Mawaddah mengacau latte di hadapannya dengan perlahan. Buih yang membentuk corak bunga di permukaan air latte tersebut bertukar menjadi bentuk pusaran. Dia merenung cawannya sambil menongkat dagu. Sekali-sekala menoleh ke arah kenderaan yang lalu lalang di jalan. Seminggu selepas temu duganya tempoh hari, hari ini mereka berjumpa lagi di kafe yang sama, di meja di kaki lima yang sama, seperti yang dijanjikan.
Mawaddah tahu wanita yang duduk di hadapannya sekarang ini sedang merenungnya dengan risau. Tapi dia abaikan.
"Kenapa kau kata perjumpaan dengan Dr. Afnani tadi sesi yang terakhir?" Sakinah yang duduk di hadapan mula menyoal. Wajahnya berkerut.
Mawaddah memandangnya sekilas sebelum menurunkan sikunya dari atas meja. Lagi-lagi ditanya soalan yang sama. "Malaslah nak teruskan."
"Aku boleh temankan kalau kau tak suka pergi sorang-sorang."
"Bukan sebab tu.." Mawaddah membalas tidak sabar. Kemudian dia menghela nafas panjang sambil terpejam. "Nantilah kita cakap pasal ni, Kinah? Aku rasa kusut lagi. Banyak benda kena fikir. Mungkin idea pergi ke Indonesia selama seminggu tu bukan idea yang baik pun." Ayatnya dihabiskan dengan keluhan.
Di sana dia mungkin boleh lupakan semua masalah, tapi bila balik ke sini, semua masalah tu datang semula. Berlonggok.
"Tak apa, Wadah," balas Sakinah sambil tersenyum. "Kau ambil masa untuk bertenang dulu. Lepas tu kita rancang semula sama-sama."
Mawaddah cuma mengangguk sambil tersenyum tawar. "Aku nak fokus cari kerja."
"O-kay," balas Sakinah. "Dalam masa yang sama, kita teruskan sesi Dr. Afnani, boleh?"
"Tak naklah."
"Kenapa?"
"Entah." Mawaddah merenung meja, kebiasaan setiap kali nak menyusun ayat dalam kepala. "Aku rasa macam pelik pula bila kita bayar orang untuk dengar masalah kita. Seolah-olah dia terpaksa dengar. Jadi aku rasa menyusahkan orang."
"Dah kenapa kau kena fikir complicated sampai macam tu sekali?" Tegur Sakinah dengan serius. "Apa yang buat kau yakin yang dia terpaksa dengar?"
"Entah. Apa alasan lain orang nak dengar masalah strangers selain bayaran?" Mawaddah mempertahankan diri.
"Sebab dia suka tolong orang lain..?" Duga Sakinah.
Mawaddah mengurut dahi. Mengalah.
"Entahlah, Kinah. Mungkin aku memang macam ni. Susah nak percayakan orang," balasnya dengan nada pasrah. "Nanti-nantilah kita cakap pasal ni lagi. Aku kena save energy. Sekejap lagi ada meeting dengan publisher."
Sakinah mencebik. Dia mengajuk semula rengekan Mawaddah. "Aku kena save energy."
Mereka berdua ketawa serentak sebelum menutup mulut masing-masing. Sakinah menoleh ke arah belakangnya untuk melihat jika ada pelanggan lain yang terganggu dengan suara mereka. Mawaddah pula tertawa besar sampai terdongak ke atas. Ketika itu dia terpandang ke arah papan LED yang dipasang pada luar tingkap bangunan bertentangan, sebelah bangunan tempat dia pergi temu duga tempoh hari.
Bangunan itu barangkali setinggi 10 tingkat, menempatkan sebuah syarikat penerbitan gergasi dalam negara. Papan LED itu dipasang di tingkat 3 dan 4 secara menyondong bagi memudahkannya dilihat orang yang melalui jalan utama itu.
Kalau ikutkan hatinya, Mawaddah tak sudi memijakkan kakinya di kawasan ini lagi. Terutamanya apabila ada kebarangkalian dia akan terserempak semula dengan Sahir yang bekerja di situ. Mujur sekarang waktu pejabat, maka kebarangkalian terserempak itu rendah. Dan yang paling penting, sebenarnya hati Mawaddah ada ikatan istimewa dengan sesuatu.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Genel Kurgu[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...