Mawaddah terasa tenaganya seperti sudah habis.
Dia berjalan perlahan-lahan, beriringan dengan Sakinah merentasi lobi bangunan berkenaan. Bahang matahari mencengkam kulit seelok saja mereka melangkah keluar daripada pusat perubatan itu. Sakinah terus mempercepatkan langkah. Mawaddah yang mengekor laju di belakang sesekali hampir tersadung dek kerana kain yang dipakainya sempit.
Menyesal tak cuba pakai dulu sebelum beli.
Dia bersandar separa duduk pada tembok simen pokok bunga di kaki lima berkenaan. Dia jauh ketinggalan. Sakinah pula langsung tidak menoleh ke belakang.
"Jalan kalut-kalut nak ke mana entah," rungutnya. Dia menunduk lalu merentap-rentap kainnya.
"Kenapa, Wadah?"
Mawaddah mendongak dan terlihat Sakinah menggaru-garu kepala di depannya. Wajah Sakinah sudah mula berkeringat. Dahinya berkerut-kerut menahan panas matahari.
"Kain aku ni..." Mawaddah masih melepaskan marahnya pada kain. "Yang kau pun jalan laju sangat kenapa? Banyak kali aku nak jatuh tahu tak?"
Sakinah merenung tepat ke arahnya. "Manalah aku tahu kau ada masalah. Yang nak marah sangat ni kenapa?"
"Yalah. Semua salah aku. Salah aku sebab tak bagitahu orang yang aku ada masalah!" Mawaddah terus berjalan meninggalkan Sakinah di belakang. Sakinah hanya mampu menggeleng melihat perangai kakaknya itu.
Sesampainya di rumah, hanya selepas waktu makan malam baru Sakinah datang menegurnya. Mawaddah sedang duduk bersandar di atas katil sambil membaca buku, langsung tidak mengendahkan kehadirannya. Sakinah melabuhkan duduk di hujung katil.
"Wadah. Sebenarnya apa yang jadi masa kau jumpa Dr. Afnani tadi?"
Mawaddah mengerling ke arahnya sekilas sebelum meletakkan buku yang sedang dibacanya di atas riba. Sebenarnya dia rasa bersalah sebab marah tak tentu pasal, sedangkan Sakinah yang teman dia dari pagi tadi untuk jumpa Dr. Afnani.
"Sorry, Kinah," ujar Mawaddah. Dia lihat Sakinah menggeleng sekali sambil senyum. "Siang tadi emosi aku tak stabil lepas cakap dengan Dr. Afnani."
"Apa sebenarnya yang jadi?" Sakinah mengulang lagi soalannya yang tak berjawab tadi.
"Salah aku." Mawaddah mengambil sekeping kad penanda buku dari atas meja lalu menyelitkan pada muka surat yang dibacanya. Buku itu diletak di tepi bantal. Kaki yang tadi lurus kini dipeluk rapat ke badan. "Bukan salah Dr. Afnani. Dia cuba bantu aku. Aku suka dia. Tapi aku yang tak nak bagitahu betul-betul pada dia apa masalah aku. Jadi aku rasa marah kat diri sendiri."
Sakinah duduk bersila menghadapnya. "Kau masih susah tak percayakan dia?"
Mawaddah menggeleng.
"Habis tu?"
"Aku tak nak menyusahkan orang lain untuk fikir masalah aku."
"Akhirnya masalah kau selesai tak bila kau buat macam tu?"
Mawaddah terdiam. Dia mendaratkan pipinya pada lutut sambil merenung lampu meja di sebelah. "Entah."
"Masalah kau tak akan selesai kalau kau asyik simpan sendiri-sendiri. Kau perlukan bantuan, Wadah. Kalau kau tak nak ditolong, siapa lagi yang boleh tolong kau?"
Mawaddah cuba mengukir senyum. Sakinah betul. Tapi semakin dia membenarkan kata-kata Sakinah, semakin dia menyalahkan diri sebab selalu buat keputusan tak bijak.
"Aku tak tahulah apa masalah aku, Kinah. Sejak kecil aku selalu fikir complicated macam ni. Dan sekarang, aku banyak kali tanya diri sendiri: Betul ke aku depress? Aku tak mahu terburu-buru cop diri aku depress hanya sebab Dr. Afnani kata aku depress. Aku tak mahu ambil penyakit ni sebagai jalan nak larikan diri, untuk escape daripada masalah yang aku tak nak selesaikan. Ubat bagi masalah aku bukan pil, tapi aku kena betulkan diri sendiri. Aku kena cari apa masalah aku."
YOU ARE READING
Nota Buat Mawaddah (Mawaddah Ilmi Ingin Pulang)
Fiksi Umum[PEMENANG WATTYS 2020] ✔️ [TERBIT VERSI BUKU - MAWADDAH ILMI INGIN PULANG - IMAN PUBLICATION] ✔️ "Your childhood could have been affecting you so deeply to this very day..." Hidup Mawaddah Ilmi serba tak kena. Gagal mendapatkan pekerjaan. Gagal d...