"Biar aku ulang balik," kata Sahir. "Kau, datang, jumpa Iffat, kan?"
Dia merenung Mawaddah yang masih kaget. Mulutnya ternganga dalam keceriaan, menunggu balasan.
Mawaddah tidak mengalihkan pandangannya daripada wajah lelaki tersebut. Sebenarnya dia masih terkejut. Hari ini hari Sabtu. Selama ini, sedaya upaya dia mengelak untuk terserempak dengan Sahir sejak peristiwa air kopi tumpah dahulu. Mawaddah tidak pernah datang ke kafe ini sejak hari itu. Sehinggalah hari ini, apabila dia tidak dapat mengelak untuk datang kerana dia mahu mengambil buku-bukunya daripada Amalina.
Tak sangka, yang dielak-elak itulah yang suka datang mengejar.
"Kau cakap apa ni, Sahir?"
"Kau sengaja, kan?" Sahir menyeringai. "Kau tahu dia ada kat sini, jadi sengaja duduk kat depan ni untuk tarik perhatian dia."
Mawaddah hilang kata-kata.
"Aku datang sini, tak ada kena mengena dengan sesiapa," jawab Mawaddah lambat-lambat.
Sahir tergelak sinis. "Pelik aku dengan kau berdua ni..."
Mawaddah keliru. Dia tak tahu apa masalah Sahir dengan Iffat. Sahir kelihatan seperti membenci Iffat sejak dulu. Mawaddah pernah lalui situasi yang sama seperti ini sebelum ini, Sahir melepaskan geramnya pada Iffat kepada dia.
"Kenapa Iffat suka sangat pertahankan kau, Wadah? Dekat pejabat tu tak habis-habis dia julang kau macam kau malaikat."
Mawaddah tak tahu konflik apa yang berlaku antara dua orang lelaki tersebut. Dia rasa tak selesa apabila dia terbabit dalam hal ini tanpa sebab yang dia sendiri tak tahu.
Sahir duduk di kerusi hadapan Mawaddah tanpa dijemput. Dia menjeling ke arah pintu masuk bangunan pejabatnya sekilas. Ruang lobi itu tiba-tiba dilihat penuh dengan kumpulan manusia yang bergerak ke sana sini. Seperti Sahir, pakaian mereka kemas dan hampir formal. Barangkali mereka ada majlis rasmi di syarikat.
"Kau tahu, Mawaddah, Iffat bukannya orang yang baik pun. Dia pernah cerita pada aku dulu yang dia suka kekasih kawan baik dia. Sangat suka! Masa tu, kami berdua rapat, jadi Iffat percayakan aku untuk dengar cerita dia. Aku terkejut, tapi aku bukan jenis yang judge orang. Jadi aku tak kesah. Tapi sayangnya, aku terlepas cerita pada orang lain di pejabat. Aku bukannya sengaja! Aku dah minta maaf pada dia berkali-kali, tapi dia macam tak nak maafkan aku." Sahir tergelak kecil dengan penuh rasa jengkel. "Dia yang takut dengan dosa sendiri, salahkan aku pula."
Sahir seperti berada dalam dunia sendiri. Belum sempat dia menyambung hasutannya, Mawaddah menyampuk.
"Kenapa kau cerita semua ni?"
Sahir menegakkan tubuhnya. Dia terkedu mendengar kata-kata Mawaddah yang kedengaran yakin, dan bagi Sahir, sedikit angkuh.
"A... Aku..." Tergagap-gagap suara Sahir. "Yalah, dia kan cuba nak rapat dengan kau! Aku cuba bagi amaran saja! Aku risaukan kau!"
"Jadi?" Balas Mawaddah lagi. Dia menunjukkan riak rimas dan jengkel. Sebenarnya dia sengaja berbuat begitu untuk menyakitkan hati Sahir.
Bibir Sahir terbuka dan tertutup beberapa kali. Badannya digerak ke kanan dan kiri kerana tak senang duduk. Nyata dia terkejut dengan reaksi Mawaddah.
"Kau tak dengar ke aku cerita tadi, Mawaddah? Iffat bukannya–"
"Aku dengar. So?" Mawaddah menayangkan wajah selamba, tanpa tergugat dengan cerita Sahir. "Apa kaitannya dengan aku?"
Kemudian Mawaddah terus menyambung.
"Kalaupun Iffat macam tu orangnya, apa kaitan dengan kau, Sahir? Kenapa kau nak cerita pada aku? Kenapa aku perlu tahu semua ni? Kau yang salah, sebab pecahkan rahsia dia. Dia percayakan kau. Kau khianati dia. Sekarang, kau bawa cerita tu pada aku pula. Betul ke kau memang rasa bersalah pada dia?"
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
General Fiction[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...