Mawaddah mengintai keberadaan Iffat dari celah-celah rak buku di reruai sebelah. Setelah dipastikan yang dia benar-benar sudah 'terlepas' daripada Iffat, dia separa menyandar di rak berkenaan sambil menghembuskan nafas lega. Dadanya diurut perlahan.
"Intai apa tu!" Suatu suara menyergah dari belakang, diikuti suara ketawa. Mawaddah tersentak lalu terjatuhkan beberapa buah buku yang berada di situ sambil melatah kecil.
"Gelabah, gelabah!"
"Nak kena kau ni, Kinah," bisiknya dalam keadaan marah. Dia kelam-kabut mengutip buku-buku yang terjatuh, dan bertambah panik apabila ada seorang staf datang membantunya dengan cemas. Bersungguh Mawaddah minta maaf kepadanya, sampai tertunduk-tunduk. Sakinah pula menyambung ketawa melihatkan telatah Mawaddah dan staf berkenaan saling lawan menunduk beberapa kali.
Hanya apabila staf berkenaan beredar dari situ, Sakinah menghentikan ketawanya yang bersisa.
"Kau berdua dah kenapa? Lawan tunduk?" Ketawa lagi.
Mawaddah memejamkan mata lalu mengambil nafas dalam-dalam. Dia rasa pipinya menebal pada saat itu.
"Kau ni memang tak ada rasa bersalah kan? Bukannya nak tolong susun semula tapi seronok gelakkan orang."
"Aku seronok bila tengok kau gelabah. Lepas tu mulalah.." Sakinah menyambung ayatnya dengan mengajuk gaya Mawaddah, menunduk berkali-kali sambil tangan diletakkan di dada.
Mawaddah menampar bahu Sakinah sekali, dan Sakinah tak berjaya elak. Dia mengadu kesakitan tapi kemudiannya dia sambung ketawa lagi.
"Tapi betullah, Wadah. Kenapalah kau selalu minta maaf dan rasa bersalah berlebih-lebih macam tu.. Orang nak marah kau pun rasa bersalah."
Mawaddah malas nak melayan kata-kata Sakinah. Fikirannya masih tertumpu pada manusia yang berada di rak kedai sebelah. Dia mengintai sekali lagi untuk mencari kelibat Iffat. Setelah puas bola matanya mengimbas kawasan itu, dia kembali menghadap Sakinah. Iffat dah tiada di situ, barangkali sudah beredar ke tempat lain.
"Kau intai siapa?" Sakinah menjenguk ke celah yang sama yang diintai Mawaddah tadi.
"Tak ada siapa-siapa. Dah, jom makan tengah hari. Aku lapar ni," kata Mawaddah, cuba untuk mengalih perhatian Sakinah. Orang ramai mula memenuhi dewan berkenaan kerana waktu ini waktu kemuncak kebanjiran manusia membeli buku. Sudah beberapa kali bahu mereka tertolak oleh orang yang lalu lalang. Sakinah memerhatikan orang-orang di sekelilingnya sebelum mengangguk bersetuju.
***
Setelah beberapa minit mencari tempat duduk, mereka berdua akhirnya berjaya mendapatkan meja kosong di dalam sebuah restoran masakan melayu. Kawasan ini juga masih sesak dengan manusia, walaupun waktu sudah melepasi waktu makan tengah hari. Kebanyakan orang yang berkerumun di sini ialah orang-orang yang hadir ke ekspo buku. Mereka memegang plastik berisi buku. Hati Mawaddah berbunga-bunga. Dia rasa macam nak bertegur sapa dengan semua orang, dan bertanya buku apa yang mereka beli. Tapi dah tentulah perkara seperti itu hanya akan berlaku dalam imaginasinya sahaja.
Dia menjamah makanannya dengan senyap sambil memerhatikan manusia yang lalu lalang. Sakinah pula sejak awal-awal lagi sudah maklumkan yang dia tidak akan pesan apa-apa makanan. Alih-alih makanan Mawaddah juga yang dikebasnya.
"Mawaddah!"
Mawaddah mendongak ke arah suara yang menegurnya. Terasa macam nak tersembur nasi yang sedang dikunyah. Tapi dia cepat-cepat telan dan melambai kepada orang tersebut.
"Iffat! Awak buat apa kat sini?"
Dalam banyak-banyak tempat...
