25. Selamat Tinggal

606 74 30
                                    

Lagi 20 minit sebelum waktu janji temunya tiba.

Mawaddah meletakkan beg tangannya di tepi ruang singki seraya membuka paip air. Kedua-dua tangannya ditadah pada aliran air yang mengalir perlahan.

Pandangan ditala pada cermin di hadapan.

Wajah pucat. Tubuh menggigil. Air paip dalam ruang berpendingin hawa pun terasa lebih hangat daripada tangannya.

"Sakinah masih muncul?" Terngiang-ngiang lagi soalan Dr Afnani semasa pertemuan mereka kali terakhir dulu.

Paip air ditutup. Langkah diatur dengan berat keluar dari tandas.

Mestilah Sakinah masih ada. Sakinah satu-satunya orang yang ada untuknya. Dia tak ada sesiapa di dunia ini, selain adiknya.

Mawaddah takut untuk bertemu dengan Dr Afnani lagi. Dia tahu, doktor tersebut akan sedaya-upaya memisahkan Sakinah daripadanya. Doktor itu tidaklah memaksa seperti mengugut, tapi itu yang Mawaddah rasakan sekarang. Tak selamat.

Semasa langkahnya menghampiri ruang menunggu di depan bilik Dr Afnani, matanya tertangkap pada tubuh Sakinah yang sedang berdiri menghadapnya. Wajahnya terpancar jelas riak risau.

"Lamanya pergi tandas.." Tegurnya.

"Pakai make up sikit," balas Mawaddah.

Sakinah membelek wajah kakaknya. "Tak nampak macam pakai make up pun?"

"Make up wuduk."

"Masya Allah." Sakinah terus duduk semula di kerusi di sebelahnya.

Mawaddah lega apabila Sakinah tidak bertanya lanjut selepas itu. Dia takut kalau-kalau Sakinah dapat menebak fikirannya, lalu menggesa sehingga rahsia Mawaddah terbongkar. Dia tidak mahu Sakinah tahu tentang apa-apa yang dibualkannya dengan Dr Afnani. Terutamanya tentang diri Sakinah.

Dia tahu, hari ini akan tiba.

Sakinah duduk di sebelah Mawaddah dan mencuit bahunya. "Wadah."

"Hmm?" Mawaddah masih tak berani pandang wajahnya.

"Lepas ni, janji dengan aku yang kau akan jaga diri kau."

Mulut Mawaddah terketar-ketar menahan sebak. Segera dia berpaling ke arah bertentangan. Berpura-pura melihat ke sekeliling. Dia sempat mengerling ke arah beberapa orang yang duduk tidak jauh dari mereka. Seorang pemuda berbangsa Cina melarikan pandangan ke tempat lain apabila Mawaddah memandangnya.

Semua orang lain yang sedang menunggu di sini seolah-olah berharap mereka mampu menjadi halimunan, atau sekurang-kurangnya tidak bertemu dengan mana-mana orang yang dikenali.

"Ok," bisik Mawaddah akhirnya.

"Dan aku nak ingatkan kau lagi, yang semua benda negatif yang kau fikir, kebanyakan dibuat-buat dalam kepala kau. Kau kena buang semua tu."

"Aku tahulah."

Mendengarkan jawapan tersebut, Sakinah segera berpaling ke depan semula. Dia tunduk lalu ketawa perlahan.

"Kau tahu, kan, yang kau kena move on?" Kata Sakinah lagi. Suaranya tenang tapi berbaur pasrah.

Telatah Sakinah membuatkan Mawaddah rasa semakin gelisah. Terasa seperti ada suatu daya yang sedang menarik-narik jantungnya agar gugur ke bawah. Tangannya digenggam kuat untuk menenangkan diri.

"Jadi..." Kata Mawaddah tidak lama kemudian. "Semuanya akan jadi macam ni?"

Matanya tertangkap pada sosok seorang jururawat yang berjalan laju ke arah pintu bilik Dr Afnani. Dia terus masuk ke dalam bilik tersebut. Mawaddah tahu gilirannya sudah tiba.

Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)Where stories live. Discover now