"Baik-baik, Wadah," katanya semasa Mawaddah sedang melambai ke arah tukang kebun sekolah. Nadanya seakan-akan memberi peringatan. Wajahnya seperti sedang memberi amaran, walaupun waktu itu dia tidak pandang ke arah Mawaddah.
Mawaddah masih ingat, pada hari itu pertama kali dia belajar sesuatu yang baru tentang hal lelaki dan perempuan.
"Kenapa, ayah?"
"Wadah tak boleh rapat sangat dengan lelaki yang Wadah tak kenal."
"Kenapa?"
"Wadah ingat cakap ayah ni," ayah menggerakkan batang gear vannya sambil memandang Mawaddah sekilas. "Orang lelaki ni, maksud ayah, semua orang lelaki, ada tanduk yang Wadah tak nampak."
Tanduk. Syaitan. Sekurang-kurangnya itu yang dia faham melalui komik dan kartun di televisyen. Semua yang bertanduk itu jahat. Termasuk kerbau yang selalu berdiri di tepi jalan berdekatan rumahnya.
"Ayah pun sama?"
"Ayah tak sama."
Seketika kemudian van bergerak lebih laju daripada tadi. Mawaddah tersandar ke belakang dan melihat ke arah luar tingkap. Pokok-pokok di tepi jalan melepasi pandangannya dengan cepat dan semakin kabur. Bunyi enjin van menderum semacam sedang marah.
"Ingat saja pesan ayah. Jangan terlalu percayakan orang."
"Baik, ayah."
Ayah mengangguk. Bibirnya membentuk segaris senyuman.
Pesanan ayah itu tidak dia hadam melainkan selepas berlaku kejadian bersama Ustaz Kamal. Pada waktu itu, semua perkara menjadi sangat jelas bagi Mawaddah. Semua lelaki ada tanduk, kecuali ayah dan Najwan.
Mawaddah berjalan di laluan pejalan kaki dalam kawasan taman tasik berkenaan. Ada kerusi panjang kosong yang terletak menghadap tasik, situ tempat tujuannya. Seorang lelaki muda berbangsa Cina yang sedang berjoging berselisih dengannya, meninggalkan sisa bunyi lagu Korea yang dipasang kuat pada headphone. Bunyi itu lambat-lambat hilang mengikut jejaknya. Mawaddah kenal lagu itu. Dia fikir dia pernah terdengarnya di banyak tempat.
Barangkali itulah kuasa pengulangan. Ia memberikan ingatan yang kekal.
Sebagaimana sekarang dia mengulang saat-saat dia bersama Najwan di taman ini dulu. Dia tidak dapat mengelak daripada melakukannya. Pengulangan. Berjalan di laluan yang sama yang pernah mereka lalui. Mencium bau pokok yang sama. Melihat ke arah tong sampah berwarna terang yang terletak di tempat pelik yang sama. Pada setiap langkah yang dia ambil, bayangan Najwan semakin jelas mengekorinya.
Ia berterusan selama berbulan-bulan.
Dia cuba mengalihkan perhatiannya pada sekuntum bunga raya yang belum pernah diperhatikannya sebelum ini, tapi kepalanya mereka-reka pula dialog yang Najwan akan katakan tentang bunga tersebut.
Gila.
Mawaddah menghentakkan kakinya sedikit. Berharap hentakan itu menjadi suis yang menghentikan fikirannya. Dia berjalan terus ke arah kerusi kayu yang menjadi tujuannya.
Hampir setiap malam, sekurang-kurangnya beberapa hari dalam seminggu, dia akan mimpikan Najwan. Tempatnya berbeza-beza, tapi jalan ceritanya sama. Sama ada dia tidak sempat berjumpa Najwan, atau Najwan marahkannya, atau ada seorang wanita yang menjadi batu penghalang. Mimpi-mimpi ini, meragut semua tenaga dan motivasinya.
Agaknya Najwan memang tak mahu meninggalkan dunia bawah sedarnya.
Kalaulah itu juga berlaku dalam dunia realiti..
Pernah beberapa kali mak telefon dan bertanya akan khabar Najwan dan anak mereka, Najah. Dan soalan-soalannya juga sama meletihkan.
Kenapa mak tak dengar suara Najah?
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Fiksi Umum[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...