"Makan seorang ke?" Iffat melihat ke sekeliling. Dia merapatkan badannya ke meja kerana kawasan restoran itu sesak dengan manusia.
Mawaddah mengangguk, kemudian menggeleng. Sebab mula-mula dia terfikir yang memang dia seorang saja yang makan, tapi kemudian dia teringat yang dia bukan berseorangan. Iffat jungkit kening, keliru dengan reaksi Mawaddah.
"Saya dengan adik saya. Dia pergi cuci tangan."
Iffat mengangguk faham.
Setelah berbasa-basi selama beberapa saat, Iffat meminta izin untuk beredar. Dan sekali lagi, Mawaddah terasa segala sendinya bertenang selepas Iffat pergi. Nafasnya lebih lancar. Dia tidak tahu kenapa dia jadi begini di depan Iffat. Dan setiap kali selepas bertemu Iffat, ingatannya akan kembali kepada Najwan. Pelik. Sebab Iffat dan Najwan langsung tak ada persamaan, biarpun dari segi rupa dan sikap.
Mawaddah masih termenung semasa Sakinah kembali duduk di depannya.
"Siapa yang datang tegur kau tadi tu?"
"Oh, kau nampak eh?"
Sakinah mengangguk.
"Iffat."
"Iffat who?"
Mawaddah menongkat dagu sambil merenung ke arah tempat kali terakhir dia nampak kelibat Iffat. "Entahlah. Aku pun tak tahu siapa Iffat ni... Dan apa yang dia dah buat."
Anehnya, Sakinah seakan-akan tidak mahu ambil tahu tentang Iffat. Selalunya, dia yang paling bersungguh nak korek segala rahsia Mawadddah, tapi dia hanya mengangguk lalu membelek buku yang dibeli Mawaddah tadi. Mawaddah pula yang stres sebab dia tak tanya lanjut.
"Kinah."
"Ya." Dia masih sibuk dengan buku.
"Cinta tu apa?"
Anak mata Sakinah bergerak menghadap Mawaddah. Dia memandang dengan wajah serius sebelum akhirnya gelak menyembur. Mawaddah mengurut dahi. Menyesal tanya.
"Manalah aku tahu. Kau yang dah bercinta, kahwin segala bagai. Kaulah yang patut tahu pasal benda tu. Wait.." Sakinah menyengetkan wajahnya. "Ni... sebab lelaki tadi tu ke?"
Mendadak Mawaddah menegakkan badannya. "Bukanlah."
"Oh Tuhan... Kau tengoklah muka kau sekarang."
"Kinah."
"Muka orang bercinta..."
"Kau merepek apa."
"Muka orang yang keliru dengan perasaan dan hatinya..."
"Diamlah."
"So macam mana kau kenal saudara Iffat ini?" Nada Sakinah kembali serius.
Mawaddah hanya membalas dengan memberi reaksi wajah jengkel. Dia kembali fokus menghabiskan nasinya tanpa memandang adiknya.
Iffat ialah topik terakhir yang perlu dia bualkan. Dia hanya perlu fikir tentang Najah. Najwan.
"Kau tahu tak, Kinah. Baru-baru ni, aku cuba ingat kembali macam mana rupa ayah. Tapi aku tak dapat ingat." Mawaddah menghabiskan suapan terakhirnya. Sakinah sabar menunggu ayat sambungan. "Benda ni buatkan aku terfikir... Cukup kuatkah rasa kasih, cinta aku pada ayah selama ni? Kalau aku betul-betul sayangkan ayah, aku tak patut lupa rupa dia. Kan?" Ayat terakhirnya disalut dengan nada sebak. "Kau rasa macam tu juga tak, Kinah?"
Sakinah hanya tunduk. Dahinya berkerut menahan sebak.
"Kadang-kadang aku keliru, sama ada aku sedang meneruskan hidup atau sebenarnya cinta aku yang tak cukup kuat. Sepatutnya kalau aku betul-betul sayangkan seseorang, aku tak boleh lupakan dia secepat itu. Ia ibarat kita hilang sesuatu, lalu kita cuba menggantikannya dengan benda lain. Aku rasa, macam orang jahat."
"Kau cakap pasal Najwan kan, sebenarnya?" Teka Sakinah.
Mawaddah tergamam. Dia diam buat seketika, sebelum akhirnya bangun menuju ke arah tempat mencuci tangan.
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Ficción General[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...