah. Dan perkara yang perlu dia elak, Iffat.

Seminggu selepas temu duga itu, Mawaddah menerima panggilan daripada nombor telefon berkepala '03'. Nombor pejabat. Mawaddah menjawab tanpa cuba meneka siapa yang menghubunginya.

"Tahniah. Puan Mawaddah telah diterima bekerja sebagai jurutera mekanikal gred E12 di sini. Puan perlu lapor diri di pejabat kami Georgetown hari Khamis ini, jam 9 pagi."

"Di Georgetown?" Jawabnya.

"Ya, puan. Di Georgetown, Penang."

Mawaddah senyum mengucap syukur. Mungkin inilah permulaannya.

Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)Where stories live. Discover now